COVID-19: Malaysia Lanjut Perintah Kawalan Pergerakan 14 Hari Lagi
2021.02.02
Kuala Lumpur

Malaysia pada Selasa berkata Putrajaya mahu melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan COVID-19 selama dua minggu lagi disebabkan jumlah kes jangkitan baharu terus meningkat, kata Menteri Kanan Keselamatan pada hari yang sama negara itu menrekodkan jumlah kematian tertinggi, seramai 21 orang akibat pandemik berkenaan.
Lanjutan PKP sehingga 18 Februari itu diputuskan pada sidang khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas menyaksikan trend peningkatan kes di semua negeri, kata Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya.
"KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positif dalam kluster adalah antara 20 dan 40 peratus, dengan penularan jangkitan sporadik dalam komuniti juga tinggi, melibatkan warganegara dan bukan warganegara.
"Atas penilaian risiko dan nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula 5 sehingga 18 Februari 2021 kecuali negeri Sarawak yang kekal di bawah PKP Bersyarat melainkan kawasan yang diisytiharkan PKP Diperketatkan," kata Ismail Sabri lagi.
PKP 2.0 yang sedang berjalan kini sepatutnya tamat pada 4 Februari dilaksanakan selepas mendapat nasihat daripada pihak berkuasa kesihatan dengan arahan tersebut tidak meliputi Sarawak, yang berada di bahawa PKP Bersyarat, satu perintah berkurung yang lebih longgar berbanding PKP, apabila jumlah jangkitan dan kematian didapati meningkat.
“Serentak dengan sambungan PKP ini, kita akan meneruskan SOP-SOP [Prosedur Standard Operasi] yang lebih ketat lagi yang akan dikeluarkan oleh MKN. Berdasarkan kepada data KKM, apabila kita buka rentas negeri dahulu, ianya telah menyumbang kepada peningkatan kes positif COVID-19, kini terdapat 31 kluster yang berkaitan dengan rentas negeri,” tambah Ismai Sabri lagi.
Dengan itu, katanya, pergerakan merentas daerah dan negeri serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, manakala SOP lain kekal seperti sebelum ini.
PKP 2.0 berbeza dengan PKP yang pertama pada 18 Mac tahun lepas, di mana bagi PKP 2.0, kerajaan membenarkan sektor perniagaan dan ekonomi beroperasi khususnya perniagaan mikro seperti penjaja dan peniaga kecil, dengan SOP yang sangat ketat.
Ismail Sabri juga memberitahu yang MKN sedang mengkaji permohonan serta rayuan dari sektor perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi agar mereka boleh membuka semula perniagaan.
Pada Selasa, Malaysia merekodkan sejumlah 3,455 kes positif baharu jangkitan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 222,628 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata seramai 21 orang meninggal akibat pandemik itu yang dicatatkan pada Selasa, yang membawa kepada seramai 791 orang telah mati di Malaysia akibat pandemik yang melanda dunia sejak tahun lepas itu.
Katanya, kes kematian tertinggi dicatatkan di Selangor melibatkan 12 kes, empat kes di Sabah, masing-masing dua di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu kes di Kedah, dengan 20 adalah rakyat tempatan manakala seorang warga asing.
Enggan saring, tiada lanjutan pas
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia pada hari yang sama mengeluarkan amaran yang Pas Lawatan Kerja Sementara pekerja asing tidak akan diperbaharui sekiranya majikan gagal menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja mereka.
"Mana-mana majikan yang gagal membuat ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing mereka sehingga 28 Februari ini boleh menyebabkan PLKS pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.
“Majikan yang masih belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing mereka digesa untuk segera berbuat demikian, ini kerana terdapatnya peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini termasuk kluster berkaitan tempat kerja yang membimbangkan," kata menterinya, M Saravanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Putrajaya pada Selasa.
Beliau menambah operasi dan pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa itu mendapati masih banyak majikan yang gagal membuat ujian saringan kepada pekerja asing mereka, walaupun sudah diarahkan berbuat demikian.
Antara negeri yang mempunyai ramai pekerja asing yang masih belum dibuat saringan COVID-19 adalah Pulau Pinang di mana Ketua Menterinya Chow Kon Yeow pada 23 Januari lepas berkata data kerajaan negeri menunjukkan 109,097 daripada keseluruhan 128,889 pekerja asing yang berdaftar di negeri itu masih belum disaring.
"Menurut maklumat dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, peratusan kes COVID-19 mengikut sektor kerja menunjukkan 49 peratus datangnya dari pekerja kilang dan industri, tiga peratus dari pekerja tapak pembinaan, dan pekerjaan lain sebanyak 30 peratus.
Tahun Baru Cina dan PKP
Pelanjutan PKP 2.0 diumumkan kerajaan itu juga meliputi perayaan Tahun Baru Cina yang bakal dirayakan oleh masyarkat Tionghua pada 12 Feb ini, yang kebiasaannya menyaksikan sambutan besar-besaran bersama keluarga besar berhimpun bersama.
Bagaimanapun disebabkan oleh pandemik itu, ramai yang akur dengan perintah kawalan pergerakan tersebut dan hanya bercadang menyambutnya bersama keluarga terdekat.
Seorang penjaja makanan di Petaling Jaya yang mahu dikenali sebagai Ah Hong, 49, berkata keluarganya telah menerima takdir mengenai situasi COVID-19 itu dan hanya akan menyambut tahun baru secara kecil-kecilan di rumah mereka.
"Semua orang ramai takut dan khuatir untuk melawat anda, anda juga takut untuk menerima tetamu. Jadi tiada perhimpunan keluarga tahun ini, kata Hong yang berasal dari Kuala Selangor kepada BeritaBenar.
Bagi Jack Wee, 63, yang tinggal di Petaling Jaya, beliau akan merindui detik cucu-cucunya datang ke rumah bagi menyambut Tahun Baru Cina bersama.
"Mereka risau akan menjangkiti saya dengan virus COVID-19, kerana saya sudah tua dan mudah dijangkiti, jadi saya faham," kata beliau.
Kira-kira 6.7 juta daripada 29.7 juta keseluruhan populasi Malaysia terdiri daripada masyarakat Tionghua.
Minggu lepas, komuniti India di Malaysia terpaksa menyambut Thaipusam secara sederhana yang kebiasaannya sambutan diadakan melalui perhimpunan besaran di kuil-kuil.