Kes COVID-19 Menurun Di Malaysia Susulan Perintah Kawalan Pergerakan
2021.02.12
Kuala Lumpur

Perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan sebulan lalu di Malaysia dilihat berhasil dengan kes jangkitan koronavirus yang baru menurun secara perlahan sejak 12 hari lepas, kata beberapa persatuan perubatan kepada BeritaBenar.
Pada masa sama, persatuan perubatan itu berpendapat darurat yang dilaksanakan di seluruh negara sejak pertengahan Januari tidak memberi banyak kesan dalam mengekang penularan virus tersebut.
Perintah kawalan pergerakan itu telah membantu menurunkan bilangan kes jangkitan namun darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong membantu dari segi memastikan tiada pergolakan politik berlaku dalam negara, kata Presiden Persatuan Doktor Muslim Malaysia Ahmad Shukri.
Malah, jumlah jangkitan COVID-19 meningkat dua kali ganda pada bulan pertama pelaksanaan darurat, dan lebih banyak ujian saringan dan pengesanan kontak semasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP menyebabkan berlakunya peningkatan kes tersebut, katanya.
"Kita melihat penurunan kes sejak beberapa hari terakhir ini. Jumlah kes yang tinggi [sebelum ini] adalah kerana pelaksanaan saringan besar-besaran di tempat-tempat seperti kilang,” kata Shukri kepada BeritaBenar.
Shukri berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu sebenarnya yang menyebabkan kes jangkitan menurun pada masa ini. Beliau berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh pelaksanaan PKP, yang akan berakhir pada 18 Februari, selama dua minggu lagi.
"PKP sahaja sudah cukup, tidak perlu dilaksanakan darurat," kata Shukri.
"Tetapi dari sisi positifnya, ia membawa kestabilan politik di negara ini, yang memberi ruang kepada kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memerangi pandemik ini."
Ketika ditanya sama ada darurat diperlukan untuk menurunkan kes COVID-19, Megat Mohammad Amirul Amzar dari Medical Mythbusters Malaysia (M3) memberitahu BenarNews, "tidak begitu perlu."
Namun, beliau juga berkata bahawa ketidakstabilan politik pada masa ini boleh menjejaskan usaha untuk membendung pandemik tersebut.
Jangkitan baru koronavirus di antara 12 Januari - tarikh darurat dilaksanakan - dan 12 Februari meningkat menjadi 116,765 kes berbanding 58,699 kes yang dicatatkan dalam masa 30 hari sebelumnya, menurut satu analisis data kerajaan.
Sejak 31 Januari - ketika kes baru mencecah catatan harian tertinggi iaitu 5,728 - jangkitan baru secara umumnya menurun setiap hari sejak dari itu, menurut statistik yang dihimpun oleh pakar penyakit di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat.
Kerjasama awam-swasta dalam penjagaan kesihatan
Pada Jumaat, Malaysia melaporkan 3,318 kes jangkitan baru menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara adalah 258,306 kes sejak pandemik itu bermula di negara ini awal tahun lalu.
Pada 11 Januari, kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu - yang kemudiannya dilanjutkan sehingga pertengahan Februari - sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelaksanaan darurat di seluruh negara.
Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan untuk mengekang peningkatan kes koronavirus pada waktu itu, kata pegawai kesihatan, dan Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa darurat perlu dilaksanakan atas sebab yang sama kerana, seperti yang dinyatakan oleh Istana Negara, pandemik virus itu telah mencapai " tahap yang amat kritikal " pada ketika itu.
Pengkritik dan beberapa pemimpin pembangkang menyatakan bahawa darurat tidak perlu dilaksanakan kerana perintah kawalan pergerakan sahaja sudah mencukupi.
Mereka juga menyatakan bahawa Muhyiddin Yassin, perdana menteri kerajaan Malaysia yang tidak dipilih menerusi pilihan raya, telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen dan bertindak menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat agar beliau dapat terus menyandang kuasa dan mengelak pilihan raya umum. Di bawah pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini, persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan dan pilihan raya umum mengejut juga tidak dapat diadakan.
Dzulkefly Ahmad, yang pernah menjadi menteri kesihatan dalam kerajaan sebelum Muhyiddin, berkata bahawa pelaksanaan darurat itu adalah hanya muslihat politik dan strategi COVID-19 perdana menteri sebenarnya gagal.
"Walaupun PKP dilaksanakan secara tidak efektif tanpa adanya saranan langkah-langkah kesihatan awam yang lain, ordinan darurat itu sebenarnya hanyalah alat politik yang bertujuan untuk melumpuhkan bukan sahaja ahli politik tetapi yang lebih utama untuk menjadikan demokrasi berparlimen tidak berfungsi," kata Dzulkefly.
Daripada melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Dzulkefly berkata Malaysia sepatutnya melaksanakan Perintah Kawalan Kesesakan di tempat kerja bersama-sama dengan sekatan sebahagian pergerakan. Ini, katanya, boleh mengurangkan jangkitan di tempat kerja.
Semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada masa ini, hanya perniagaan bagi lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi namun pada kapasiti berkurangan.
Tetapi, kluster tempat kerja terbukti menjadi "lubuk" di mana kebanyakan jangkitan koronavirus baru dilaporkan, menurut statistik harian yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah.
Sebagai contoh, pada Jumaat, sebanyak 14 kluster koronavirus baru dikesan dengan 13 daripadanya dikaitkan dengan tempat kerja, lapor agensi berita Bernama yang dikendalikan kerajaan.
Bagi Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pelaksanaan darurat telah dapat melancarkan kerjasama terutamanya antara pengamal perubatan di sektor swasta dan awam.
"Pelaksanaan darurat membantu kita untuk melangkaui semua peraturan yang ada sebelum ini. Kami dapat berkongsi sumber dengan hospital kerajaan, dan doktor dari kedua-dua belah pihak dapat saling membantu tanpa kerenah,” kata Kuljit Singh, presiden persatuan itu kepada BeritaBenar.
"Begitulah juga sekiranya kami perlu meminjam sesuatu daripada hospital kerajaan sama ada ubat atau peralatan. Ia mudah, hanya dengan satu panggilan telefon, ia tiba,” jelasnya.
Namun, Persatuan Perubatan Malaysia menyatakan dalam satu kenyataan beberapa hari selepas darurat dikuat kuasa bahawa sektor penjagaan kesihatan swasta telah menawarkan perkhidmatannya sejak dari awal pandemik itu menular.
‘Kadar jangkitan menurun’
Sementara itu, ketua pengarah kesihatan Malaysia pada Jumaat memberitahu menerusi media sosial bahawa kadar jangkitan di negara itu - yang dikenali sebagai R0 dan disebut sebagai R-Naught - telah menurun kepada 0.88 berbanding 1.16 pada 31 Januari.
R0 adalah istilah matematik yang digunakan oleh ahli epidemiologi untuk mengira jangkitan penyakit ini. Istilah ini menunjukkan jumlah orang yang boleh dijangkiti virus tersebut.
"Mengikut pengiraan kami, berdasarkan empat minggu pelaksanaan PKP diikuti oleh PKPB [bersyarat], kami berharap untuk melihat kadar jangkitan yang lebih rendah pada 0.6 peratus. Ini bermakna dalam masa seminggu, kami berharap dapat melihat 2,000 kes [setiap hari], kemudian 1,000 kes diikuti 500 kes dan seterusnya,” kata Noor Hisham Abdullah kepada wartawan pada hari Selasa.
"Jika kita terus menurunkan kadar jangkitan, kita mungkin dapat melandaikan lekuk ini, mungkin pada Mac atau April dan kita berharap untuk mencapai dua angka pada pertengahan Mei atau akhir Mei."
Walaupun penurunan kes secara beransur-ansur dan R0 yang lebih rendah nampaknya menunjukkan pandemik semakin berkurangan, beberapa yang menentangnya percaya bahawa jumlah tersebut tidak menceritakan keadaan keseluruhannya.
Pihak berkuasa kesihatan tidak melakukan banyak ujian koronavirus sejak awal Februari, menurut CodeBlue, sebuah penerbitan penjagaan kesihatan Malaysia, yang memetik data Kementerian Kesihatan.
Sebagai contoh, pada 3 Februari, lebih daripada 67,000 orang disaring manakala pada 9 Februari, hanya lebih sedikit daripada 49,000 orang disaring untuk virus tersebut, lapor CodeBlue.
Ini sama seperti menolak hakikat sebenar yang berlaku, kata Dr Musa Mohd Nordin, seorang doktor terkemuka yang telah mengkritik dasar pandemik yang dilaksanakan kerajaan.
Nordin merujuk kepada kenyataan bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Julai lalu bahawa kurang ujian dilakukan bermakna kurangnya jangkitan baru koronavirus.
"Malaysia melakukan 14 ujian bagi setiap kes baru yang mana adalah lebih rendah berbanding 25 ujian di Thailand, 121 di Korea Selatan, 548 di Taiwan, 1,068 Singapura, dan 1,680 di New Zealand," kata Nordin.
"Ini adalah andaian sendiri yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan melalui sains COVID-19 Trump - kurang ujian bermakna kurang kes."