Timbalan PM Malaysia Pengerusikan Bersama Mesyuarat Keselamatan Sabah
2017.04.17
Kota Kinabalu, Sabah

Pegawai-pegawai kerajaan Malaysia mengadakan mesyuarat peringkat tinggi pada Isnin di negeri timur Sabah mengenai langkah bagi melindungi wilayah berhampiran selatan Filipina yang mempunyai ramai militan Islam daripada penculikan di lautan, di tengah-tengah kebimbangan tentang keselamatan lain.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman mempengerusikan bersama mesyuarat pertama Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang turut dihadiri ketua keselamatan negara dan ketua-ketua angkatan tentera, polis, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Lembaga Penasihat ESSZone ditubuhkan Perdana Menteri Najib Razak pada Januari lepas bagi mengukuhkan keselamatan di timur Sabah dan meningkatkan penyelarasan di antara pelbagai agensi di wilayah itu, lapor agensi berita negara, Bernama.
“Ini bagi memastikan ancaman-ancaman keselamatan seperti penculikan untuk tebusan, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin dan cubaan kali kedua pencerobohan pengganas Tentera Kesultanan Sulu dapat dicegah dan ditangani sewajarnya,” kata kenyataan itu, yang merujuk kepada pencerobohan kumpulan bersenjata Filipina yang menggelarkan diri mereka Tentera Kesultanan Sulu ke Sabah, yang dapat ditumpaskan pasukan keselamatan tempatan empat tahun lalu.
Mesyuarat di ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu, diadakan di tengah-tengah kebimbangan mengenai penculikan maritim yang dilakukan oleh militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina. Sejak 2016, berpuluh-puluh pelayar Malaysia dan Indonesia telah diculik oleh suspek lelaki bersenjata Abu Sayyaf daripada kapal-kapal yang belayar di perairan antara pulau Borneo utara dan selatan Filipina. Kebanyakan tebusan telah dibebaskan.
'Mereka boleh memasuki Sabah dengan mudah'
Menurut satu sumber keselamatan Malaysia, kerajaan kini bimbang dengan ancaman pergerakan merentasi sempadan Sabah-Filipina oleh militan yang dikaitkan dengan Negara Islam. Ahli-ahli beberapa kumpulan militan yang berpangkalan di selatan Filipina telah melafazkan ikrar kesetiaan mereka kepada kumpulan ekstremis itu yang berpangkalan di Timur Tengah.
"Mereka boleh memasuki Sabah dengan mudah dan dengan mudahnya bersembunyi dalam kalangan sejumlah besar pendatang yang telah tinggal dan bekerja di Sabah," kata sumber itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Minggu lalu, tentera Filipina membunuh enam lelaki bersenjata yang disyaki ahli ASG semasa menggagalkan satu serbuan militan Islam di pulau Bohol, sebuah destinasi pelancongan popular di Tengah Filipina. Suspek yang terbunuh termasuklah jurucakap ASG yang dikaitkan dengan Negara Islam yang didakwa terlibat dengan penculikan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Aby Sayyaf, Muammar Askali (juga dikenali sebagai Abu Rami).
Menurut laporan Associated Press pada hujung minggu lalu, sekurang-kurangnya tiga kumpulan militan selatan Filipina dikaitkan dengan Negara Islam yang terlibat dalam serbuan Bohol, di mana militan didakwa merancang untuk melakukan pengeboman dan menculik pelancong dari kawasan itu, yang terletak jauh dari kubu kuat tradisi mereka di selatan negara berkenaan.
Selain Askali, seorang lagi tokoh Abu Sayyaf, Edimar Isnain, adalah di antara enam militan yang terbunuh dalam pertempuran itu yang turut menyebabkan tiga anggota tentera dan seorang anggota polis maut, menurut laporan AP yang memetik maklumat daripada tiga tanpa pegawai keselamatan Filipina yanh enggan dinamakan. Edimar telah bekerjasama dengan militan Malaysia dan Indonesia dalam menghasilkan bom dan melatih rekrut ASG untuk mengendalikan bahan letupan, kata laporan itu.
Walaupun Askali dituduh memainkan peranan langsung dalam beberapa penculikan maritim dan rakaman video pemancungan tebusan, termasuk warga Malaysia, Bernard Then, kematian militan itu tidak bermakna yang jenayah rentas sempadan akan berkurangan, kata sumber keselamatan Malaysia kepada BeritaBenar.
"Dengan tentera Filipina terus memburu militan, kita perlu memastikan mereka tidak menyusup masuk ke dalam sempadan kita. Mereka boleh bersembunyi untuk suatu tempoh yang lama, dan kemudian melakukan serangan apabila tidak dijangka, "kata pegawai itu.
Peranan baru di Sabah untuk Menteri Pertahanan
Dalam perkembangan lain yang berkaitan dengan keselamatan di Sabah, kerajaan Malaysia mengumumkan minggu lalu bahawa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein diberi portfolio tambahan sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas yang bertanggungjawab bagi keselamatan di negeri Malaysia timur itu.
"Tugas utama saya sekarang adalah untuk membantu Perdana Menteri dalam menjaga keselamatan di Sabah," akhbar The Star memetik Hishammuddin sebagai berkata pada Isnin.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan itu tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Penasihat ESSZone itu di Sabah. Beliau bercakap kepada akhbar itu di Kuala Lumpur selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Kementerian Pertahanan.