ECRL: Penduduk berang diberi notis singkat keluar rumah

Jabatan Tanah Selangor pula gagal memberikan sebarang dokumen 'hitam putih' mengenai pengusiran penduduk berhubung projek kereta api mega disokong China.
Iman Muttaqin Yusof
2023.12.05
Kuala Lumpur
ECRL: Penduduk berang diberi notis singkat keluar rumah Tapak loji konkrit milik kontraktor projek, China Communication Construction Company (CCCC), di Gombak Utara, 15 Okt. 2023.
[Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

Azimah dan suaminya mengumpul duit selama bertahun-tahun bagi membeli rumah pertama mereka di sebuah kampung yang terletak di pinggir ibukota Malaysia, Kuala Lumpur.

Akan tetapi, rumah yang dibeli hasil susah payah mereka serta 100 yang lain kini hendak dirobohkan oleh kerajaan, dengan hanya memberi tempoh 20 hari pada bulan lepas untuk mengosongkan kediaman mereka bagi memberi laluan kepada Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM16 bilion yang kontroversi serta disokong oleh China.

"Ia sangat tidak masuk akal kerana diberikan notis amat pendek bagi mengosongkan rumah kami," kata Azimah, 30, kepada BenarNews. "Mereka amat tidak berhati perut kerana melakukan perkara ini terhadap kami."

Tindakan menghalau keluar penduduk tersebut merupakan satu lagi insiden publisiti buruk bagi projek jajaran rel kereta api mega yang bergelut dengan pelbagai masalah termasuk terbengkalai, kelewatan, kos yang mahal, dan dakwaan penyelewengan dan rasuah.

ECRL, merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China yang bakal menghubungkan kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Semanjung Malaysia dengan pelabuhan paling sibuk di negara itu, Pelabuhan Klang menerusi jajaran rel kereta api.

Selain itu, projek berkenaan turut membabitkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan yang terletak di Laut China Selatan ke Pelabuhan Klang, di Selat Melaka dengan ketersambungan jajaran yang bakal menggantikan rangkaian rel era British.

Ia dijadualkan siap pada 2026.

BRI pula adalah program Beijing yang bernilai lebih AS$1 trilion untuk membiayai dan membina infrastruktur merentas dunia.

Menurut penganalisis, apa yang dilakukan terhadap penduduk Desa Mukmin Warisan itu turut menunjukkan jurang komunikasi dan libaturus dalam pengurusan projek-projek mega di Malaysia - terutama sekali yang membabitkan Inisiatif Jalur dan Laluan China.

"Kekurangan ketelusan dan libaturus awam berakar umbi dalam cara kerajaan menjalankan projek mega sebagai satu perbuatan kebajikan yang besar dengan menjanjikan pembangunan kepada kawasan luar bandar Malaysia yang akan memanfaatkan semua pihak," kata Benjamin Loh, pensyarah kanan di Taylor's University di Subang Jaya.

"Semua ini menjadi bahan politik negara dan perkara lain di antaranya dianggap sebagai bukan kepentingan awam," kata Loh yang menjalankan kajian mengenai isu jangkauan masyarakat dalam projek-projek BRI.

BenarNews melawat perkampungan yang terletak di daerah Gombak dalam negeri Selangor pada 25 November lepas ketika satu mesyuarat diadakan antara pegawai Jabatan Tanah dan Galian Selangor dengan para penduduk.

Semasa mesyuarat itu, penduduk telah dimaklumkan bahawa mereka mesti meninggalkan rumah selewat-lewatnya pada 15 Disember bagi membolehkan rancangan projek ECRL dimulakan segera.

Apabila diminta untuk memberikan komen ketika itu, para pegawai jabatan tanah serta jurucakap syarikat China Communications Construction Co. yang hadir enggan memberikan sebarang kenyataan.

Azimah yang telah tinggal di kawasan tersebut selama lima tahun mengkritik pemakluman "tidak masuk akal" berkenaan dan menghentam pejabat tanah daerah kerana hanya memberikan bantuan perpindahan sebanyak RM27,000 (AS$5,789) bagi tempoh dua tahun tanpa sebarang gantirugi perumahan.

"Kami, para penduduk yang terkesan, percaya jumlah ini adalah tidak mencukupi untuk menyewa di kawasan ibukota kerana kebanyakan daripada kami mempunyai kerja di kawasan sekitar dan menghantar anak-anak kami ke sekolah di sini," kata beliau.

Tambahnya lagi, jabatan tersebut gagal memberikan sebarang dokumen 'hitam putih' mengenai pengusiran mereka walaupun telah meminta maklumat para penduduk seperti nombor kad pengenalan serta penyata akaun bank mereka.

Desa Mukmin Warisan merupakan sebuah kawasan seluas 19.7 ekar, dan trek ECRL akan dibina melalui kampung itu dalam rancangan projek dan pemilik ECRL, Malaysia Rail Link bertarikh Julai 2022 yang telah dilihat BenarNews.

Kawasan tanah tersebut sebelum ini dibuka oleh peneroka yang diberikan kebenaran oleh kerajaan negeri untuk membina rumah. Ia kemudiannya diklasifikasikan sebagai tanah pertanian sebelum diubah status sebagai tanah untuk kegunaan pendidikan bagi membina sekolah.

Walaupun setelah pelbagai rayuan dibuat para penduduk supaya status tanah kawasan tersebut diubah kepada tanah kediaman dan geran individu dikeluarkan kepada mereka, ia tidak dilaksanakan.

Keadaan itu menjadikan tanah tersebut kekal sebagai hakmilik kerajaan negeri.

1_House with ECRL marking.jpeg

Sebuah rumah telah dilabel dengan nombor berwarna merah dan perkataan ECRL di Kampong Desa Mukim Warisan, di Gombak, 15 Oktober, 2023. [Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

Tidak akan berganjak

Bekas pengerusi Jawatankuasa Penduduk Desa Mukmin Warisan, Mohd Najib Mokhtar berkata, para penduduk kawasan itu tidak akan berganjak walau seinci pun dan akan terus melawan bagi mempertahankan hak mereka.

"Kami tidak patut dibuli…. Awal tahun ini, pekerja ECRL datang dan membuat tanda pada rumah kami. Sekarang, sebelum sebarang jentera berat masuk ke kampung dan menghancurkan rumah kami, kami akan memasang sekatan dan memohon bantuan polis," kata beliau kepada BenarNews ketika dihubungi.

Mohd Najib, 69, berkata pencerobohan oleh ECRL bukan sahaja akan mengambil hak mereka sebagai penduduk malah akan menyebabkan penduduk yang telah menetap selama lebih dua dekad kehilangan tempat tinggal.

"Kita tidak mahu penangguhan pemindahan; apa yang kami mahu adalah rumah kami. Laporan polis telah dibuat. Tak kisah apa sekalipun terjadi, kami akan mendapatkan bantuan perundangan dan polis bagi memastikan mereka ini tidak menceroboh kawasan kami.

"Kami cuma berharap bahawa menteri besar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mendengar rayuan kami dalam hal ini kerana kami tidak mempunyai tempat lain untuk pergi," kata beliau.

BenarNews telah menghubungi pejabat Menteri Besar Selangor untuk mendapatkan komen, namun belum mendapat sebarang maklumbalas.

Desa Mukmin Warisan Map.jpg

Peta udara sekitar Desa Mukmin Warisan, dengan cadangan laluan jajaran di mana garisan hijau adalah trek Projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal melalui kawasan tersebut mengikut rancangan Malaysia Rail Link bertarikh Julai 2022.

Sokongan dari China

Projek rel ECRL sepanjang 688 kilometer itu dilancarkan pada Ogos 2017 dalam satu majlis pecah tanah yang dirasmikan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah. Projek tersebut melibatkan empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Tidak lama selepas itu, projek berkenaan telah dihentikan oleh kerajaan pakatan harapan pimpin bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 2018 disebabkan dakwaan rasuah, namun telah disambung semula selepas sedikit perubahan dibuat dengan pengurangan kos sebanyak RM11 bilion (AS$2.37 bilion) daripada jumlah asal, menurut Anwar Ibrahim pada Disember 2022.

Pada September lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke memberitahu Parlimen bahawa projek ECRL bernilai RM74.95 bilion (AS$16.21 bilion) itu telah mencapai tahap 53.9 peratus siap, dan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2027.

Walaupun projek ECRL di Malaysia dimiliki oleh sebuah entiti yang berkait dengan Kementerian Kewangan, ia mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan China sebagai sebahagian daripada projek BRI.

Bagaimanapun, para pengkritik sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kelewatan dihadapi projek-projek mega di negara itu serta dakwaan mengenai isu rasuah yang berkaitan dengan politik tempatan.

Sebagai contoh, dua projek saluran gas di Malaysia yang dibiayai oleh China telah tertangguh sejak 2018 disebabkan penyelewengan membabitkan Najib Razak dan rakan-rakannya.

Selain itu, sebuah projek bernilai RM10.5 bilion yang disokong China bagi memulihkan semula sebuah pelabuhan tinggal pula menghadapi masalah perundangan, manakala sebuah kompleks perumahan di Johor yang dibangunkan syarikat perumahan terbesar China tidak mempunyai ramai penghuni.

Collins Chong Yew Keat, penganalisis dari Universiti Malaya berkata, penglibatan Malaysia dalam projek BRI telah semakin dalam, dan tindakan menarik diri akan melibatkan implikasi kewangan yang besar serta berdepan risiko menghadapi masalah dengan Beijing.

"Kebanyakan projek BRI sudah terlalu berakar umbi dalam tahap perancangan dan pelaksanaan, dan sebarang penarikan diri atau pembatalan projek pada tahap ini akan mengakibatkan kos tambahan," kata beliau kepada BenarNews.

"Malaysia semakin tenggelam dalam perangkap kebergantungan kepada Beijing dalam banyak sektor kritikal negara itu, termasuk pasaran eksport bagi komoditi dan dalam sektor digital, hartanah serta pengangkutan awam.

"(Hakikatnya) kebanyakan projek BRI dan bukan BRI di negara ini, termasuk ECRL dan Country Garden's Forest City telah menggali lubang besar dalam tanggungjawab kewangan jangka panjang negara, dengan jangkaan pulangan yang kecil,” tambah Collins.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.