Penculikan di Perairan Selatan Filipina Meningkat Dalam 2016: Badan Pengawas Maritim

Staf BeritaBenar
2017.01.10
Washington DC
170110-MY-ID-kidnappings-1000.jpg Mangsa culik warga Indonesia Mohammad Nazer (kiri) dan Robin Peter dirawat di sebuah hospital di Zamboanga, Filipina, selepas dibebaskan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, 12 Disember 2016.
[AFP/Westmincom]

Penculikan maritim di seluruh dunia mencatatkan rekod 10 tahun pada 2016 dengan peningkatan yang membimbangkan bagi kes penculikan kapal Indonesia dan Malaysia di perairan antara Borneo dan selatan Filipina, kata sebuah badan pemantau pelanunan antarabangsa dalam satu laporan yang diterbitkan pada Selasa.

Terdapat banyak penculikan yang melibatkan anak kapal di laut pada tahun lepas di seluruh dunia berjumlah 62 insiden berbanding beberapa dekad yang lalu, sementara hampir separuh daripadanya iaitu 28, berlaku di Laut Sulu dan perairan lain di sekitar Borneo, menurut Biro Maritim Antarabangsa (IMB) di Kuala Lumpur.

Bilangan insiden penculikan di laut bagi seluruh dunia pada 2016 adalah tiga kali ganda daripada jumlah pada tahun sebelumnya, iaitu 19 kes, kata IMB dalam laporannya, bagaimanapun, kes lanun global tahun lalu mencapai tahap paling rendah dalam hampir dua dekad.

"Penculikan di Laut Sulu antara Malaysia Timur dan Filipina berada pada tahap yang membimbangkan," kata Pengarah IMB Pottengal Mukundan, organisasi yang telah memantau kegiatan lanun di dunia sejak 1991.

"Jumlah pelanunan yang semakin berkurangan adalah berita baik, tetapi laluan perkapalan tertentu tetap berbahaya, dan peningkatan penculikan melibatkan krew adalah satu trend yang sangat membimbangkan di beberapa kawasan yang baru muncul," katanya.

Laporan IMB menunjukkan "ancaman baru yang muncul melibatkan kapal perdagangan" di Laut Sulu dan Sulawesi, di mana 12 anak kapal telah diculik dari dua kapal kargo awam dan bot nelayan yang berlabuh di suku terakhir 2016.

"Krew sebelum ini telah diculik dari kapal tunda dan tongkang dalam tiga kejadian berasingan pada separuh  tahun pertama 2016. Peningkatan penculikan melibatkan anak kapal di kawasan berkenaan semakin membimbangkan," kata laporan itu.

Bagaimanapun, dokumen IMB itu, tidak menyebut kes terbaru yang melibatkan lapan mayat nelayan Filipina yang ditemui terlantar dalam bot mereka di Teluk Moro sekitar perairan Semenanjung Zamboanga di selatan pulau Mindanao, kata tentera Filipina pada Selasa, menurut Agence France-Presse.

Perbincangan tiga hala

Para pegawai dari Filipina, Malaysia dan Indonesia telah menyalahkan penculikan di perairan yang berlaku baru-baru ini, dilakukan oleh kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf, yang berpangkalan di selatan Filipina.

Wakil dari ketiga-tiga negara bertemu beberapa kali pada 2016 untuk mewujudkan sebuah rangka kerja bagi kerjasama keselamatan maritim termasuk rondaan bersama di perairan yang dikongsi bersama berikutan beberapa siri penculikan di laut itu.

Walaupun usaha untuk mencapai persetujuan masih berjalan, rondaan bersama yang melibatkan ketiga negara jiran itu masih belum bermula.

"Saya benar-benar berharap kita boleh melakukannya dalam masa terdekat," jurucakap Tentera Nasional Indonesia Brig. Kej Wuryanto memberitahu BeritaBenar pada November lepas. "Kami berasa agak malu sekarang [kerana] penculikan terus terjadi pada masa ini."

Menurut pegawai Malaysia, ASG masih menjadikan lima rakyat Malaysia sebagai tebusan yang diculik dari kawasan perairan Lahad Datu, Sabah pada 18 Julai tahun lepas.

Pada Disember, anggota keselamatan Malaysia membunuh tiga lelaki bersenjata dan menawan dua yang lain semasa pertempuran di sekitar perairan Sabah. Pertempuran itu tercetus apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki sebuah bot laju menghampiri sebuah kapal peronda Tiger Platun yang sedang membuat rondaan di perairan tempatan. Mereka yang merancang merampas kapal berkenaan tersilap mengatur langkah kerana Tiger

Tiger Platun adalah sebuah kapal dari unit elit Pasukan Gerakan Am Polis DiRaja Malaysia.

Dua lagi anak kapal Indonesia yang telah diculik pada 20 Nov lepas masih dalam tawanan ASG. Kumpulan militan itu menculik 27 warga Indonesia pada 2016.

Pada Mac tahun lepas, 10 anak kapal bot tunda telah diculik dan kemudian dibebaskan pada 1 Mei, manakala empat yang diculik pada April, dibebaskan pada 11 Mei.

Tujuh lagi yang diculik pada Jun dengan dua yang terakhir dibebaskan pada Disember. Tiga telah diculik pada Julai, dibebaskan pada September termasuk seorang lagi yang diculik pada  Ogos

Azmi Hassan, seorang penganalisa keselamatan di Universiti Teknologi Malaysia, memberitahu BeritaBenar bahawa penguatkuasaan keselamatan yang longgar di Laut Sulu dan selatan Filipina membolehkan ASG, merampas kapal dan menjalankan penculikan, yang sekaligus mewujudkan perairan yang tidak selamat bagi kapal-kapal perdagangan serta yang  lain.

"Bukan sahaja perairan Laut Sulu, tetapi perairan Filipina yang tidak terkawal, termasuk di tanah besar Mindanao, tidak dapat dikawal oleh Manila," katanya pada Selasa.

Beliau bagaimanapun, memuji keputusan Presiden Filipina yang baru, Rodrigo Duterte, yang membenarkan pasukan keselamatan dari Malaysia dan Indonesia untuk mengejar lanun ke perairan Filipina, sambil menambah,  kebenaran itu menunjukkan kesungguhan Manila untuk membendung penculikan



Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.