Agensi Basmi Kemiskinan Jadi Tumpuan Berikutan Siasatan Rasuah

Fadzil Aziz & Hadi Azmi
2017.08.22
Kuala Lumpur
170822_MY_Felda_1000.jpg Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad Isa Samad menunjuk ke paparan digital yang memaparkan harga saham selepas penyenaraian pertama Felda Global di Bursa Saham Malaysia di Kuala Lumpur, 28 Jun 2012.
[AFP]

Siasatan rasuah membabitkan agensi yang disenaraikan milik kerajaan Malaysia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan penahanan seorang ahli politik berprofil tinggi pada minggu lalu, membawa tumpuan ramai terhadap agensi kerajaan itu yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan peneroka Melayu luar bandar.

Hari ini, Felda berkembang menjadi sebuah syarikat perniagaan mega, sebagai pengeluar volum terbesar minyak kelapa sawit di dunia menerusi unitnya yang disenaraikan, Felda Global Ventures (FGV).

Tetapi, FGV kini terjebak dalam skandal yang menjadi persoalan berhubung urusniaga tempatan dan asing, yang boleh menghantui Perdana Menteri Najib Razak dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpinnya dalam pilihan raya akan datang, kata beberapa penganalisis.

Minggu lepas, agensi pencegahan rasuah menahan bekas ketua Felda dan FGV berhubung siasatan pembelian sebuah hotel di London dan sebuah hotel tempatan, yang menonjolkan apa yang sesetengah kumpulan percaya kemungkinan berlakunya penyalahgunaan dana dan penyalahgunaan kuasa.

Isa Samad, ahli kanan UMNO yang pernah digantung oleh parti itu kerana "politik wang", ditahan reman untuk disoal siasat selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibebaskan pada hujung minggu lalu.

Sebelum itu,  empat eksekutif kanan lain telah diarahkan mengambil cuti sementara siasatan dalaman dijalankan di FGV yang bermasalah itu.

Tumpuan yang tidak diingini mengenai dakwaan salah urus di Felda muncul menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan Najib sebelum pertengahan tahun depan. Beliau kehilangan undi popular pada pilihan raya lepas pada 2013 tetapi gabungan parti yang diketuai oleh UMNO berjaya memenangi kerusi yang mencukupi di Parlimen untuk mengekalkan kuasa untuk memerintah negara.

Berkaitan dengan politik

Penubuhan Felda pada 1956 adalah hasil cetusan idea Abdul Razak Hussein, bapa  Najib yang juga perdana menteri kedua Malaysia. Ia ditubuhkan untuk mengagihkan tanah ladang kepada etnik Melayu  di bawah program pembasmian kemiskinan.

Najib dan UMNO  sentiasa memperoleh undi daripada para peneroka luar bandar dalam skim Felda untuk membolehkan mereka mengekalkan kuasa sejak negara mencapai kemerdekaan pada  1957.

ANAK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, berkata, penangkapan Isa menunjukkan bukti adanya isu-isu yang berkaitan dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Kumpulan itu berkata, ia telah membangkitkan isu itu selepas Najib memutuskan untuk mengekalkan Isa sebagai pengerusi agensi berkenaan selama lima tahun sehingga 2016.

"Ini adalah kesilapan yang besar," kata Mazlan Saliman, presiden ANAK yang juga peneroka, dalam satu kenyataan.

"ANAK berasa sangat sedih kerana masa yang diambil [untuk menyiasat keadaan itu] adalah terlalu lama ... dan kemusnahan [kewangan] akibat daripadanya adalah amat buruk."

Bulan lalu, NGO berkenaan telah meminta suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam Felda.

Ada yang percaya masalah Felda bermula selepas penyenaraian awam FGV pada 2012, apabila sahamnya didagangkan tinggi sehingga RM5.46.

Ramai peneroka luar bandar telah mengambil pinjaman untuk mengambil bahagian dalam tawaran awam permulaan, apabila firma itu memperoleh $3.1 bilion dalam IPO terbesar Asia dan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Namun,  harga saham FGV merudum dan berada pada RM1.62  sesaham pada Selasa.

Ahli ekonomi Azrul Azwar Tajuddin ketika dihubungi berkata, IPO yang terlebih nilai boleh menjadi sebab mengapa harga saham FGV tidak dapat dikembalikan ke paras IPO buat masa yang sangat lama.

"Faktor lain, sama ada anggapan atau nyata, seperti keupayaan pengurusan dan lembaga pengarah, pelbagai isu dan skandal berkaitan dengan tadbir urus korporat, dengan menjadi satu daripada syarikat awam yang sangat berkaitan dengan politik, antara lain, boleh terus menjejaskan prestasi harga sahamnya," kata beliau kepada BeritaBenar.

Kuasa yang perlu diambil kira

Walaupun pilihan raya umum dijangka diadakan pada pertengahan 2018, para ahli politik dan penganalisis mengandaikan Najib boleh membubarkan Parlimen pada akhir tahun ini untuk menghalang pakatan pembangkang yang baru dibentuk, Pakatan Harapan,  daripada mula bertapak di luar bandar.

Peneroka Felda membentuk majoriti pengundi dalam 54 daripada 222 kawasan di Parlimen. Tiga negeri dengan bilangan peneroka paling ramai - Pahang, Johor dan Negeri Sembilan - semuanya adalah di bawah kawalan gabungan parti Barisan Nasional yang dipimpin Najib.

Kini terdapat 112,645 peneroka berdaftar dengan Felda di seluruh negara, yang terus mendapat manfaat daripada baja bersubsidi dan pinjaman dengan faedah rendah daripada kerajaan.

Tetapi, generasi baru peneroka Felda yang berjumlah hampir 2 juta orang, menjadikan mereka sebagai kuasa yang perlu diambil kira dalam mana-mana pilihan raya, menurut seorang pegawai Felda yang enggan namanya dinyatakan.

"Situasi yang hampir dengan kejatuhan sebenar mungkin berlaku jika pengundi luar bandar ini, yang kebanyakannya peneroka Felda, boleh diyakinkan bahawa kos hidup yang semakin meningkat yang membelenggui mereka sejak sekian lama, mempunyai banyak kaitan dengan semua perkara salah yang berlaku di Felda sejak penyenaraian FGV, "kata Azrul.

Pengarah Eksekutif Pusat Merdeka bagi Penyelidikan Pendapat, Ibrahim Suffian, berkata, walaupun pembangkang telah meningkatkan kunjungan mereka ke komuniti peneroka, peluangnya untuk menang adalah sangat terhad.

"Walaupun bimbang dengan isu ini, peneroka lebih pentingkan tentang kehidupan seharian mereka, hutang dan masalah kewangan yang dihadapi mereka, dan enam insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak memberikan harapan bahawa masalah mereka telah diselesaikan, jadi, sokongan mereka kepada BN / UMNO tidak akan menurun dengan banyak," katanya kepada BeritaBenar.

Najib telah mengumumkan insentif khas pada Julai lalu untuk para peneroka Felda, termasuk, antara lainnya, pinjaman pengubahsuaian rumah tanpa faedah bernilai RM 40,000 bagi setiap 70,000 peneroka.

"... Selagi saya memegang jawatan Perdana Menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan Felda ditingkatkan dan kebajikan peneroka dijamin," kata beliau dalam blognya.

Perubahan Sokongan

Invoke, badan penyelidikan yang dikendalikan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, berkata, hanya tujuh kerusi di kawasan penempatan Felda telah menyaksikan perubahan besar dalam sokongan kepada gabungan parti pemerintah.

Sekurang-kurangnya 46 kerusi lain yang mempunyai sejumlah besar komuniti Felda menunjukkan penurunan sokongan terhadap gabungan parti pemerintah, kata Rafizi, dengan merujuk kepada hasil projek penyelidikan itu yang dijalankan terhadap 200,000 pengundi termasuk peneroka Felda, yang diumumkan pada Jun.

Rafizi berkata faktor yang menyumbang kepada penurunan sokongan itu adalah krisis Felda, kenaikan harga keperluan pengguna dan "skandal kebangsaan" yang melibatkan pentadbiran Najib.

Najib telah dikaitkan dengan skandal yang membelenggui dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disisat bagi kegiatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara.

Najib menafikan mengambil wang daripada 1MDB selepas dilaporkan bahawa penyiasat mengesan hampir $700 juta kepada akaun banknya. Pihak berkuasa membebaskan beliau daripada sebarang salah laku, dengan menyatakan bahawa wang itu adalah sumbangan dari Arab Saudi.


Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.