Lapan Suspek Abu Sayyaf Ditahan di Ibu Negara Malaysia
2017.09.03
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan lapan orang yang disyaki anggota kumpulan militan, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), yang berpangkalan di selatan Filipina, di Kuala Lumpur termasuk seorang pemimpin kanan ASG Filipina, demikian disahkan ketua unit anti-keganasan polis Malaysia.
Suspek berkenaan yang terdiri daripada dua rakyat Filipina dan enam rakyat Malaysia ditangkap oleh polis di daerah Cheras Kuala Lumpur pada Rabu lepas, iaitu pada malam sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 Malaysia, demikian menurut The Star, akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang mula melaporkan berita itu pada Ahad.
Tetapi laporan itu tidak menyatakan mengapa mereka ditahan atau sama ada penahanan mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana rancangan atau kegiatan militan yang membabitkan sambutan itu, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua unit anti pengganas polis negara itu, namun beliau enggan mengulas lanjut.
"Ya, saya mengesahkan [berita ini]. Tetapi, tunggulah siaran media rasmi," kata Ayob kepada BeritaBenar pada Ahad, sambil memberitahu bahawa jabatannya sedang sibuk mempersiapkan majlis persaraan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Isnin.
Suspek yang ditahan itu adalah enam rakyat Malaysia berketurunan Filipina dari negeri timur Sabah dan dua warganegara Filipina termasuk Hajar Abdul Mubin (alias Abu Asrie) yang berumur 25 tahun. Menurut laporan The Star, dia merupakan pemimpin Abu Sayyaf bagi geng penculik untuk mendapatkan wang tebusan dikenali sebagai "Lucky Nine" yang bersekongkol dengan ASG dan berpusat di Jolo dan Basilan, di selatan Filipina.
ASG terkenal dengan kegiatan menculik orang awam dari berbagai-bagai negara dan memenggal kepala tebusan asing sekiranya permintaan bagi wang tebusan tidak ditunaikan. Beberapa pejuang kumpulan itu dikaitkan dengan organisasi ektremis Negara Islam (IS), serta terlibat menawan bandar Marawi di selatan Filipina dan bertempur dengan pasukan keselamatan kerajaan Filipina di sana sejak tiga bulan lalu.
Laporan itu menyatakan bahawa Abu Asrie memasuki Malaysia pada 2015 selepas bertemu dengan beberapa suspek militan IS termasuk Mahmud Ahmad, yang didakwa sebagai pihak yang menyalur dana IS dari Timur Tengah. Mahmud terlibat secara aktif dalam pertempuran Marawi bersama-sama pemimpin ASG, Isnilon Hapilon, yang merupakan pemimpin serantau yang diiktiraf bagi Negara Islam.
"Rakyat Malaysia itu, yang dipercayai berasal dari Sandakan dan bekerja di Kuala Lumpur, berusia di antara 20 dan 52 tahun," menurut laporan itu yang memetik sumber risikan.
Sumber itu berkata beberapa suspek itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota angkatan sukarela awam negara, yang dikenali sebagai RELA.
Duterte cadang pasukan petugas tiga pihak
Berita mengenai penahanan suspek ASG di Kuala Lumpur disiarkan pada hari sama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berkata bahawa beliau merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo bagi membincangkan mengenai penubuhan pasukan petugas bersama tiga pihak untuk memerangi militan yang berkaitan dengan IS di rantau ini, lapor Reuters.
"Kami telah bersetuju untuk berbincang, antara kami bertiga. Kami hanya menunggu masa yang sesuai, "kata Duterte kepada pemberita pada Ahad.
"Dalam semua kebarangkalian, ia akan menjadi sebuah pasukan petugas bersama. Dan saya akan membuka sempadan negara saya kepada pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia. Mereka akan diberi akses," lapor Reuters yang memetik beliau sebagai berkata.
Berikutan pengepungan Marawi oleh kumpulan yang dikaitkan dengan IS dan kegiatan penculikan di laut oleh suspek ASG yang bersenjata, tiga negara jiran itu pada Jun lalu melancarkan rondaan keselamatan bersama di selatan Filipina dan pulau Borneo untuk membendung ancaman ekstremis IS.
Di Malaysia sahaja, termasuk penahanan lapan orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan ASG itu, pihak berkuasa telah menahan 318 orang yang disyaki menyertai Negara Islam sejak 2013, dengan 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.