Malaysia Luaskan Undang-Undang Standard Minimum Perumahan Pekerja ke Sabah dan Sarawak

Undang-undang digubal melalui Ordinan Darurat itu memperuntukkan denda AS$50,000 bagi majikan yang gagal menyediakan kediaman mengikut standard.
Ray Sherman & Noah Lee
2021.02.18
Kuala Lumpur
Malaysia Luaskan Undang-Undang Standard Minimum Perumahan Pekerja ke Sabah dan Sarawak Menteri Sumber Manusia M.Saravanan dua dari kanan bersama pegawai penguatkuasa kementerian berkenaan semasa menyertai sesi serbuan ke asrama pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah di Batu 13 Cheras di Kajang, Selangor, 21 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia telah meluluskan penggubalan undang-undang melalui Ordinan Darurat yang mewajibkan semua majikan di Sabah dan Sarawak menyediakan kemudahan kediaman pekerja mengikut piawaian, kata Menteri Sumber Manusia pada Khamis yang bertujuan mengekang penularan pandemik COVID-19.

M. Saravanan berkata penggubalan undang-undang baharu menggunakan kuasa darurat terhadap akta sedia ada - Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446 memperuntukkan denda sekitar AS$50,000 atau hukuman penjara selama tiga tahun terhadap majikan yang gagal menyediakan penginapan kepada pekerja asing mengikut spesifikasi, kini meliputi seluruh negara.

"Kementerian Sumber Manusia telah mengambil beberapa inisiatif berhubung pematuhan penginapan pekerja di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19 secara menyeluruh dan berkesan dan inisiatif pertama adalah melalui pengubalan Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan dan Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan 2021) yang telah diwartakan semalam (17 Feb).

"Ia menyaksikan perluasan Akta 446 ke Sabah dan Sarawak yang sebelum ini cuma bagi Semenanjung Malaysia, tetapi mengambil kira kepada keadaan semasa dan dalam keadaan darurat, kita memutuskan untuk memanjangkan akta ini ke Sabah dan Sarawak," kata  Saravanan semasa satu sidang media pada Khamis.

Akta 446 yang dipinda setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu menetapkan spesifikasi yang perlu dipatuhi majikan dalam menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing dan tempatan mengikut piawaian yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebelum ini hanya tertakluk di Semenanjung Malaysia sahaja.

Saravanan pada Mei juga mengumumkan pemberian tempoh kepada majikan untuk membuat persediaan agar mereka mematuhi kehendak akta tersebut yang turut mengkehendaki majikan mendapatkan perakuan penginapan bermula 1 September lalu.

Pada Disember, Menteri itu memberitahu media seramai 1.472 juta atau 91.11 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara itu yang diberikan tempat tinggal oleh majikan dan penyelia mereka masih lagi gagal menyediakan penginapan mengikut Akta 446.

Mengenai pemanjangan penggunaan Akta 446 ke Sabah dan Sarawak, Saravanan berkata ia hanyalah pada waktu darurat sahaja dengan kementerian sedang melihat keberkesanan langkah tersebut serta merancang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi  langkah seterusnya.

Putrajaya telah mengisytiharkan darurat di negara itu sejak 11 Januari lalu bagi menangani pandemik koronavirus dengan proklamasi berkenaan membuka laluan terhadap pindaan undang-undang yang dibuat secara segera melalui ordinan darurat tanpa melalui proses di Parlimen.

Pewartaan ordinan mengenai perumahan pekerja tersebut adalah antara yang pertama sejak darurat diisytiharkan.

Saravanan berkata, undang-undang baharu yang digubal melalui Ordinan Darurat itu juga memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan untuk mengganti, mengubah atau membaik penginapan yang tidak mematuhi Akta 446.

Ketua Pengarah juga berkuasa untuk mengarahkan supaya pemilik penginapan memindahkan pekerja dengan serta merta dari penginapan yang sesak dan tidak sesuai didiami manusia ke penginapan sementara yang ditetapkan oleh Jabatan dengan semua kos pemindahan ditanggung oleh pemilik penginapan di bawah undang-undang baharu itu.

"Pemilik penginapan yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," kata Saravanan.

Kementerian Sumber Manusia turut menggubal dua peraturan baharu di bawah Akta 446, termasuk mewajibkan majikan untuk menyediakan penginapan bagi semua pekerja asing yang digajikan, kecuali pembantu rumah dengan satu lagi peraturan iaitu membolehkan semua kesalahan di bawah Akta 446 dikompaun.

Tenaga kerja tambahan

Saravanan juga berkata Ordinan Darurat juga memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai daripada agensi lain melalui pembentukan Pasukan Petugas Kebangsaan Pematuhan Penginapan Pekerja, yang dianggotai oleh 10 kementerian serta agensi berdasarkan keperluan bagi keberkesanan penguatkuasaan undang-undang baharu itu.

Katanya fokus kementerian kini adalah untuk memberi keutamaan penguatkuasaan undang-undang baharu terhadap lebih 70,000 majikan yang mempunyai bilangan pekerja asing tertinggi di tiga negeri di Malaysia.

"Penguatkuasaan ini mengutamakan 75,000 majikan yang menggajikan pekerja asing tertinggi dengan tumpuan di tiga buah negeri iaitu Selangor, Johor dan Kuala Lumpur serta turut meliputi tiga sektor iaitu pmbuatan, pembinaan dan perkhidmatan yang mempunyai jumlah kes positif tertinggi," kata beliau.

Bagi pekerja yang dipindahkan dari penginapan asal yang tidak menepati standard, Kementerian Sumber Manusia akan menyediakan penginapan sementara untuk mereka, dengan kos ditanggung pemilik penginapan mereka.

"Penginapan sementara ini merangkumi penginapan berpusat (centralised labour quarters – CLQ) yang telah diperakukan JTK serta hotel-hotel yang berdaftar dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia). Pakej penginapan sementara ini akan melibatkan kos sewaan sebanyak RM200 dan kos utiliti sebanyak RM20 sebulan bagi setiap pekerja yang akan ditanggung pemilik penginapan."

Vaksinasi untuk pekerja asing

Menyentuh mengenai program vaksinasi COVID-19 yang akan melibatkan para pekerja asing, Saravanan menegaskan bahawa ia adalah satu usaha yang penting bagi menghentikan penularan pandemik di kalangan pekerja, yang sehingga kini telah banyak menyaksikan kluster jangkitan di dalam negara itu.

Antara penyumbang terbesar kes positif adalah syarikat gergasi pengeluar sarung tangan Top Glove, yang menyaksikan ribuan pekerjanya disahkan positif COVID-19 tahun lepas.

"Mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing atau pekerjanya yang tinggal di penginapan yang disediakan oleh majikan menjalani vaksinasi COVID-19 adalah melakukan kesalahan di bawah Akta 446," kata Saravanan memberi amaran.

Di dalam satu kenyataan pada minggu lalu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 mengumumkan bahawa semua warga asing yang tinggal di Malaysia, termasuk yang tanpa dokumen, akan turut mendapat vaksinasi apabila Putrajaya memulakan program imunisasi kebangsaannya hujung bulan ini.

Sementara itu, dua badan bukan kerajaan yang aktif dalam isu berkenaan pekerja asing di Malaysia menyuarakan kegusaran mereka mengenai isu penguatkuasaan, termasuk selepas darurat.

Adrian Pereira, pengarah eksekutif NGO Inisiatif Utara-Selatan ketika dihubungi pada Khamis mengalu-alukan tambahan peruntukan yang dibuat kerajaan, tetapi mempersoalkan sama ada perlu dilakukan melalui penggunaan Ordinan Darurat.

"Kami mengalukan penguatkuasaan dan penambahan strategik pada undang-undang. Tetapi adakah ia perlu dilakukan melalui Ordinan Darurat? Apakah yang akan berlaku selepas tamatnya tempoh darurat? Kita mesti melakukan penguatkuasaan dengan konsisten walaupun tiada darurat," kata beliau kepada BeritaBenar.

Adrian turut menyuarakan bahawa penggubalan undang-undang tersebut juga melihat pekerja tempatan sekali lagi diketepikan, merujuk kepada peruntukan yang hanya mewajibkan majikan menyediakan kemudahan kepada pekerja asing tanpa menyebut apa-apa mengenai pekerja tempatan.

Koordinator MigrantCARE, Alex Ong pula menyifatkan langkah kementerian sebagai sesuatu yang lebih bersifat politik, dan beliau skeptik terhadap kemampuan untuk melaksanakan penguatkuasaan.

"Langkah terbaru oleh Kementerian Sumber Manusia ini adalah lebih kepada politik, kerana tidak dapat dipastikan samada Akta 446 mempunyai cukup sumber untuk penguatkuasaanya.

Adakah Jabatan Tenaga Kerja telah dibekalkan sumber untuk melaksanakannya? Adakah terdapat satu sistem holistik bagi mencipta satu situasi menang-menang? Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu retorik politik tanpa kapasiti dan merit untuk dilaksanakan," kata beliau.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.