SPR Serah Laporan Akhir Persempadanan Semula Kepada Perdana Menteri

Hata Wahari
2018.03.09
Kuala Lumpur
180309-my-electioncommision620.jpg Rakyat Malaysia menunggu giliran mereka untuk membuang undi di sebuah pusat pengundian di Kuching, Sarawak, 7 Mei 2016.
[AFP]

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia pada Jumaat mengumumkan ia telah selesai  melaksanakan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Semenanjung Malaysia, sekaligus membawa petanda parlimen negara itu bakal dibubarkan untuk pilihan raya dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Mohd Hashim Abdullah memberitahu, laporan akhir kajian itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk tindakan beliau seterusnya.

“SPR memaklumkan pada hari ini, Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah pun selesai dijalankan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 (10), Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, dengan penyerahan laporan akhir tersebut tanggungjawab SPR dalam persempadanan semula telah berakhir seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan SPR itu hadir selepas gabungan parti pembangkang Malaysia pada Khamis membentangkan manifesto pilihan raya setebal 200 muka surat "Buku Harapan: Membina Negara, Memenuhi Harapan".

Manifesto pembangkang antaranya adalah menyediakan 1 juta pekerjaan baru dan rumah mampu milik, menghapuskan cukai jualan dan mengehadkan tempoh penyandangan jawatan perdana menteri untuk tempoh lima tahun selama dua penggal sahaja, jika ia memenangi pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tahun ini.

Perdana Menteri Najib Razak, yang menerajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya sebelum Ogos.

Najib ingin meneruskan penggal ketiganya sebagai perdana menteri sejak menyandang jawatan itu sejak 2009 dan melanjutkan pemerintahan BN sejak negara itu merdeka pada tahun 1957.

Sementara itu, pakar politik dari Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat menjelaskan persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR itu bakal membantu BN untuk kekal berkuasa.

Beliau memberitahu, saiz kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh SPR lebih teruk berbanding pilihan raya sebelum ini menjadikan kawasan-kawasan tersebut tidak seimbang.

“Kawasan persempadanan semula oleh SPR itu menjadikan kawasan yang dikuasai oleh pembangkang mempunyai kepadatan penduduk dan pengundi yang besar manakala kawasan yang dikuasai oleh BN terutama di kawasan luar badar dan majoriti Melayu mempunyai penduduk yang  rendah,”katanya pada Jumaat pada BeritaBenar.

Kesannya, ujar beliau, ahli parlimen pembangkang memerlukan undi lebih besar jika ingin mengekalkan  kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tambahnya, di Semenanjung Malaysia, terdapat 15 kerusi Parlimen yang mengandungi lebih 100,000 pengundi, satu jumlah yang amat besar, dimana 14 daripadanya dikuasai pembangkang .

Usaha persempadanan semula SPR itu tergendala lebih setahun selepas kajian itu dicabar di mahkamah oleh pihak pembangkang dan individu lain. Hampir 15 kes telah difailkan untuk menghalang SPR melaksanakan persempadanan semula itu tetapi semuanya ditolak.

Namun, menurut bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Maria Chin Abdullah persempadanan semula yang dibuat oleh SPR adalah tidak sah kerana ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut Perlembagaan Persekutan, kawasan Parlimen dan DUN perlu hampir sama bagi setiap  kawasan di seluruh semenanjung di mana pengundi tidak boleh melebihi 15 peratus antara kawasan,” katanya.

“Malangnya, persempadanan semula yang dibuat oleh SPR membabitkan penggubalan sempadan kawasan pilihan raya yang menyaksikan kawasan parlimen yang dikuasai oleh parti pembangkang adalah besar.”

“Sementara kawasan yang dikuasai oleh BN menyaksikan jumlah penyokong parti semakin bertambah manakala penyokong yang mempunyai kecenderungan menyokong pembangkang semakin mengecil,” katanya ketika dihubungi.

Ahli parlimen Malaysia kini sedang menghadiri mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen Ke-13, berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April.

Parlimen Malaysia, mengikut pemerhati politik, bakal dibubarkan dalam tempoh ini.

Gabungan pembangkang hampir menumpaskan gabungan BN yang diterajui Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi sejak itu berjuang untuk menampilkan pakatan yang bersatu bagi mencabar perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, satu notis pembubaran akan dikeluarkan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), salah sebuah parti terbesar gabungan pembangkang, jika ia gagal menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam tempoh 30 hari.

PPBM dipimpin oleh bekas perdana menteri Malaysia paling lama Mahathir Mohamad dan juga bekas timbalan Najib yang telah dipecat, Muhyiddin Yassin.

Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim  berkata walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi memberikan maklum balas, jabatan itu memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari. menurut laporan Bernama mengenai surat yang  berkuat kuasa 28 Februari lalu itu.

Menurutnya Surayati, notis itu, yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Februari lepas, telah diserahkan kepada Setiausaha Agung parti itu Shahruddin Md Salleh.

Surayati berkata notis itu dikeluarkan berikutan aduan anggota-anggota PPBM kepada ROS dan jabatan itu memerlukan maklumat tersebut bagi melengkapkan siasatan.

"Notis 14(2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan notis yang dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.