Tayang Dokumentari Perang Sri Lanka, Mahkamah Dapati Aktivis Terlibat Bersalah
2017.02.21
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah majistret di Malaysia pada Selasa mendapati seorang aktivis hak asasi manusia bersalah atas tuduhan menayang filem dokumentari perang saudara Sri Lanka yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan yang dijalankan terhadap Lena Rasathi Hendry, 32, di akhir penggulungan kes.
Majistret Mohd Rehan kemudian menetapkan 22 Mac untuk menjatuhi hukuman dan melanjutkan tempoh jaminan terhadap tertuduh.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala Lena diwakili Peguam New Sin Yew.
Aktivis itu yang juga pengarah program di Pusat Komunikasi Masyarakat (KOSMAS) semasa ditemui pemberita memberitahu beliau akan merayu keputusan mahkamah.
Pada Mac tahun lepas, mahkamah yang sama telah membebaskan Lena tetapi pada 21 September tahun yang sama sebuah mahkamah tinggi mengetepikan perintah itu dan mengarahkan tertuduh untuk membela diri.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah mendapati terdapat kes prima facie terhadap kes tersebut.
Pada 3 Julai 2013, beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Malaysia menangkap Lena dan dua lagi rakannya dari KOSMAS, di dalam satu serbuan apabila mereka cuba menayangkan dokumentari kontroversi yang tidak ditapis itu.
Tayangan itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela di ibu negara Kuala Lumpur.
Dokumentari 'No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka' terbitan sebuah syarikat perfileman United Kingdom memaparkan penindasan berpanjangan yang didakwa telah dilakukan oleh kerajaan Sri Lanka terhadap rakyat negara itu.
Kerajaan Sri Lanka yang menafikan penindasaan itu, cuba untuk menghentikan tayangan dokumentari berkenaan, walaupun tayangannya telah dibuat secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai usaha memberitahu dunia mengenai jenayah perang dahsyat yang berlaku di negara itu sekitar tahun 2009.
Filem berkenaan juga telah menyakinkan perwakilan Majlis Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melancarkan siasatan ke atas peristiwa di mana puluh ribuan masyarakat Tamil, Sri Lanka yang tidak bersalah dipercayai terbunuh selepas diserang oleh tentera kerajaan negara itu.
Pihak pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala Hendry diwakili New Sin Yew.
Sebelum filem dokumentari itu ditayangkan, pihak Kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur cuba menghentikannya dengan meminta pihak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor agar tidak membenarkan tayangan itu dibuat di dewan berkenaan.
Pada 19 September 2013, Lena telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menayangkan satu dokumentari tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM30,000 atau kedua-duanya.
Peruntukan undang-undang Malaysia, melarang mana-mana filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan, berada dalam simpanan atau dipamerkan.