Rohingya: Polis Malaysia Sahkan Satu Kematian Sebelum Rusuhan Bermula

Lelaki yang dipercayai dalang rusuhan sedang diburu pihak berkuasa Malaysia termasuk lebih 100 lagi yang masih bebas.
Suganya Lingan & Iskandar Zulkarnain
2022.04.21
Kuala Lumpur & Kedah
Rohingya: Polis Malaysia Sahkan Satu Kematian Sebelum Rusuhan Bermula Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memberi kebenaran van Jabatan Imigresen Malaysia memasuki kawasan Depot Tahanan Sementera Imigresen Sri Impian di Bandar Baharu di Kedah, selepas berlakunya rusuhan di depot berkenaan, 20 April, 2022.
[A. Ammaruddin/BenarNews]

Polis Malaysia pada Khamis mengesahkan bahawa terdapat satu kematian di Pusat Tahanan Sementara di Bandar Baharu, Kedah yang melibatkan seorang pelarian Rohingya beberapa jam sebelum berlakunya rusuhan serta turut mengenalpasti dalang yang mencetuskan rusuhan yang dipecayai masih bebas bersama lebih 100 pelarian lagi dengan menggunakan pelbagai cara termasuk helikopter.

Ketua Siasatan Jenayah Kedah G Suresh Kumar memberitahu media bahawa dalang tersebut adalah pelarian Rohingya berumur dalam lingkungan 30an dan sudah lama berada di pusat tahanan tersebut serta masih lagi bebas bersama 109 yang lain.

“Setakat ini apa yang kita tahu bahawa mereka yang melarikan diri ini hanya mahu bebas dan bukan kerana mereka tidak berpuas hati dengan pengurusan kem,” kata beliau.

Berhubung dengan dakwaan bahawa rusuhan itu bermula selepas kematian seorang tahanan kerana tidak diberikan bantuan perubatan yang sepatutnya, Suresh berkata siasatan masih berjalan mengenai perkara tersebut.

“Untuk rekod, memang ada satu kematian melibatkan tahanan berumur lewat 30an pada malam itu, beberapa jam sebelum rusuhan bermula. Kami sedang menjalankan bedah siasat ke atas mayat tersebut dan sehingga keputusan autopsi diterima, saya berharap semua orang tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” kata Suresh.

Sehingga kini lebih 20 pegawai Imigresen dan anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Suresh berkata siasatan awal menunjukkan bahawa tiada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa rusuhan tercetus akibat adanya penganiayaan di pusat tahanan tersebut.

“Kita harus faham tujuan mereka datang ke negara ini. Apabila mereka ditangkap, satu sahaja perkara dalam kepala mereka iaitu melarikan diri. Jadi apabila peluang itu datang, mereka terus mengambilnya,” kata Suresh lagi.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tahanan telah dipaksa oleh tahanan lain untuk melarikan diri.

Jelasnya, tidak ada kemungkinan ianya berlaku kerana ada lebih 100 orang tahanan lain yang terus kekal di dalam sel masing-masing sewaktu rusuhan berlaku.

Pelanggaran hak asasi manusia

Susulan kejadian di depot tahanan berkenaan, beberapa organisasi bukan kerajaan telah mendesak supaya satu siasatan dijalankan berikutan terdapat dakwaan berlaku pelanggaran hak asasi manusia sehingga mencetuskan rusuhan.

“Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai keadaan di DTI (Depot Tahanan Imigresen) serta ruang bagi para tahanan untuk meluahkan keresahan berhubung kekurangan yang berlaku. Menurut undang-undang Gabungan Penahanan Antarabangsa (International Detention Coalition) penahanan imigresen seharusnya menjadi pilihan akhir dan hanya apabila perlu, wajar dan selari dengan objektif kerajaan yang diperakui sebagai sah.

“Begitupun, organisasi-organisasi hak asasi telah merakamkan keadaan yang tidak menyenangkan di beberapa DTI Malaysia, di mana pendatang, termasuk kanak-kanak, ditahan untuk tempoh masa yang begitu lama.

“Laporan berhubung kejadian semalam menunjukkan wujud kebimbangan yang serius berhubung standard kesihatan di DTI Pulau Pinang,” demikian menurut badan Article19 dalam satu siri ciapan di laman Twitter.

Badan bukan kerajaan itu turut berkata para aktivis kemanusiaan dan hak asasi manusia perlu dibenarkan akses ke depot-depot tahanan imigresen dan juga maklumat berkaitan operasi pusat-pusat tahanan berkenaan.

“Kejadian tersebut turut mengetengahkan diskriminasi dan prejudis terhadap kumpulan pendatang, termasuk pelarian Rohingya, yang menjadi sasaran ucapan berbaur kebencian yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujar Article19 lagi.

Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) menyambut baik siasatan oleh pihak kerajaan serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung kejadian di depot tahanan tersebut, sambil menegaskan pelarian adalah mereka yang tidak mempunyai kerakyatan, justeru mereka tidak boleh pulang ke Myanmar.

“Adalah menjadi tanggungjawab UNHCR dan negara-negara yang mereka tinggal untuk memberikan perlindungan serta merangka satu penyelesaian yang wajar kepada etnik Rohingya selari dengan undang-undang antarabangsa.

“Penahanan yang berlanjutan pastinya akan memberi kesan kepada kesihatan mental mereka sebagai mangsa pembersihan etnik. Sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami dengan rendah hati memohon kerajaan Malaysia untuk membenarkan akses UNHCR kepada para tahanan. Kami berharap kerajaan Malaysia, SUHAKAM dan UNHCR akan duduk semeja bagi mencari penyelesaian yang wajar kepada isu etnik Rohingya,” demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan organisasi tersebut pada Khamis.

UNICEF Malaysia pada Khamis juga turut menzahirkan kesedihan berhubung kehilangan nyawa yang berlaku selepas para tahanan melarikan diri dan menyeru semua pihak supaya memberi sepenuh tumpuan kepada usaha untuk melindungi nyawa serta memelihara maruah mereka yang terlibat, termasuk kanak-kanak.

“Selari dengan CRC (Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak), tahanan imigresen adalah sama sekali bukan pilihan yang wajar ke atas kanak-kanak. UNICEF bersedia untuk menyokong sebarang usaha ke arah program rintis ATD (Alternatif Kepada Penahanan) yang digerakkan oleh pihak kerajaan untuk kanak-kanak di depot tahanan imigresen sebagai langkah pertama ke arah mewujudkan alternatif terhadap kanak-kanak tahanan imigresen di Malaysia,” ciapnya di Twitter.

Dalam kejadian rusuhan pada awal Rabu, 528 tahanan termasuk kanak-kanak telah melarikan diri dari depot tahanan imigresen berkenaan. Enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak maut apabila terlibat dalam kemalangan ketika cuba melintasi lebuhraya, manakala dua tahanan dewasa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan parah.

Setakat Khamis, sekurang-kurangnya 398 tahanan yang telah melarikan diri telah ditahan semula dan pihak berkuasa masih menjejaki mereka yang masih bebas.

Angka itu termasuk dua lelaki yang ditahan di Pulau Pinang susulan maklumat yang disalurkan oleh orang awam yang terserempak dengan mereka yang berkaki ayam berjalan tanpa arah tujuan berhampiran Transkrian, Nibong Tebal.

Difahamkan, tahanan yang melarikan diri tidak mempunyai arah tuju atau tempat untuk bersembunyi memandangkan rusuhan itu berlaku tanpa dirancang, menyebabkan kebanyakan mereka ditahan tidak jauh dari lokasi depot tahanan.

Sebelum insiden rusuhan, terdapat 664 tahanan ditempatkan di depot Relau - 430 lelaki, 97 wanita dan 137 kanak-kanak.

Menurut Polis Kedah, sehingga Rabu, 448 tahanan telah dipindahkan ke depot tahanan di Semenyih dan Bukit Jalil, Selangor; Langkap, Perak; dan Machap, Melaka.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.