Bekas Exco Johor Didakwa Kali Kedua
2017.06.14
Kuala Lumpur

Seorang bekas exco kerajaan negeri Johor pada Rabu, sekali lagi ke mahkamah bersama anaknya dan seorang lagi individu lain, bagi menghadapi 21 pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM35.78 juta yang melibatkan skandal hartanah di negeri itu.
Abd Latif Bandi, 51, berserta anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, yang dituduh secara berasingan di atas 21 pertuduhan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Kesemua mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Abd Latif, yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, menghadapi 13 tuduhan membabitkan RM17.59 juta yang didakwa dilakukan di beberapa buah bank di Johor Bahru, di antara 11 Disember, 2013 hingga 19 Disember tahun lalu.
Manakala Ahmad Fauzan dan Amir, masing-masing menghadapi empat tuduhan membabitkan wang berjumlah RM735,000 and RM17. 5 juta.
Ahmad Fauzan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Johor Jaya antara 18 Julai hingga 23 Disember, tahun lalu.
Amir pula didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Larkin Perdana di antara 15 Nov 2013 hingga 14 Disember tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir, yang kemudiannya menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pada 19 April lalu, Abd Latif dan Amir mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan suapan bernilai RM30.3 juta bagi mendapatkan kelulusan pelepasan rumah kluster dan lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi sebuah projek di Pulai, Johor.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Asnawi Abu Hanifah, manakala Abd Latif dan anaknya yang diwakili oleh lima orang peguam diketuai oleh Hasnal Rezua Merican. Amir pula diwakili Azrul Zulkifli Stork.
Hakim Mohd Fauzi menetapkan jaminan RM500, 000 untuk Abd Latif, RM200,000 ke atas Ahmad Fauzan dan RM400,000 ke atas Amir, masing-masing dengan seorang penjamin.
Penangkapan berprofil tinggi
Abd Latif ditahan pada 9 Mac lepas, di pejabat SPRM Johor setelah dipanggil untuk disoal-siasat namun dibebaskan dengan jaminan sejumlah RM200,000 seminggu selepas itu.
Dia mula ambil cuti dari tugasnya sejak 1 Mac lalu setelah skandal itu dilaporkan oleh pihak media.
Sebelum penahanan Abd Latif, anaknya Ahmad Fauzan dan tiga lagi individu telah ditahan berkenaan dengan skandal yang sama, kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM, selepas 14 hari ditahan reman.
Semasa serbuan dilakukan oleh SPRM pada 25 Februari lalu, badan pencegah rasuah itu menahan tujuh lelaki, termasuk anak dan pegawai khas Abd Latif, serta merampas 21 buah kereta mewah, lima motorsikal berkuasa tinggi, wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 dan menyita 45 akaun bank yang mengandungi simpanan bernilai RM15.5 juta.
Penangkapan kes berprofil tinggi itu telah membawa kepada kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menitahkan exco itu menghadap baginda.
Menteri Besar Johor Khaled Nordin juga berkata yang pihak kerajaan negeri akan membiarkan kes itu dikendalikan oleh SPRM dan mengumumkan bahawa Md Jais Sarday memangku jawatan Abd Latif, sementara siasatan SPRM selesai.
Malaysia pada Januari lepas telah dilaporkan turun ke tangga 55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 Transparency International-Malaysia (TI-M).
Malaysia mendapat skor 49 daripada 100, penurunan satu tangga daripada tangga ke-54 pada tahun 2015.
Walaubagaimanapun, agensi pencegahan rasuah di Malaysia baru-baru ini telah mendapat reputasi yang lebih baik di bawah penerajuan Ketua Pesuruhjaya baru Dzulkifli Ahmad.
Beberapa penangkapan dan pendakwaan individu berprofil tinggi telah dibuat.
Semasa awal pelantikannya, Dzulkifli berkata fokus utamanya selepas menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat mempunyai kehidupan mewah melebihi pendapatan serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.