Dua Nelayan Indonesia Diculik di Perairan Malaysia
2018.09.11
Kota Kinabalu, Malaysia

Dua lelaki bersenjata dipercayai dari selatan Filipina telah menculik dua nelayan Indonesia di perairan Semporna, Sabah pada awal Selasa, demikian menurut pihak berkuasa Malaysia.
Kedua nelayan tersebut dikenali sebagai Samsul Saguni, 40 dan pembantunya Usman Yunus, 35 diculik dari bot nelayan mereka oleh dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan rifel M16.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata, penculikan itu berlaku pada 12.30 pagi di perairan berdekatan Pulau Gaya di daerah Semporna.
“Pihak polis sedang menyiasat identiti penculik dan ke mana kedua-dua nelayan itu dibawa. Kita percaya kes ini mempunyai kaitan dengan kumpulan penculik untuk wang tebusan.
“Setakat ini, pihak berkuasa masih belum menerima sebarang permintaan dari sesiapa dan juga tidak menolak kemungkinan kes itu ada kaitan dengan keganasan,” kata Omar dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.
Menurut pesuruhjaya polis itu, dua lagi nelayan Indonesia yang berada di dalam bot semasa kejadian berlaku terselamat, selepas masing-masing menyembunyikan diri apabila mengetahui bahawa bot tersebut dinaiki oleh lelaki bersenjata.
“Kami sudah menghubungi pihak berkuasa Filipina untuk meminta kerjasama dan sedang menunggu maklum balas daripada mereka,” kata Omar kepada BeritaBenar.
“Berdasarkan maklumat yang kita dapat dari dua lagi nelayan yang menyembunyikan diri itu, suspek membawa M16 dan menaiki bot pancung. Kita tidak tahu berapa ramai di dalam bot pancung itu kecuali dua yang menaiki bot nelayan tersebut.”
Beliau berkata, kes ini adalah yang pertama dilaporkan di Sabah tahun ini dan bot yang dinaiki nelayan Indonesia itu mempunyai lesen untuk beroperasi dalam waktu sekatan yang dilaksanakan oleh Zon Keselamatan Timur Sabah [ESSZONE].
Penculik berbahasa Suluk
Mangsa yang terselamat yang hanya mahu dikenali sebagai Bakri berkata beliau percaya penculik berasal dari selatan Filipina kerana mereka bercakap dalam bahasa Suluk, salah satu bahasa yang digunakan di Filipina.
“Saya tak faham apa yang mereka cakapkan kerana mereka berbahasa Suluk, saya tahu kerana saya selalu dengar bahasa itu,” katanya kepada BeritaBenar.
Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila dia naik ke pelantar bot dan mendapati lampu dipadamkan.
“Dalam gelap saya nampak bayang-bayang dua orang membawa senjata api. Saya terus turun ke bawah pelantar dan sembunyikan diri.”
Kata Bakri, dia memohon doa kepada Tuhan untuk memastikan diri selamat sambil berbaring kaku di bawah longgokan kayu dan guni.
Selepas sejam, seorang lagi anak kapal yang juga warga Indonesia memanggil namanya dan memberitahu beliau bahawa penculik telah membawa lari dua rakan mereka.
Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata pihak berkuasa akan mengambil semua langkah untuk melakukan carian lokasi penculik dan mangsa culik walaupun mereka bukan rakyat negara ini.
“Saya sudahpun mengeluarkan arahan supaya tindakan diambil walaupun mangsa warga Indonesia,” kata beliau di Kota Kinabalu Selasa.
Tambah beliau lagi pihak berkuasa turut diarahkan melakukan rondaan yang ketat dan mengumpul maklumat lanjut untuk mencari di mana mangsa culik di sembunyikan.
“Kita akan memastikan bahawa mangsa dijumpai selamat kerana mereka dibawa lari dari perairan Malaysia dan sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai negara jiran,” kata beliau.
Nicholas Teo, Timbalan Pengarah Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) kes itu merupakan yang pertama berlaku di lautan Sulu-Celebes sejak Mac 2017.
“Yang terakhir adalah pada 23 Mac, 2017 berdekatan Basilan di selatan Filipina, “ kata Teo kepada BeritaBenar.
Kejadian pada Selasa dan cubaan menaiki bot dipercayai oleh kumpulan Abu Sayyaf berdekatan Lahad Datu di timur Sabah pada Ogos tahun ini adalah antara kes terbaru lanun di Asia.
Sejumlah 40 kejadian lanun dan cubaan rompakan bersenjata melibatkan kapal dilaporkan di Asia di antara Januari dan Jun 2018, menurut laporan ReCAAP.
Kawalan keselamatan ditingkatkan di timur Sabah dengan tertubuhnya ESSZONE dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 2013 selepas kejadian berdarah melibatkan pertembungan di antara anggota keselamatan Malaysia dan militan Sulu pada 2013.
Sabah turut menjadi tumpuan dunia pada tahun 2000 bila 21 orang telah dijadikan tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Sipadan.
Militan Abu Sayyaf banyak terbabit di dalam kes menyamun, penculikan dan pengeboman di sekitar pulau Jolo dan Basilan di bahagian barat daya Filipina sejak penubuhannya pada awal tahun 1990-an.