Warga Asing Positif COVID-19 Meningkat Sepanjang Tempoh Seminggu

Noah Lee
2020.05.15
Kuala Lumpur, Malaysia
200515-MY-C19-Migran.jpg Seorang wanita warga asing mendukung anaknya menuju ke tempat ujian saringan COVID-19 setelah separa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan ke atas kawasan Pudu di Kuala Lumpur selepas berlakunya peningkatan jumlah jangkitan melibatkan warga asing dikawasan tersebut, 15 Mei, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Warga asing adalah majoriti yang disahkan dijangkiti COVID-19 di Malaysia sejak lima hari lepas menurut statistik rasmi pihak berkuasa kesihatan Malaysia, selepas jumlah jangkitan melibatkan golongan itu mula diumumkan pada sidang media harian mengenai perkembangan pandemik tersebut.

Dalam pada itu, pihak berkuasa keselamatan pula mengumumkan seramai 113 warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan semasa operasi terkini yang dijalankan Jabatan Imigresen di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan pendatang serta pelarian Rohingya.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam statistik harian selama lima hari sejak Isnin menunjukkan sebanyak 120 daripada 199 kes positif  baharu pandemik tersebut melibatkan warga asing, tetapi tiada bilangan pecahan kewarganegaraan yang diberikan.

Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah semasa sidang media hariannya baru-baru ini berkata, peningkatan jumlah kes baharu di kalangan warga asing itu adalah disebabkan aktiviti pengesanan aktif yang dijalankan pihak berkuasa kesihatan terhadap komuniti tersebut.

"Kita mensasar pekerja asing, kalau kita lihat, masalah utama mereka dijangkiti adalah kerana cara mereka tinggal di sesebuah rumah atau apartmen yang padat.

“Mereka yang tinggal di sesebuah rumah itu, bekerja bukan di satu sektor, seorang mungkin bekerja di pasar borong dan seorang lagi di tapak pembinaan tapi duduk bersekali. Isunya mereka duduk sekali dan mungkin rumah itu terlalu padat," kata Noor Hisham semasa sidang media pada 6 Mei lalu.

Kluster baru

Jumlah kes positif tertinggi melibatkan warga asing mengikut kluster yang dikesan oleh KKM setakat ini adalah kluster Kampung Sungai Lui  di Hulu Langat, Selangor iaitu seramai 173 orang, diikuti Selangor Mansion (162 orang), dan kilang ayam di Pedas, Negeri Sembilan (151 orang).

Selain kilang ayam di Pedas, beberapa kluster membabitkan pekerja warga asing turut dikesan baru-baru ini termasuk di Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur membabitkan 30 pekerja pembinaan dan Kluster Pengawal Keselamatan Cheras (24 orang), demikian menurut data dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan Malaysia itu.

KKM juga mengesan 12 pekerja sebuah tapak pembinaan di Setia Alam yang didapati positif Koronavirus, dengan lebih 25,000 warga asing telah menjalani ujian saringan sejak pandemik itu mula dikesan menular di negara tersebut.

Melalui informasi, maklumat dan kenyataan serta sidang media oleh Noor Hisham, daripada jumlah itu, seramai 1,211 warga asing disahkan positif COVID-19 dengan pecahan berdasarkan negara yang terkini tidak dimaklumkan.

“Dari jumlah positif  warga asing itu, seramai 495 masih menerima rawatan di hospital dan tiga daripadanya dirawat di ICU dengan empat kematian dicatatkan sehingga kini,” demikian menurut Ketua Pengarah berkenaan dalam sidang media pada Selasa lepas.

Tahan warga asing tanpa dokumen

Sementara itu, Jabatan Imigresen terus menggempur beberapa kawasan penempatan yang menjadi tumpuan warga asing serta pelarian, yang sebelum ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas berlakunya peningkatan kes positif COVID-19.

Beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur telah diperiksa oleh jabatan itu dalam mengesan mereka yang tinggal tanpa dokumen perjalanan yang sah dengan terbaru di Selayang Baru, kawasan yang terletak tidak jauh dari ibunegara itu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata operasi terbaharu yang dijalankan pada Khamis di kawasan PKPD di Selayang Baru telah menahan 113 warga asing dengan jumlah statistik keseluruhan seramai 2,067 orang sejak dua minggu lepas.

"Operasi terbaru meliputi seluruh zon dalam kawasan Selayang Baru yang dikenakan PKPD 7 yang menjadi tumpuan tempat tinggal warga asing yang bekerja di kawasan pasar borong Selayang. Seramai 1,683 warga asing telah diperiksa dan 113 ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan.

Majoriti warga asing yang tinggal di kawasan ini ialah etnik Rohingya yang memiliki kad UNHCR. Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia seramai 63 orang, Myanmar (22 orang), India (19 orang), Bangladesh (6 orang), Pakistan (2 orang) dan Nepal (1 orang) yang merangkumi 66 lelaki, 36 wanita dan 11 kanak-kanak," kata Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan media pada Jumaat itu.

Beliau turut memberitahu yang kesemua mereka yang diperiksa oleh Imigresen turut menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM dan disahkan negatif.

“Antara kesalahan mereka yang ditahan ini adalah kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, atau memiliki dokumen palsu serta pelbagai kesalahan lainyang melanggar Akta Imigresen, dengan kesemuanya disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka semua akan diusir balik ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen itu.

Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan media bertarikh 12 Mei berkata dalam beberapa siri operasi yang diadakan seramai 790 warga Myanmar ditahan diikuti 421 rakyat Indonesia, India (54), Pakistan (6), Bangladesh (78) manakala selebihnya dari lain-lain negara, dan kesemua mereka terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Dalam pada itu, isu sentimen kebencian terhadap warga asing dan pelarian Rohingya yang dipersalahkan sesetengah pihak kerana kononnya menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia menjadi salah satu topik perbincangan dalam sesi taklimat media bersama duta kebebasan agama antarabangsa Amerika Syarikat, Sam Brownback yang diadakan pada Khamis.

Dalam sesi berkenaan, Brownback menyuarakan kebimbangan terhadap laporan-laporan mengenai ucapan kebencian terhadap golongan berkenaan .

"Di Malaysia, laporan menyatakan bahawa terdapatnya xenophobia dan hasutan kebencian dilakukan terhadap etnik Rohingya dan juga lain-lain etnik warga asing di negara berkenaan dengan perkara ini didapati berlaku di atas talian dan juga secara bersemuka, yang berpunca daripada rasa kebencian umum dengan menyalahkan mereka atas penularan virus COVID-19," kata beliau.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.