Korea Utara Kecam Malaysia Kata 'Ada pakatan sulit dengan angkatan musuh'

Staf BeritaBenar
2017.02.17
Kuala Lumpur
170217-MY-NK-Ambassador-620.jpg Duta Korea Utara Kang Chol bercakap kepada media di luar Hospital Kuala Lumpur, di mana mayat Kim Jong-Nam berada, 18 Feb, 2017.
AFP

Korea Utara membidas Malaysia pada Jumaat kerana enggan melepaskan mayat abang tiri pemimpinnya Kim Jong-Un yang didakwa dibunuh di negara itu pada awal minggu ini, sekaligus memberi sentuhan baru dalam kes yang sudahpun penuh dengan sensasi.

Pyongyang berkata ia tidak akan menerima sebarang keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia keatas mayat Kim Jong-Nam, dan menuduh Kuala Lumpur "bersekongkol dengan kuasa yang bermusuhan dengan kami dan terdesak untuk mencederakan serta mempunyai niat jahat," yang jelas merujuk kepada Korea Selatan.

Dalam satu kenyataan di luar bilik mayat di sebuah hospital utama di Kuala Lumpur, Duta Besar Korea Utara Kang Chol, yang kelihatan marah, menuduh Malaysia "cuba untuk menyembunyikan sesuatu" dalam kes berkenaan.

Ini adalah reaksi pertama dari Korea Utara berikutan kematian Kim Jong-Nam di Malaysia pada Isnin.

Kim mati dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan memberitahu kakitangan perubatan bahawa seorang wanita telah menyerang beliau dengan semburan kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Kenyataan Kang Chol dikeluarkan selepas Malaysia pada Jumaat berkata, bahawa negara itu tidak akan melepaskan mayat sehingga ahli keluarga memberikan sampel DNA untuk membuktikan identiti Kim Jong-Nam, yang kerajaan Korea Selatan dan AS percaya telah dibunuh oleh ejen-ejen kerajaan Korea Utara.

Perlindungan Konsular

Kenyataan Kang Chol tidak menyebut Kim Jong-Nam dengan nama tetapi pihak berkuasa Malaysia telah mengesahkan identitinya dua hari selepas pembunuhan itu.

Duta itu membaca kira-kira setengah daripada kenyataan berkenaan dan kemudian meminta salah seorang daripada pembantunya untuk memberikan kenyataan kepada media, semasa berada di perkarangan hospital berkenaan.

Duta itu berkata, Malaysia pada mulanya memaklumkan pejabat kedutaan itu bahawa seorang warganegara Korea Utara telah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke hospital dan telah meminta kedutaan berkenaan mengesahkan bahawa lelaki tersebut sememangnya seorang warganegara Korea Utara.

Beliau berkata selepas kedutaan mengesahkan, pihak berkuasa Malaysia menyatakan hasrat untuk menjalankan bedah siasat ke atas Kim. "Kami menolak kerana dia adalah seorang pemegang pasport diplomatik dan warganegara kami yang berada di bawah perlindungan konsular DPRK [nama rasmi Korea Utara]. "

Beliau menuduh Malaysia "membuat bedah siasat tanpa kebenaran dan mempunyai saksi daripada pihak kami, " dan oleh itu Korea Utara akan "secara mutlak menolak hasil bedah siasat yang dijalankan secara unilateral tanpa kehadiran wakil kami."

"Ini adalah kemuncak kepada pencabulan hak asasi manusia dan melanggar serta  mengabaikan undang-undang antarabangsa dan undang-undang consular, warganya."

‘Keluarkan mayat tanpa berlengah lagi’

Kang Chol berkata beliau bertemu seorang pegawai kanan polis Malaysia dan “ menuntut untuk melepaskan mayat tanpa berlengah lagi" tetapi permintaan itu telah ditolak.

Beliau berkata pegawai berkenaan telah menimbulkan isu "yang tidak ada kena mengena dengan penjelasan punca kematian," seperti merujuk kepada permintaan mendapatkan sampel DNA untuk membuktikan identiti Kim Jong-Nam.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia cuba untuk menyembunyikan sesuatu yang memerlukan lebih banyak masa dan menipu kita dan mereka berpakat dengan kuasa-kuasa yang bermusuhan dengan kami yang terdesak untuk merosakan dan berniat jahat," katanya.

Beliau berkata langkah Malaysia mungkin ditentukan oleh "orang lain," sambil mencadangkan saingannya Korea Selatan.

Korea Selatan telah menuding jari menyalahkan kematian Kim Jong-Nam kepada Korea Utara, sambil memetik "perintah yang diterima" daripada Kim Jong-Un untuk membunuh adik-beradik dengan usaha pembunuhan yang gagal pada 2012 selepas beliau mengkritik rejim negara itu.

Wartawan Jepun Yoji Gomi, yang juga bekas editor Tokyo Shimbun, orang yang rapat dan dekat dengan Kim Jong-Nam daripada kebanyakan pemberita, memberitahu Radio Free Asia, entiti BeritaBenar minggu ini bahawa Kim Jong-Un mungkin telah memerintahkan pembunuhan saudara tirinya itu.

"Walaupun berkemungkinan Kim Jong-Un memberi kelulusan terhadap pembunuhan itu, saya rasa ia juga bermungkinan dilakukan oleh pegawai berpangkat tinggi dari rejim berkenaan yang mempunyai hubungan rapat dengan Kim Jong-Un yang bertindak atas kesetiaan dan persaingan dalaman," katanya.

"Seperti yang anda tahu, ramai daripada mereka telah disingkirkan atau dibuang kerja, dan Kim Jong-Nam masih orang yang berpengaruh, jadi ada kemungkinan bahawa orang-orang yang membuat keputusan untuk membunuh Kim Jong-Nam takut kepada Kim Jong-Un . "

Polis Malaysia telah menahan dua wanita - seorang memegang pasport Vietnam dan seorang lagi mempunyai pasport Indonesia – termasuk seorang lelaki Malaysia berkaitan dengan siasatan ke atas kematian itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.