Duterte Lawat Malaysia Rabu Depan Bincang Isu Keselamatan

Hata Wahari
2016.11.03
Kuala Lumpur
161103-my-ph-duterte620.jpg Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyampaikan ucaptama semasa Forum Ekonomi Filipina di Tokyo, Jepun, 26 Oktober 2016.
AFP

Presiden Filipina Rodrigo Duterte akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Kuala Lumpur selama dua hari bermula 9 November bagi membincangkan pelbagai masalah dua hala termasuk isu selatan Filipina, lanun, serta rondaan bersama di perairan Laut Sulu, menurut wakil kerajaan negara itu kepada BeritaBenar.

Pegawai rasmi kedua-dua negara telah mengesahkan kepada BeritaBenar mengenai lawatan pertama Presiden baru Filipina itu sambil memaklumkan terdapat beberapa perkara berkaitan keselamatan yang melibatkan kedua-dua negara menjadi agenda utama pada pertemuaan itu.

Duta Filipina Ke Malaysia, J. Eduardo Malaya berkata, Duterte dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada Rabu depan untuk lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan sebagai Presiden negara berkenaan.

“Banyak yang bakal dirundingkan dalam pertemuan pertama itu, dengan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, terutamanya dalam bidang keselamatan yang melibatkan selatan Filpina, isu berkaitan Abu Sayyaf,  Laut China Selatan dan juga soal ekonomi,” katanya kepada BeritaBenar ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, selain itu, perbincangan dua hala juga akan lebih tertumpu kepada soal yang melibatkan perjanjian damai antara kerajaan Filipina bersama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di mana Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam rundingan itu.

Rancangan untuk melaksanakan perjanjian damai dan menubuhkan wilayah Bangsamoro yang melibatkan kedua-dua pihak masih tertangguh dan terbantut selepas mendapat tentangan daripada kongres Filipina.

“Selain itu pertemuan kedua-dua pemimpin Filipina dan Malaysia itu juga akan membincangkan mengenai pengganti Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed, fasilitator Malaysia, yang telah meninggal dunia pada hujung Ogos lepas.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein pula memberitahu BeritaBenar bahawa Inisiatif Laut Sulu akan dimuktamadkan dengan segera semasa lawatan rasmi Duterte ke Kuala Lumpur.

Tandatangani MoU

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Malaysia turut mengesahkan tarikh lawatan rasmi Duterte, selain memaklumkan bahawa Kuala Lumpur dan Manila dijadual menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) semasa lawatan presiden itu.

"MoU itu belum dimuktamadkan lagi tetapi ia melibatkan persefahaman mengenai rondaan bersama di perairan Laut Sulu, membanteras kegiatan militan Abu Sayyaf dan menghentikan jenayah merentas sempadan seperti penculikan yang sering berlaku di perairan Sabah dan Sulu," kata jurucakap itu kepada BeritaBenar pada Khamis.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada isu tuntutan keatas Sabah akan turut dibincangkan semasa lawatan pemimpin tertinggi Filipina itu.

Baru-baru ini, media tempatan Filipina memetik Presiden Filipina itu sebagai berkata, antara   cadangan yang akan dibincangkan semasa lawatan pemimpin tertinggi negara itu ke Malaysia ialah mengenai rondaan bersama di Laut Sulu yang sering dilanda masalah penculikan, jenayah rentas sempadan, dan masalah lanun di Selat Melaka.

Beliau turut menegaskan bahawa adalah menjadi keperluan segera bagi Filipina, Malaysia dan Indonesia membincangkan isu mengenai kegiatan jenayah rentas sempadan kerana ia menggugat perdagangan dan ekonomi di kawasan Laut Sulu.

Duterte baru saja kembali dari lawatannya ke China dan Presiden itu telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Jokowi Widodo pada Ogos lepas dengan menyatakan persetujuan untuk mengadakan rondaan bersama di kawasan perairan Jolo dan kepuluan Tawi-Tawi.

Media Filipina juga melaporkan mengenai perbincangan yang diadakan Presiden berkenaan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan pertemuan tidak rasmi di Davao, baru-baru ini dengan antara isu yang dibincangkan adalah mengenai jenayah kumpulan militan Abu Sayyaf.

Perbincangan terakhir mengenai kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan dan Abu Sayyaf yang melibatkan  Malaysia, Filipina dan Indonesia telah diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) semasa Mesyuarat Tidak Rasmi Pertahanan antara AS –ASEAN pada 2 Oktober lepas.

Malaysia dan Filipina rapatkan hubungan dengan China

Malaysia dan Filipina dilihat telah mengambil inisiatif yang sama dalam meningkatkan hubungan dengan China.

Najib yang kini dalam rangka lawatan enam hari ke China dalam satu artikel yang ditulisnya serta disiarkan dalam akhbar China Daily memuji perkembangan hubungan strategik negaranya dengan China sambil membayangkan rasa jengkelnya terhadap negara Barat dengan memberi amaran kepada ‘bekas kuasa penjajah’ supaya melayani negara-negara kecil ‘dengan adil’ dan tidak terus ‘berleter’ mengenai ‘urusan dalam negeri mereka.

Duterte juga menyuarakan pendapat  secara provokatif tentang minatnya untuk membina hubungan lebih rapat di antara Manila dan Beijing semasa lawatan rasminya ke negara itu, selain mengancam untuk beralih pakatan daripada pakatan lama negaranya dengan Amerika Syarikat, negara yang pernah menjajah Filipina.

Kepulauan Spratly di Laut China Selatan kini menjadi tuntutan negara anggota ASEAN [Persatuan Negara-negara Asia Tenggara] yang melibatkan Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei, bersama China serta Taiwan.

Dalam pada itu, penganalisis hubungan antarabangsa dan politik, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu BeritaBenar bahawa lawatan sulung Duterte ke Malaysia akan merapatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara saya percaya akan berbincang untuk menyelesaikan masalah berbangkit seperti sempadan perairan, selain penglibatan Malaysia dalam rundingan damai Bangsamoro dan selatan Filipina’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Duterte berani

Bagi Pakar Geostrategik Dr. Azmi Hassan, walaupun Duterte dicemuh di arena antarabangsa tapi sebenarnya banyak faedah yang boleh diraih untuk kestabilan rantau Asean.

“Jika beliau setuju berbincang mengenai perjanjian damai Bangsamoro di selatan Filipina, maka saya jangka banyak perkara positif yang boleh dicapai, selepas perbincangan itu terbantut akibat tentangan kongres Filipina,” katanya pada BeritaBenar pada Khamis.

Azmi memberitahu, Malaysia sebagai pengantara boleh mencapai sesuatu bermakna dengan Duterte kerana sikap beliau walaupun semberono tapi berani melakukan sesuatu walaupun menongkah arus situasi politik tempatan Filipina.

Kerajaan Filipina dan wakil kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada Ogos lepas, semasa pertemuan di Kuala Lumpur telah bersetuju dengan rancangan untuk melaksanakan perjanjian damai yang tertangguh.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak itu bersetuju dengan pelaksanaan dua fasa bagi keamanan rantau -merangka undang-undang asas- diikuti dengan pelucutan tauliah pejuang MILF, kata fasilitator Malaysia Tengku Ab Ghafar pada masa itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.