Malaysia Bentang RUU Antiberita Tidak Benar Menjelang Pilihanraya
2018.03.26
Kuala Lumpur

Malaysia menyertai Singapura dan Filipina, membentangkan Rang Undang-undang [RUU] Antiberita Tidak Benar 2018 di persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin, dengan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, yang pengkritik sifatkan sebagai percubaan untuk mengawal perbezaan pendapat menjelang Pilihan Raya Umum [PRU] ke-14.
RUU Antiberita Tidak Benar itu juga memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 [AS$129,000] selain hukuman penjara selama 10 tahun bagi individu yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar jika disabit kesalahan.
Menteri Di-Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said membuat pembentangan bacaan pertama RRU yang antara lain, jika akta itu diluluskan oleh Parlimen, merangkumi semua media serta orang asing yang berada di luar Malaysia, dengan berita yang dilaporkan itu berkenaan negara Malaysia serta boleh menjejaskan rakyatnya.
Ia dijangka melalui bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen berakhir pada 5 April ini.
Azalina semasa ditemubual oleh akhbar tempatan The New Straits Times berkata beberapa negara luar telah mula menyedari bahawa isu penyebaran berita tidak benar di peringkat global merupakan ancaman yang besar kepada dunia maklumat yang perlu ditangani secara efektif dan segera.
“Sebagai contoh di Singapura, suatu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis pelaku dan motif mereka dalam menyebarkan berita tidak benar dan kesan penyebarnya,” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
Beliau juga dilaporkan sebagai berkata Filipina juga sudah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017, yang boleh membawa kesalahan bagi mana-mana pihak yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.
“Justeru itu, harus difahami bahawa walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah ini tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks,” kata Azalina seperti dilaporkan.
RUU yang dibentangkan itu juga mengenakan denda tidak melebihi RM3,000 [AS$771] bagi setiap hari kesalahan dilakukan untuk menyiar atau menyebarkan berita palsu. Jika kesalahan dilakukan secara berterusan, denda sehingga RM100,000 [AS$26,000] boleh dikenakan bagi individu atau pihak yang memiliki berita tidak benar serta tidak menghapuskannya.
Selain itu, RUU berkenaan turut memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintah pesalah supaya memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang terlibat sama ada di mahkamah ataupun melalui akhbar.
Pengkritik bantah
Para pengkritik membantah RUU itu sambil mengatakan skopnya terlalu luas dan jika dikuatkuasakan, ia sekaligus membolehkan kerajaan bertindak keras terhadap suara yang menentang dalam apa jua bentuk serta menyasarkan saluran media alternatif.
Sementara itu, pakar perlembagaan Malaysia Profesor Abdul Aziz Bari memberitahu BeritaBenar bahawa RUU itu tidak diperlukan dan berlebihan, memandangkan Malaysia sudah mempunyai undang-undang untuk menangani berita palsu.
"Seperti dalam undang-undang zalim yang sedia ada, undang-undang ini akan disalahgunakan untuk menghukum pesaing politik, di dalam dan di luar kerajaan.
"Saya menjangkakan, seperti yang kita saksikan dalam Akta Hasutan dan undang-undang rasuah, hanya mereka yang berada dalam senarai hitam Perdana Menteri akan didakwa, manakala mereka yang memihak dengan pihaknya akan dibebaskan, walaupun mereka sebenarnya menyebarkan berita palsu secara terang-terangan," katanya.
Aziz mendakwa, pembentangan rang undang-undang itu jelas dibentangkan untuk "menakut-nakutkan (orang ramai), dan berada di bawah kawalan kerajaan" yang tidak mahu mengendalikan perbezaan pendapat secara demokratik.
Pengarah Eksekutif ‘Lawyers for Liberty,’ Eric Paulsen menggelar RUU itu sebagai undang-undang "pembunuh” kebebasan bersuara dan akhbar di Malaysia sekiranya ia berjaya diluluskan.
"Mereka yang mengkritik kerajaan, mendedahkan korupsi, salah guna kuasa dan salah laku, akan dibebani dengan tanggung jawab mustahil untuk membuktikan apa yang mereka siarkan adalah benar, dan memastikan supaya mereka tidak akan didakwa kerana menerbit dan menyebarkan berita yang dituduh tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan yang mendesak pihak pentadbiran supaya membuang RUU itu secara keseluruhan.
Peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan berkata, RUU itu juga akan mengakhiri lukisan atau tulisan satira dan parodi, kerana mereka dianggap sebagai “palsu".
"Terdapat klausa mengenai pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang melakukan kesalahan 'berita palsu', yang bermaksud bahawa penyumbang dan pengumpulan dana untuk membayar denda atau ganti rugi juga boleh dikenakan tindakan. Ini mungkin juga akan digunakan untuk mengejar mereka yang membayar langganan kepada portal berita seperti Malaysiakini, atau mereka yang mengiklankan produk mereka di portal tertentu atau akhbar, " katanya.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), dalam kenyataannya, berkata kesatuan itu "sangat prihatin" dengan kandungan Rang Undang-Undang berkenaan dan menggesa kerajaan untuk mengkaji semula secara mendalam, serta berunding dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, sebelum dilaksanakan.
Bukan tindakan politik
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Salleh Said Keruak dalam pertemuan dengan wartawan media asing pada Isnin menafikan bahawa RUU itu akan menghentikan perbezaan pendapat sebelum pilihan raya seperti yang didakwa oleh pengkritik.
"Ia bukan hanya kerana terdapatnya pilihan raya yang akan datang, sehingga mereka memikirkan tindakan kerajaan itu bermotif politik. Tidak, tidak, tidak.
"Dan ia tidak akan mewakili media asing di Malaysia" katanya sambil berharap agensi-agensi media asing memberikan laporan seimbang kepada kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Mahmmad V semasa merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 5 Mac lepas telah menzahirkan sokongan baginda terhadap rancangan kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial.
Seri Paduka bertitah bahawa semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan mereka dalam mempertahankan budi pekerti dan nilai moral melalui media sosial.
"Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial," titah baginda
Hata Wahari dan Hadi Azmi turut memberi sumbangan kepada laporan ini.