Arkitek Dan Jurutera Dihukum Penjara Dua Tahun Terlibat IS

Hata Wahari
2015.09.09
150909-MY-ISCOURT620 Mohd Syafrein Rasid (memakai hud) dan Mohamad Yusoffe Ishak (dua dari kanan) dibawa keluar dari Bangunan Mahkamah untuk dihantar ke Penjara Sungai Buloh selepas mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 9 Sept 2015.
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Kejahilan mengenai jihad dan kurangnya pengetahuan mengenai agama menyebabkan dua anak muda, seorang arkitek dan seorang lagi jurutera terlibat dalam usaha menyokong militan Negara Islam (IS) serta ingin berjuang di Syria.

Mohd.Syafrein Rasid dan Mohamad Yusoffe Ishak, masing-masing berusia 27 tahun, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun oleh Hakim Kamardin Hashim selepas mengaku menyokong perjuangan IS kerana terlalu bersimpati dengan kekejaman terhadap umat Islam serta berasa sedih dengan situasi di Syria kerana ramai kanak-kanak tidak berdosa terkorban.

Hakim Kamardin memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu 25 September tahun lepas.

Mohd. Syafrein yang berasal dari Kuantan, Pahang dan Mohamad Yusoffe dari Arau, Perlis juga meluahkan perasaan terkilan dan menyesal kepada peguam masing-masing kerana menjadi sasaran kumpulan tersebut ketika berusaha untuk memahami pengertian jihad sebenar sebelum ini.

Kedua-dua mereka yang didakwa pertama kali di Mahkamah Sesyen Sepang mengaku tidak bersalah pada 23 Oktober tahun lalu, telah menukar pengakuan kepada bersalah pada 4 Sept lepas.

Mereka juga mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, cuba memberi sokongan kepada IS untuk manfaat kumpulan pengganas itu dengan cara memasuki Syria menggunakan pesawat Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Istanbul.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA iaitu sekitar pukul 8.55 pagi pada 25 September 2014.

Hukuman Setimpal

Terdahulu itu, Hakim Kamardin sebelum menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah telah mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan pihak pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh merupakan pesalah muda dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Mahkamah juga mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan dalam kes ini kedua-dua tertuduh cuba memberi sokongan kepada IS, oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan,” kata Hakim berkenaan.

Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang mewakili Mohamad Yusoffe dalam hujahnya berkata, anak guamnya tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama dan hanya mengetahui erti 'jihad' berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui media sosial dan internet.

Ini menyebabkan tertuduh menjadi sasaran ketika memahami pengertian jihad yang sebenar tetapi bernasib baik kerana berpeluang untuk mendapat pendidikan agama dan mendengar ceramah ketika ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, katanya semasa berhujah di hadapan Hakim Kamardin.

Sementara itu, peguam Nor Rabiatul Bahari mewakili Mohd Syafrien berkata, anak guamnya kesal atas kesalahan yang dilakukan dan telah tersilap langkah ketika membuat keputusan untuk menyokong kumpulan pengganas di Syria.

"Anak guam saya memohon supaya mahkamah memberikan peluang kedua untuk dia memperbaiki dirinya dan kembali ke jalan yang benar," kata peguam itu.

Kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh juga memberitahu mahkamah bahawa, Mohd Syafrien dan Mohamad Yusoffe berminat untuk berjihad selepas terpengaruh dengan video kekejaman yang dilakukan di Syria melalui laman sosial Facebook dan YouTube.

Media sosial

Mereka juga amat aktif didalam laman sosial berhubung dengan pelbagai kumpulan untuk mengetahui lebih lanjut serta untuk merancang bagaimana cara ke Syria untuk berjihad.

Mohamad Yusoffe, yang menggunakan nama Soffie Panji Hitam dalam akaun Facebook miliknya telah berbincang mengenai perancangan jihad di Syria manakala Mohd Syafrien turut menggunakan laman sosial Facebook untuk mengikuti perkembangan di negara itu.

Melalui laman sosial itu, kedua-dua tertuduh berkenalan dengan beberapa individu lain yang menunjukkan minat sama bagi mengumpul maklumat berkaitan peperangan di Syria yang kemudiannya dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.

Mereka juga menyertai satu jaringan komunikasi dalam WhatsApp yang diberikan nama 'Jihad Fisabilillah' yang menjadi medan untuk mereka mengumpul maklumat berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di Syria.

Selain itu, mereka turut menyertai satu kumpulan dalam WhatsApp yang diberikan nama 'Melancong' untuk berbincang mengenai persiapan bagi menyokong kumpulan pengganas IS di Syria.

Antara perbincangan itu adalah mereka sanggup untuk 'mati syahid', mengorbankan diri sendiri bagi menegakkan perjuangan kumpulan pengganas IS.

Mohamad Yusoffe sendiri mengaku kepada ibunya dan ahli keluarganya bahawa dia hendak berjuang di Syria.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum itu memohon hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan serius selain untuk menyedarkan kedua-dua tertuduh dan orang awam yang keliru dengan maksud jihad yang sebenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.