Undang-undang Tanah Harus Hormati Tuntutan Penduduk Bumiputera - Aktivis

Labid Balang & Colin Forsythe
2017.09.04
Kuching, Sarawak & Kota Kinabalu, Sabah
dayak620.jpg Gimbun Pandikar, seorang bobohizan atau bomoh dari suku Sungai Rumanau di Keningau, Sabah mengharapkan rahmat dari "batu ikrar" ketika menyambut Hari Orang Asal Sedunia 2017, 9 Ogos 2017.
[Colin Forsythe/BeritaBenar]

Kemaskini pada 12.30 p.m ET - 2017-09-13

Kerajaan Sarawak sedang mengkaji tuntutan-tuntutan yang dibuat sejak sekian lama bagi memperluaskan hak tanah adat bumiputera di negeri timur Malaysia itu, di mana hutan hujan yang luas telah berubah menjadi ladang kayu pulpa dan kelapa sawit.

Langkah itu susulan satu keputusan mahkamah yang kontroversi pada tahun lalu yang memutuskan bahawa hak adat suku kaum Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, hanya terpakai di ladang mereka dan bukan di kawasan hutan di sekitar rumah panjang tradisional di mana mereka bercucuk tanam.

Orang asli itu, yang secara umumnya dikenali sebagai Dayak, mendakwa bahawa sejak bertahun-tahun lamanya, masyarakat mereka telah memegang hak adat bagi hutan-hutan di sekitar kediaman mereka.

Orang Dayak, yang merupakan kira-kira 40 peratus daripada 2.7 juta penduduk di negeri yang kaya dengan sumber itu, telah memfailkan ratusan saman undang-undang terhadap Sarawak dengan mendakwa ia telah mengeluarkan pajakan dan permit kepada syarikat-syarikat di tanah milik mereka.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah dijangka memberikan cadangan untuk membantu menyelesaikan kontroversi berhubung tanah-tanah adat 'tidak lama lagi', lapor Borneo Post.

Beliau mengetuai sebuah jawatankuasa, yang ditubuhkan selepas keputusan mahkamah itu, bagi melihat kemungkinan meminda undang-undang tanah negeri untuk mengatasi isu yang dihadapi masyarakat Dayak.

"Cukuplah bagi saya untuk menyatakan bahawa mereka telah membuat cadangan yang baik dan diberi tiga minggu untuk memperkemaskannya," kata Uggah kepada BeritaBenar awal bulan ini, yang merujuk kepada ahli jawatankuasanya.

Beliau tidak mengulas lanjut.

'Terlalu kaya'

Mengikut Kanun Tanah 1958, Malaysia mengiktiraf hak milik tanah bumiputera yang dikelaskan sebagai tanah bumiputera sebelum tarikh itu, atau diwartakan seperti itu sejak tarikh tersebut oleh kerajaan negeri.

Sarawak, yang menyertai Malaysia pada 1963 apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mengakui bahawa penduduk bumiputera  mempunyai Hak Adat Bumiputera (NCR) terhadap tanah yang dijadikan ladang atau bercucuk tanam, yang dikenali dalam undang-undang adat suku kaum sebagai "termuda."

Tetapi, kumpulan penduduk bumiputera di negeri di kepulauan Borneo itu menegaskan bahawa mereka harus dianggap sebagai pemilik tanah yang diperlukan untuk penggunaan bersama ("pulau galau") atau digunakan untuk memburu dan bercucuk tanam ("pemakai menoa").

Pada Disember 2016, Mahkamah Persekutuan Malaysia memutuskan bahawa hak milik tanah bumiputera ini tidak mempunyai kuasa undang-undang. Satu lagi keputusan mahkamah pada Mac 2017 memutuskan bahawa penduduk suku kaum yang tinggal di kampung-kampung sejak beberapa dekad yang lalu tidak lagi mempunyai hak terhadap tanah yang telah mereka tinggalkan.

"Peraturan yang digunakan oleh negeri ini adalah jika tanah itu bukan tanah NCR, maka ia adalah tanah milik negeri," kata ahli akademik James Chin, dari Tasmania University di Australia, dalam artikel yang ditulisnya baru-baru ini di New Mandala.

"Jutawan balak dan perladangan, selalunya adalah orang yang sama, yang tidak kisah untuk membayar berjuta-juta ringgit" bagi mendapatkan permit untuk menggunakan tanah itu - yang telah menjadikan segelintir orang sebagai "terlalu kaya," tulis Chin.

"Apa yang menjadikan keadaan lebih buruk adalah mereka yang mendakwa memiliki  tanah NCR tidak dimaklumkan mengenai pajakan itu dan hanya mengetahui tentangnya apabila pemegang pajakan itu hadir dengan jentera-jentera mereka," katanya.

Rangka perundangan

Hanya perubahan dalam dasar yang dapat menghalang perkara ini daripada berlaku, kata anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Francis Johen kepada BeritaBenar.

"Sebab itulah dasar tanah perlu dipinda untuk memasukkan kedua-dua adat ini," katanya.

Suhakam, katanya, telah membangkitkan isu ini sejak beberapa lama dan ia adalah antara syor dalam Siasatan Kebangsaan mengenai Hak Tanah Orang Asal yang diadakan pada 2010-2012.

"Ia menjadi isu dalam kalangan masyarakat bumiputera di sini dan jika anda melihat kepada adat bumiputera, skopnya adalah lebih meluas jika dibandingkan dengan peruntukan dalam kanun tanah. Oleh itu, tanah bumiputera tidak boleh ditangani dengan pemahaman yang kabur," ujar Francis.

Presiden Kongres Kebangsaan Dayak Paul Raja menggesa kerajaan negeri Sarawak untuk mengiktiraf rangka undang-undang bagi kedua-dua tanah adat itu.

"Pertikaian mengenai tanah adat boleh dikurangkan atau diselesaikan sepenuhnya setelah rangka kerja perundangan itu diiktiraf," kata Paul, yang juga seorang peguam hak tanah.

Paul juga berkata beberapa tanah yang diberikan pajakan sementara oleh kerajaan kepada pemaju tanah untuk, sama ada bagi tujuan pembalakan atau perladangan, adalah mencerobohi sempadan tanah-tanah adat yang  dipertikaikan itu.

"Di sinilah bermulanya masalah itu dan kebanyakan kes mempunyai corak yang sama. Itulah sebabnya rangka kerja undang-undang diperlukan, "kata Paul.

Boleh membawa maut

Para saintis dan aktivis menggambarkan Sarawak sebagai ‘hotspot’ bagi kehilangan dan kemusnahan hutan global. Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, selepas Indonesia.

Imej satelit menunjukkan bahawa kira-kira 10 peratus daripada hutan utama Sarawak masih lagi utuh, menurut Bruno Manser Fonds, sebuah kumpulan alam sekitar Switzerland.

"Hampir 80 peratus daripada permukaan tanah di Sabah dan Sarawak telah terjejas akibat operasi pembalakan atau operasi pembersihan yang tidak didokumenkan pada  1990 hingga 2009," kata sekumpulan saintis Australia dalam satu kertas kerja pada 2013 bertajuk ‘Extreme Differences in Forest Degradation in Borneo: Comparing Practices in Sarawak, Sabah and Brunei’ (Perbezaan Melampau dalam Kemusnahan Hutan di Borneo : Membandingkan Amalan di Sarawak, Sabah dan Brunei)

Melaksanakan kempen untuk hak tanah adat di Sarawak boleh membawa maut. Aktivis kempen hutan hujan dari Switzerland, Bruno Manser, yang tinggal bersama masyarakat Penan di Sarawak selama enam tahun dan membantu mereka memasang halangan bagi menutup jalan sebagai membantah pembalakan di kawasan mereka, didapati hilang di Sarawak pada 2000 dan dianggap sudah meninggal dunia – para penyokongnya percaya ia adalah akibat perbuatan khianat.

Tahun lepas, aktivis hak tanah Sarawak, Bill Kayong, 43, seorang Dayak yang membantu komuniti yang menghadapi pertikaian tanah di mahkamah, telah ditembak mati di bandaraya Miri semasa memandu ke tempat kerja. Kayong juga merupakan ahli terkemuka dari parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tiga lelaki yang didakwa bagi pembunuhan Kayong, termasuk seorang lelaki yang dikaitkan dengan sebuah syarikat kelapa sawit yang mempunyai pertikaian dengan kumpulan suku kaum, telah dibebaskan pada Jun lalu oleh hakim di Miri yang menyatakan langkah itu akibat kekurangan bukti. Rayuan dibuat terhadap keputusan membebaskan mereka.

Lelaki keempat, seorang 'bouncer' yang didakwa melakukan tembakan itu, masih lagi dalam pendakwaan.

Para penduduk kampung Bidayuh Sarawak dari Padawan Highlands, yang terkenal dengan gelang tembaga, bekerja di kawasan sawah padi gunung selepas subuh, pada Jun 2016. [Labid Balang/BeritaBenar]

Dalam versi terdahulu, kapsyen untuk foto utama memberi maklumat yang salah untuk penerangan gambar terhadap apa yang berlaku sebenarnya.

 


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.