Exco Johor Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM30.3 Juta

Ray Sherman
2017.04.19
Kuala Lumpur
170419-my-abdlatifbandi-620.jpg Exco Kerajaan Negeri Johor, Abd Latif Bandi yang menghadapi 33 pertuduhan rasuah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, 19 April, 2017.
[Ihsan SPRM]

Seorang anggota exco kerajaan negeri Johor yang ditahan Mac lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas siasatan skandal rasuah hartanah di negeri itu pada Rabu mengaku tidak bersalah atas dakwaan terhadap 33 pertuduhan rasuah bersama seorang perunding hartanah yang melibatkan wang berjumlah RM30.3 juta.

Abd Latif Bandi, 51, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima suapan sejumlah RM30.3 juta bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah kluster dan lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi sebuah projek di Pulai, juga di negeri itu.

Abd Latif dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Islamic Bhd, cawangan Larkin Perdana, Johor Bahru, antara 13 November  2013 dan 19 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan keatasnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta SPRM 2009, yang dibacakan bersama Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 24, di mana jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksima selama 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai wang suapan.

Sementara itu, Amir pula dituduh menerima wang terbabit sebagai upah bagi dirinya dan Abd Latif melalui cek daripada beberapa bank bagi tujuan melakukan transaksi untuk mendapatkan kelulusan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh dan tempat yang sama seperti Abd Latif.

Kes tersebut menarik perhatian orang awam dan ramai hadir di mahkamah berkenaan semasa sesi pendakwaan berlangsung, sehingga beberapa individu yang berdiri terpaksa diarahkan keluar oleh seorang pegawai mahkamah sebelum pendakwaan bermula.

Pengarah Pendakwa Raya SPRM Masri Mohd Daud ditugas mengendalikan pendakwaan berkenaan dan beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amir Nasruddin.

Bagi pihak tertuduh pula, Abd Latif diwakili oleh peguam Hasnal Rezua Merican dan Adzly Abd Manas manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Z. Stork.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2 juta dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga tamat perbicaraan.

Hakim Mohd Fauzi kemudian menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Azam Baki berkata, beberapa individu yang terbabit dalam isu hartanah di Johor akan didakwa dalam masa terdekat termasuk di kalangan yang telah ditahan sebelum ini.

"Ada yang bertanya ada lagikah yang akan dituduh, saya kata, ya, ada lagi yang akan dituduh dalam masa terdekat. Saya dengan pihak pendakwaan ada beberapa elemen siasatan yang perlu diperkemaskan.

"Kami tidak mahu mendedahkan siapa bakal dituduh tetap cukuplah saya katakan mereka adalah di kalangan yang pernah ditahan dalam kes berkaitan sebelum ini,” katanya seperti di laporkan oleh media tempatan.

"Jangan buat sebarang spekulasi ada VIP (orang kenamaan) terbabit dan sebagainya. Tiada lagi (VIP) yang terbabit," katanya kepada pemberita.

Penangkapan berprofil tinggi

Abd Latif ditahan pada 9 Mac lepas, di pejabat SPRM Johor setelah dipanggil untuk disoal-siasat namun dibebaskan dengan jaminan sejumlah RM200,000 seminggu selepas itu.

Exco kerajaan negeri itu telah mula bercuti dari tugasnya sejak 1 Mac lalu setelah skandal itu dilaporkan oleh pihak media.

Sebelum penahanan Abd Latif, anak Abd Latif dan tiga lagi individu telah ditahan berkenaan dengan skandal yang sama, kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM, selepas 14 hari ditahan reman.

Semasa serbuan dilakukan oleh SPRM pada 25 Februari lalu, badan pencegah rasuah itu menahan tujuh lelaki, termasuk anak dan pegawai khas Abd Latif, serta merampas 21 buah kereta mewah, lima motorsikal berkuasa tinggi, wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 dan menyita 45 akaun bank yang mengandungi simpanan bernilai RM15.5 juta.

Penangkapan kes berprofil tinggi itu telah membawa kepada kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menitahkan exco itu menghadap baginda.

Menteri Besar Johor Khaled Nordin juga berkata yang pihak kerajaan negeri akan membiarkan kes itu dikendalikan oleh SPRM.

Beliau juga mengumumkan bahawa Md Jais Sarday akan memangku jawatan Abd Latif, sementara siasatan SPRM selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Isnin menggesa kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara kerana ia menjatuhkan martabat Malaysia di mata dunia.

"Keberanian dan sokongan ahli Dewan Negara dipohon untuk bersama SPRM bagi menggesa kerajaan mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara," katanya dalam satu sesi dialog ahli-ahli Dewan Negara Malaysia.

Tambahnya, rasuah dan salah laku di kalangan agensi penguatkuasaan keselamatan dan jenayah di Malaysia makin berleluasa.

"Salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah guna kuasa terus wujud adalah kerana agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.