Malaysia Dilanda Fenomena Ekuinoks Mulai Ahad Ini
2016.03.18
Kuala Lumpur

Malaysia diramalkan mengalami cuaca panas lebih teruk berbanding sekarang, apabila berlakunya fenomena ‘ekuinoks’ – matahari melintasi garisan Khatulistiwa, mulai Ahad ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Che Gayah Ismail berkata, fenomena itu akan memberi impak drastik terhadap perubahan cuaca panas yang sedang dialami Malaysia ketika ini, dengan menjadi lebih panas, namun peralihan monsun pada bulan April dijangka dapat mengurangkan kesan panas itu.
"Hujan dan ribut petir diramal kerap berlaku pada sebelah petang dijangka dapat mengurangkan haba kepanasan," katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Sementara itu, pakar metereologi JMM, Azhar Ishak berkata, ekuinoks terjadi apabila matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari hemisfera Selatan Bumi ke hemisfera Utara setelah enam bulan berada di hemisfera Selatan.
“Fenomena ini akan menyebabkan cuaca lebih panas terutamanya di bahagian utara negeri Kedah dan Perlis, kerana berlakunya pergolakan cuaca yang sangat aktif di ekuator Selatan, selain peralihan musim monsun, dari monsun timur laut ke barat daya” katanya kepada BeritaBenar.
Menurut Agensi Angkasa Negara, semasa berlakunya Ekuinoks, matahari akan tegak dilangit dengan orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang mereka seperti kebiasaan, dan seluruh dunia akan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam terang dan 12 jam gelap.
Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak menolak kemungkinan suhu maksimum cuaca panas melampau yang sedang melanda Malaysia boleh mencapai 40 darjah celcius.
Menterinya Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata, enam kawasan di Malaysia telah mencapai atau melebihi paras ambang gelombang haba, dengan Chuping di Perlis, mencatatkan suhu tertinggi iaitu 39 darjah celsius.
Katanya, tempat lain yang turut dilanda cuaca panas melampau ialah Alor Setar, Kedah, Ipoh dan Lubuk Merbau, Perak serta Batu Embun dan Temerloh di Pahang.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua bacaan yang dicatatkan itu, belum mengatasi suhu paling panas yang pernah direkodkan dalam sejarah negara di Chuping, yang mencecah 40.1 darjah celcius, pada 1998.
Beliau menambah, petunjuk bagi paras ambang gelombang haba adalah apabila suhu tertinggi harian mencapai 35 darjah celsius untuk lima hari berturut-turut dan melebihi dua darjah Celcius daripada purata jangka panjang suhu maksimum.
"Paras ambang gelombang haba juga dikesan apabila suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah celcius untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi kawasan berkenaan," katanya sambil menasihati orang ramai supaya menghadkan aktiviti luar dan minum banyak air.
‘Kes kelesuan haba dan strok’
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata, sebelas kes kelesuan haba dan tiga strok haba dengan satu kematian dilaporkan berlaku di Malaysia sejak awal bulan ini.
Beberapa hospital di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Kedah kini sedang merawat beberapa kes yang disebabkan oleh kelesuan haba dan strok haba sejak cuaca panas yang sedang melanda negara itu.
“Pada Rabu, seorang pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Johor, meninggal dunia akibat strok haba ketika menjalani latihan fizikal di pusat berkenaan,” tambah Subramaniam seperti dilaporkan media tempatan.
Akibat kematian itu, Menteri berkenaan juga menasihati agensi kerajaan terutamanya badan beruniform supaya mengurangkan atau membatalkan terus sesi latihan fizikal yang boleh menjejaskan kesihatan anggota-anggota mereka.
Jawatankuasa khas mengenai cuaca panas Kementerian Sumber Asli juga memutuskan supaya Kementerian Pendidikan menutup sekolah apabila cuaca melebihi 37 darjah celcius jika berlaku tiga hari berturut-turut.
Semua sekolah di negara itu, kini sedang cuti penggal dan akan dibuka untuk sesi persekolah seterusnya pada Ahad atau Isnin ini.
"Pengetua dan guru besar dimaklumkan supaya tidak menjalankan aktiviti luar dan jika masih mahu dibuat, ianya mesti dijalankan didalam bangunan.” kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
‘Periuk nasi’ terganggu
Seorang guru, Hamizah Ahmad, 29, berkata, suhu yang terlalu tinggi sememangnya amat membahayakan para pelajar, terutamanya pelajar sekolah rendah, kerana bahang dan haba yang terik dapat dirasakan disebabkan kelas tidak tertutup serta bilangan murid yang ramai.
“Bagi pelajar yang berjalan kaki ke rumah perlu mengambil langkah alternatif untuk tidak terlalu terdedah kepada cuaca dengan membawa payung ataupun memakai topi,” katanya kepada Berita Benar.
Pelajar di sebuah institut pengajian awam Muhammad Azrul Hakeem Azmi, 19, pula berkata keadaan cuaca ini membuatkan ramai pelajar tidak selesa dan kurang fokus untuk belajar kerana ketidakselesaan akibat suasana perit.
“Jika tidak mahu berikan cuti, sepatutnya dipertimbangkan membekalkan minuman percuma untuk pelajar supaya tidak mengalami kehausan selain mengurangkan ketidakselesaan semasa berada di dalam kuliah,” katanya kepada BeritaBenar.
Seorang nelayan, Abdullah Yahya, 57 merungut sejak cuaca panas melanda, hasil tangkapannya semakin berkurangan sehingga 70 peratus.
“Kami tidak dapat berada lama di laut kerana terlalu panas. Sebelum ini kami turun ke laut awal pagi dan pulang awal petang tetapi kini kami terpaksa pulang sekitar pukul 10 pagi,” katanya kepada BeritaBenar.