Malaysia Lumpuh Rangkaian Penyeludupan Manusia
2015.10.16

Polis Malaysia berjaya melumpuhkan rangkaian penyeludupan manusia membabitkan pendatang tanpa izin rakyat Bangladesh yang mempunyai hubungan di Bangladesh dan Indonesia di mana mereka memasuki Malaysia melalui jalan laut dari Dumai, Indonesia.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar memberitahu, seramai 64 orang telah ditahan dalam operasi yang dijalankan selama dua bulan mulai 13 Ogos lepas.
“Lapan belas daripada mereka yang ditahan itu adalah agen, tekong darat, penaja perumahan, ‘runner’ dan ‘transporter’ dan mereka terdiri daripada 13 rakyat tempatan, empat rakyat Bangladesh dan seorang rakyat Indonesia,
“Manakala 46 lagi adalah pendatang tanpa izin rakyat Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan mendedahkan wujudnya kerjasama antara rangkaian penyeludupan manusia di Bangladesh dan Indonesia dengan rangkaian di Malaysia, terutama di Selangor.
“Rangkaian penyeludupan manusia itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun lepas. Bagi tempoh 13 bulan dari Ogos 2014, seramai 1,752 rakyat Bangladesh telah diseludup masuk ke Malaysia.
“Perkhidmatan ini melibatkan jumlah pembayaran antara RM20 juta hingga RM30 juta,” kata Khalid dalam kenyataan itu.
Ujar beliau, Polis juga merampas empat buah kenderaan, wang tunai RM23,100, 46 pasport Bangladesh, 55 buah telefon bimbit, rantai besi, sebatang rotan dan beberapa buku catatan.
“Kesemua tangkapan dibuat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007( ATIP-SOM 2007),” katanya.
Empat puluh enam pendatang tanpa izin yang ditahan itu telah di tuduh di Mahkamah Majisterit Petaling Jaya pada 29 September lepas di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah. Mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan sebelum dihantar pulang.