Mutasi COVID-19 ‘Super Spreader’ Dikesan Di Sabah
2020.09.25
Kuala Lumpur, Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat mengumumkan penemuan mutasi COVID-19 dari varian D614G atau dikenali sebagai 'superspreader' terhadap 23 kes positif yang dilaporkan di Sabah, sehari sebelum berlangsungnya Pilihanraya Negeri yang menyaksikan pertarungan parti-parti politik untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pengumuman pihak berkuasa kesihatan itu bagaimanapun tidak membantutkan pemilihan bagi PRN Sabah yang membabitkan lebih 1.1 juta pengundi berdaftar di mana prosedur operasi standard diperketatkan bagi mengelak penyebaran virus pandemik semasa proses pengundian.
“Keputusan terkini yang baru diterima dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan 23 virus COVID-19 yang diasingkan dan dikultur daripada Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah didapati mempunyai mutasi D614G (super spreader),” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.
Difahamkan ini adalah kali pertama mutasi D614G yang mempunyai kemampuan untuk menjangkiti 10 kali ganda lebih mudah, dikesan di Sabah.
Beliau menambah kajian itu juga mendapati genetik virus dari Kluster Benteng Lahad Datu dari genom D614G yang dikesan itu tidak sama dengan yang terdapat di Semenanjung walaupun kesemuanya mempunyai mutasi yang sama.
Varian yang cepat tersebar dan mudah merebak itu turut telah ditemui dalam Kluster Sivangga dan Kluster Bukit Tiram pada Ogos lalu.
Sehingga kini Kluster Benteng Lahad Datu merekodkan 743 kes positif COVID-19 di mana 620 daripadanya dari kalangan banduan dan tahanan dari Penjara Tawau dengan jumlah kumulatif saringan yang telah buat kepada 10,634 individu.
Kes COVID-19 di Malaysia sehingga Jumaat merekodkan pertambahan kes positif COVID-19 sebanyak 111, melibatkan 107 penularan tempatan termasuk 97 daripadanya adalah di Sabah, manakala lapan di Kedah dan masing-masing satu di Pahang dan Selangor.
Jumlah kumulatif jangkitan pandemik itu di negara tersebut adalah sebanyak 10,687 dengan kes kematian kekal 133 manakala diperingkat global, Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat telah mencatatkan sejumlah 33 juta kes jangkitan dengan 985,000 kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia.
Empat daripada lima kawasan yang diisytihar Zon Merah COVID-19 di Malaysia adalah terletak di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna dan satu lagi di Kota Setar, Kedah. Zon Merah adalah kawasan yang mempunyai kes aktif melebihi 41 kes keatas.
Menurut Noor Hisham, pertambahan kes positif di Sabah dipercayai daripada kes jangkitan yang didapati daripada individu yang datangnya daripada Zon Merah atau kembali ke negeri itu.
Pilihan raya negeri
Ketua Pengarah Kesihatan itu juga menggesa masyarakat di Sabah terutamanya mereka yang akan keluar mengundi pada Sabtu supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan bagi mengawal penularan pandemik tersebut.
Pengundian di Sabah itu menjadi pilihan raya negeri pertama sejak kerajaan tanpa dipilih, Perikatan Nasional, yang diterajui Muyhiddin Yassin mengambil alih tampuk kuasa di Putrajaya enam bulan lalu.
Hujung Julai lepas, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri didakwa tidak lagi menyokong kepimpinan Parti Warisan yang diketuai oleh Shafie Apdal, sehingga mendorong Ketua Menteri itu, yang partinya bersekutu dengan Pakatan Harapan membubarkan Dewan Undangan Negeri setelah mendapat perkenanan Gabenor Negeri Juhar Mahiruddin.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat berkata pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah-khemas khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
"Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan yang ingin mengundi pula perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah terlebih dahulu untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi," kata Pegerusi SPR Abdul Ghani Salleh dengan menambah tempoh mengundi yang diwartakan kerajaan adalah antara 7.30 pagi sehingga 5 petang.
Menurut SPR, sebanyak 741 Pusat Mengundi dan 2,540 Saluran Mengundi akan dibuka pada Sabtu bagi tujuan pengundian di seluruh negeri itu, dengan seramai 28,656 orang petugas akan bertugas manakala lebih 1.1 pengundi bakal mengundi pada Sabtu.
Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.