Rasuah: Malaysia sita bangunan 60 tingkat milik bekas menteri kewangan

Pegawai agensi anti-rasuah mengesahkan penyitaan tersebut adalah sebahagian daripada proses siasatan yang melibatkan Daim dan aset keluarganya.
Iman Muttaqin Yusof
2023.12.22
Kuala Lumpur
Rasuah: Malaysia sita bangunan 60 tingkat milik bekas menteri kewangan Penasihat kerajaan baharu Malaysia Daim Zainuddin (tengah) tiba untuk bertemu dengan Menteri Luar China di Kementerian Luar Negeri di Beijing, 18 Julai 2018.
[Andy Wong / POOL / AFP]

Pihak berkuasa Malaysia telah menyita sebuah bangunan 60 tingkat dan kompleks pejabat dimiliki keluarga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang merupakan sebahagian dari siasatan terhadap salah laku rasuah dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion (AS$496 juta) semasa berkhidmat di bawah pemerintahan Mahathir Mohamad sekitar tahun 1990-an.

Daim dan keluarganya turut disenaraikan dalam Kertas Pandora yang didedahkan Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICJ), sekaligus mengaitkan keluarga bekas menteri itu dengan beberapa transaksi yang dijalankan di pusat kewangan luar pesisir, kata pegawai.

Menurut notis penyitaan bertarikh 18 Disember, Ilham Tower – bangunan pecakar langit yang menempatkan unit pejabat, hotel dan juga galeri- telah disita di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sepertimana yang dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan dalam dilaporkan oleh akhbar tempatan dan dilihat BenarNews.

Notis tersebut bertulis: “Pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya di bawah Seksyen 38 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan terletak hak pada saya mengikut Sekyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], saya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“… bahawa terdapat harta tak alih, adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, atau keterangan pelakuan kesalahan itu. Saya dengan ini mengeluarkan notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam jadual tersebut dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.

“Kamu hendaklah dengan serta-merta mencatatkan terma notis ini pada dokumen hakmilik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam daftar di pejabat kamu,” Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib berkata dalam notis tersebut.

Notis tersebut turut dimaklumkan bahawa individu yang melanggar perintah yang dinyatakan boleh disiasat dibawah Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009 jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga dua kali ganda nilai aset atau RM50,000 (AS$10,794), atau yang mana lebih tinggi dan penjara sehingga dua tahun.

Pegawai SPRM mengesahkan bahawa penyitaan yang dilakukan adalah sebahagian dari proses siasatan, yang turut melibatkan Daim dan aset keluarganya.

Sejak meletak jawatan pada 2001, Daim yang berkhidmat di bawah pemerintahan perdana menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad, telah berhadapan dengan beberapa siasatan oleh SPRM berkaitan dakwaan penyelewengan bernilai RM2.3 bilion (AS$496 juta) dana awam semasa menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 1997.

Daim, bagaimanapun, pernah mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan oleh media tempatan bahawa beliau “belum pernah didakwa (di mahkamah)” meskipun pernah disiasat polis dan SPRM.

Media Singapura, Channel News Asia (CNA) pada Khamis memetik sumber yang rapat dengan Daim mendedahkan penyitaan yang dibuat pada hari berkenaan adalah susulan daripada keengganan Daim dalam mematuhi arahan SPRM untuk mengiytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.

Menurut CNA, Daim memaklumkan kepada pegawai SPRM bahawa beliau tidak terlibat dalam urusniaga dana awam berkenaan. Namun, pada awal Disember, beliau dimaklumkan oleh SPRM bahawa tiada lagi lanjutan masa akan diberikan.

Kertas Pandora

Terdahulu, Daim yang berusia 85 tahun dilaporkan berada dalam siasatan kerana enggan mendedahkan kekayaan, berikutan namanya tersenarai dalam dokumen sulit Kertas Pandora 2021 oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICJ) berhubung transaksi yang dijalankan di pusat kewangan luar pesisir.

Kertas Pandora itu mengaitkan Daim dengan lima entiti luar pesisir, yang mana ianya menamakan beberapa ahli keluarga Daim termasuk isteri ketiga dan dua anak lelaki beliau – yang juga merupakan pemilik Ilham Tower.

BenarNews cuba mendapatkan komen Daim berkenaan perkara tersebut namun panggilan telefon diputuskan oleh kakitangan Ilham Tower.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyuarakan sokongan beliau terhadap tindakan tersebut, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan perpaduan pimpinan beliau dalam mengamalkan sifar toleransi terhadap rasuah.

Beliau berkata adalah penting bagi agensi pencegahan rasuah untuk merungkai sebarang “rahsia terbuka” yang berkaitan dengan salah laku rasuah walaupun ianya melibatkan orang yang berpengaruh.

“Biar SPRM menjalankan tugas dan tidak mengira kedudukan, sebab tu saya sebut tidak kira Tun ke Tan Sri…. Kalau tidak nanti kritikannya yang ikan-ikan kecil ni ditangkap, yang ketua-ketua tidak boleh disentuh. Bila sentuh masih ada yang pertahankan.

“Biarlah siasatan dibuat, ia rahsia umum, seseorang yang menggondol kekayaan begitu besar, biarlah ada siasatan supaya pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah-perasuah besar,” kata Anwar berkata media di Kuala Lumpur.

Pada Februari lepas, Anwar telah mengarahkan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan ke atas pihak yang dikenalpasti dalam Kertas Pandora.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.