Mahkamah Malaysia Keluar Larangan Sementara Halang Deportasi Bekas Duta Bangladesh
2022.02.15
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah Malaysia pada Selasa mengarahkan proses pengusiran bekas diplomat Bangladesh ditangguhkan sementara sehingga perbicaraan permohonan untuk tinggal kekal dan habeas corpus (penahanan salah) lelaki itu oleh Jabatan Imigresen selesai, dengan Dhaka berkata penahanan itu dibuat atas permintaan mereka.
Isteri kepada Md. Khairuzzaman, Rieta Rahman memfailkan permohonan itu di mahkamah melalui sekumpulan peguam, menurut Edmund Bon, seorang daripada peguamnya dalam satu kenyataan media.
Rahman dalam permohonan kepada mahkamah itu berkata, bahawa penahanan suaminya, yang merupakan seorang pemegang kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah bermotifkan politik.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Zaini Mazlan mengarahkan supaya kerajaan menurut perintah dikeluarkan oleh mahkamah itu supaya menangguhkan deportasi Khairuzzaman sehingga sesi pendengaran dibuat pada 20 Mei depan, kata Bon.
"Selepas mendengar hujah para peguam serta tiada bantahan daripada responden, maka mahkamah membenarkan satu perintah penangguhan sementara permohonan selesai," kata Hakim Zaini, berdasarkan satu ringkasan mahkamah.
Hakim tersebut kemudiannya mengarahkan supaya kedua belah pihak memfailkan dan bertukar-tukar afidavit serta hujahan bertulis, kata Bon.
Khairuzzaman, seorang bekas duta ke Malaysia, ditahan oleh Jabatan Imigresen pada 9 Februari lepas kerana dikatakan melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh visa beliau. Tetapi, Menteri Dalam Negeri Bangladesh berkata Dhaka telah meminta Malaysia menahan Khairuzzaman, seorang bekas tentera "kerana pembabitan beliau" dalam kejadian pembunuhan beberapa orang bekas menteri di sebuah penjara pada tahun 1975.
Bekas diplomat itu masih tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam atau didakwa di mahkamah setakat ini, kata Bon.
"Akan tetapi, kami telah menulis kepada pihak imigresen meminta supaya mereka memberikan kami akses kepada Khairuzzaman," kata Bon kepada BenarNews.
BenarNews telah cuba mendapatkan nombor telefon Rahman, yang dikatakan kini berada di Bangladesh, tetapi dimaklumkan bahawa wanita tersebut tidak mahu memberikan sebarang komen kepada media atas sebab-sebab keselamatan.
"Isteri dan ahli keluarga (Khairuzzaman) telah berpindah ke sebuah lokasi selamat," kata seorang sumber yang tidak mahu dinamakan kerana sensitiviti kes berkenaan.
"Beliau tidak mahu bercakap dengan media kerana sebab keselamatan," tambah sumber itu lagi.
Khairuzzaman dan beberapa orang anggota tentera lain didakwa telah membunuh empat pemimpin yang mengasaskan Bangladesh dalam Penjara Pusat Dhaka pada November 1975.
Empat pemimpin tersebut adalah rakan sekerja kepada pemimpin pengasas Bangladesh Sheikh Mujibur Rahman yang juga bapa kepada Perdana Menteri hari ini, Sheikh Hasina yang mengetuai parti Awami League.
Pada tahun 2004, ketika Bangladesh dipimpin oleh Bangladesh Nationalist Party yang kini telah menjadi parti pembangkang, sebuah mahkamah telah membebaskan Khairuzzaman daripada pembabitan dalam kejadian pembunuhan itu.
Khairuzzaman telah berkhidmat sebagai diplomat di Kuala Lumpur ketika Hasina kembali berkuasa pada 2009. Selepas diarahkan kembali ke Dhaka, beliau memilih untuk tinggal di Malaysia dan menerima kad pelarian daripada UNHCR.
Pada Khamis lepas, pihak berkuasa di Dhaka berkata kerajaan Awami League pimpinan Hasina sedang mempertimbang untuk membuka semula kes terhadap Khairuzzaman, yang merupakan seorang bekas pegawai tentera, sekiranya beliau dihantar pulang dari Malaysia.
Sementara itu di Bangladesh, Shahriar Alam, Menteri Hal Ehwal Luar berkata Dhaka bersedia membantu kerajaan Malaysia dalam kes mahkamah tersebut.
"Dalam kes ini, sekiranya kerajaan Malaysia perlu menghadapi mahkamah, dan sekiranya mereka memerlukan sebarang kerjasama untuk memenangi kes, kerajaan Bangladesh akan membantu,” kata Alam kepada BenarNews.