Pemimpin Abu Sayyaf Antara Enam Suspek Ditembak Mati di Tengah Filipina
2017.04.12
Kuala Lumpur

Tentera Filipina pada Rabu mengumumkan bahawa mereka telah menembak mati seorang pemimpin militan Abu Sayyaf dalam satu serbuan, yang menurut seorang pakar, memberi isyarat bahawa negara itu boleh menumpaskan Negara Islam yang telah menggunakan kumpulan tempatan untuk berkembang luas di Asia Tenggara.
Muammar Askali (juga dikenali sebagai Abu Rami), yang muncul dalam video-video yang memaparkan orang tebusan dipancung oleh Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), mati dalam insiden tembak-menembak dengan pasukan keselamatan pada Selasa, yang menyaksikan tiga anggota tentera dan seorang pegawai polis turut terbunuh setelah pihak militan gagal melakukan serangan di resort pulau Bohol di tengah Filipina, menurut laporan berita.
Bohol adalah destinasi pelancongan popular yang terletak jauh dari pangkalan ASG di selatan Filipina.
"Askali adalah pemimpin Kumpulan IS di Sulu, yang kebanyakannya terdiri daripada ahli ASG. Kematiannya menunjukkan bahawa Polis Nasional Filipina dan Angkatan Tentera Filipina boleh mengalahkan IS di Filipina," kata Rohan Gunaratna, seorang pakar mengenai kumpulan ekstremis dan kolumnis BeritaBenar yang berpejabat di Singapura.
ASG telah berikrar setia kepada Negara Islam (IS) dan, sebelum kematiannya, Abu Rami menjalinkan kerjasama dengan Isnilon Hapilon, pemimpin IS Filipina, iaitu sekutu tempatan Negara Islam, katanya kepada BeritaBenar.
Pada penghujung Januari, Isnilon dilaporkan cedera dalam serangan yang dilakukan oleh Tentera Filipina di Lanao del Sur, di pulau selatan Mindanao.
Pada Rabu, pasukan keselamatan memburu suspek ahli-ahli bersenjata ASG berikutan kejayaan menggagalkan serangan pihak militan itu, yang merancang untuk menculik sekurang-kurangnya 12 orang pelancong dari kawasan itu, kata Ketua Turus Angkatan Tentera Filipina Eduardo Ano.
Para pegawai mengenal pasti mayat Abu Rami menerusi gambar-gambar bedah siasat yang ditunjukkan kepada suspek ASG yang ditangkap, dan menemukan mayatnya di lokasi pertempuran bersenjata di Inabanga, Bohol, kata Ano kepada Associated Press.
"Ini adalah satu tamparan besar kepada Abu Sayyaf," kata Ano, menurut laporan AP. "Jika mereka mempunyai rancangan lagi untuk menculik orang yang tidak bersalah di tempat lain, kini mereka perlulah berfikir dua kali sebelum berbuat demikian."
Abu Rami telah mengetuai beberapa ahli militan ke Bohol dengan menaiki tiga bot laju dari kubu hutan mereka di wilayah selatan Sulu, dengan tujuan melakukan penculikan, kata Ano.
"Mereka menjangka untuk menculik empat atau lima orang bagi setiap bot, jadi sekurang-kurangnya mahu menculik 10 hingga 12 orang mangsa adalah rancangan (keseluruhan) mereka," katanya, menurut laporan Agence France-Presse.
Di Jakarta pada Rabu, jurucakap Tentera Nasional Indonesia menyambut baik berita kematian Abu Rami.
"Kami juga gembira. Abu Sayyaf adalah kumpulan pengganas, yang telah menakutkan ramai orang yang antaranya adalah rakyat Indonesia, "kata jurucakap tentera Mejar Jeneral Wuryanto kepada BeritaBenar.
"Oleh itu, kami menghargai apa yang telah dilakukan oleh tentera Filipina."
Di Sabah, sebuah negeri Malaysia timur, sumber keselamatan memberitahu BeritaBenar bahawa Abu Rami juga pernah menahan tiga rakyat Malaysia yang diselamatkan tentera Filipina baru-baru ini.
"Abu Sayyaf jarang sekali meninggalkan kubu kuat mereka di Tawi-Tawi dan Jolo, dan menyerahkan kepada penjenayah lain untuk melakukan penculikan bagi pihak mereka," kata sumber itu.
Sementara itu, ketua polis Sabah yang juga Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak memberi komen segera selepas diminta oleh BeritaBenar.
Jurucakap kumpulan
ASG, kumpulan yang dikaitkan dengan Negara Islam, menjadi terkenal kerana melakukan penculikan dan menahan orang tebusan bagi mendapatkan wang sejak beberapa tahun lepas, selain telah memancung beberapa tebusan Barat yang ditawan mereka. Sejak tahun lepas, kumpulan itu telah menculik puluhan rakyat Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang dalam perjalanan di perairan antara selatan Filipina dan pulau Borneo itu.
Sebahagian besar rakyat Indonesia dan Malaysia telah pun dibebaskan, tetapi pegawai-pegawai Filipina berkata Abu Rami juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan hukuman pancung terhadap tahanan Kanada dan Jerman yang dirakam video pada 2016 dan 2017. Antara tebusan lain yang dipancung ASG adalah seorang warganegara Malaysia, Bernard Then, yang diculik dari sebuah restoran di tepi pantai Sabah, negeri Malaysia Timur, pada Mei 2015.
Abu Rami juga dikenali sebagai jurucakap ASG yang ditugaskan untuk mengeluarkan mesej kepada media mengenai hukuman mati yang dilakukan dan muncul dalam video-video yang menunjukkan pemancungan orang tahanan.
Kegagalan serangan di Bohol berlaku pada hari ketika Filipina, Malaysia dan Indonesia dijadualkan melancar rondaan bersama, yang telah sekian lama dirancang, di perairan bersama dengan matlamat membendung kegaiatan lanun dan penculikan laut oleh militan ASG.
Tetapi pelancaran rondaan laut bersama yang diselaraskan itu, yang sepatutnya dilaksanakan dari sebuah pangkalan tentera laut di Sabah, telah ditangguhkan bagi tempoh yang tidak pasti, menurut pegawai-pegawai Malaysia, kerana Menteri Pertahanan Filipina tidak dapat menghadiri majlis itu berikutan pertembungan jadual perjalanannya.
Arie Firdaus di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.