Rasuah Dan Ubah Wang Haram: Pengarah Urusan DBKL Didakwa Dengan 18 Pertuduhan

Haireez Azeem Azizi
2016.09.09
Kuala Lumpur
160909_MY_Rasuah_620.jpg Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Syed Afendy Ali Syed Abid Ali (kanan) diiringi anggota polis beredar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa dengan 18 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 9 September, 2016
[Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar]

Seorang Pengarah Urusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa dengan 18 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM4.4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bagaimanapun, Syed Afendy Ali Syed Abid Ali, 54, yang bergelar Dato’ Seri,  mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu, yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi sembilan pertuduhan rasuah, Syed Afendy didakwa menerima suapan membabitkan RM2.9 juta manakala sembilan lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.5 juta.

Bagi pertuduhan rasuah pertama, Syed Afendy didakwa menerima rasuah untuk Rodziah Abd Samad, 54, iaitu satu unit kedai tiga tingkat di Pusat Perdagangan Danau Lumayan, Jalan Danau Lumayan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Bahagian (Pembangunan & Penswastaan) Jabatan Kewangan DBKL, pada 2 Mac 2009.

Syed Afendy didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lapan unit kondo

Untuk pertuduhan kedua hingga ke sembilan, Syed Afendy yang ketika itu seorang Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan DBKL, didakwa menerima benda berharga daripada empat individu dengan tiada balasan iaitu lapan unit kondominium di Suasana Lumayan Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak, yang masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi & Penyelarasan Pembangunan DBKL, dari 6 September 2013 hingga 16 Oktober 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Afendy Ali turut menghadapi sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 melibatkan RM1.5 juta.

Bagi sembilan pertuduhan itu, Syed Afendy Ali dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFA 2001 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Adha Abu Bakar dan Ahmad Akram Karim manakala tertuduh diwakili peguam M. Athimulan dan T. Gunaseelan.

Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM1 juta bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan 13 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Mahkamah memerintahkan supaya tertuduh mendepositkan wang jaminan RM400,000 pada Jumaat dan baki RM600,000 pada Rabu depan.

Sebelum ini, SPRM menahan reman Syed Afendy Ali selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos dan menyambung tempoh tahanannya selama lima hari lagi sehingga 27 Ogos bagi membantu siasatan kes itu.

Fokus SPRM terhadap perkhidmatan awam

SPRM kini diterajui Dzulkifli Ahmad, yang sebelum ini mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan Negara di Jabatan Peguam Negara.

Beliau menggantikan Abu Kassim Mohamed, yang memilih mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya selepas ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA), iaitu Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia yang terletak di Austria.

Semasa di bawah pimpinan Abu Kassim, SPRM turut menjalankan siasatan melibatkan skandal dana negara 1MDB.

Menurut laporan Wall Street Journal bulan lalu, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti berkaitan dengan 1MDB.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan agensi berita nasional, Bernama, baru-baru ini, Dzulkifli berkata, fokus utamanya adalah memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat hidup mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya dalam laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.