Tujuh Remaja Ditahan, Disyaki Terbabit Kebakaran Membawa Maut

Fadzil Aziz & N. Nantha
2017.09.16
Kuala Lumpur
170916_MY_FIRE_PRESSCONF_620.jpg Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh Ishar Singh, bercakap pada sidang media mengenai penahanan suspek kebakaran sebuah sekolah agama Islam yang meragut nyawa 23 orang, 16 Sept, 2017.
(Fadzil Aziz/BeritaBenar)

Tujuh remaja lelaki sengaja mencetuskan kebakaran di sebuah sekolah agama Islam di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 orang yang terperangkap di bilik asrama yang terletak di tingkat tiga premis itu, kata polis Malaysia pada Sabtu ketika mengumumkan tentang penangkapan mereka.

Mereka yang berusia di antara 11 hingga 18 tahun tinggal berhampiran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan telah terlibat dalam "salah faham" dengan pelajar-pelajar sekolah itu, kata polis.

Enam daripada suspek itu didapati positif ganja dan "kami percaya mereka dalam pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Amar Singh Ishar Singh.

"Dengan tangkapan ini, kami percaya kami telah menyelesaikan kes berkenaan," katanya kepada wartawan di ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

Remaja lelaki berkenaan, yang kelihatan berkeliaran di luar sekolah itu dalam rakaman CCTV, disiasat bagi kesalahan membunuh dan melakukan khianat dengan api mengikut Kanun Keseksaan, katanya.

Sekolah tersebut, yang terletak kira-kira 15 minit pemanduan dari Menara Berkembar Kuala Lumpur yang ikonik, diklasifikasikan sebagai pusat tahfiz di mana pelajar belajar menghafal al-Quran. Ia mempunyai 36 pelajar dan enam guru tetapi tidak mempunyai permit keselamatan kebakaran dan sijil layak menduduki premis tiga tingkat itu.

Mayat 21 pelajar dan dua guru itu yang kebanyakannya rentung ditemui di asrama yang terletak di tingkat teratas selepas kebakaran pada awal pagi Khamis.

Pelajar berusia di antara 8 dan 16 tahun serta guru yang berusia 25 dan 26 tahun itu terperangkap di belakang tingkap berjeriji dan pintu yang berkunci, kata para pegawai. Saksi-saksi memberitahu pemberita bahawa mereka terbangun daripada tidur setelah mendengar teriakan meminta bantuan dari dalam premis itu.

Jenazah kesemua mangsa itu dikebumikan pada Jumaat.

Pelajar yang terselamat dalam kebakaran itu kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara yang tidak didedahkan, kata pengetua sekolah, Muhammad Zahid Mahmod kepada wartawan pada Sabtu.

Bertindih

Anggota-anggota bomba berkata, mereka menemui mayat-mayat bertindih di atas satu sama lain, yang menunjukkan mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi terperangkap akibat tingkap berjeriji besi.

"Daripada siasatan, kami percaya perbuatan khianat ini dilakukan akibat berlakunya ejek mengejek di antara suspek dan beberapa pelajar tahfiz beberapa hari sebelum kebakaran itu," kata Amar Singh.

"Dua daripada suspek juga mempunyai rekod lampau polis, iaitu melakukan rusuhan dan mencuri kenderaan," katanya, sambil memberitahu bahawa suspek bukan dari sekolah berkenaan tetapi tinggal berdekatan pusat tahfiz tersebut.

Amar Singh berkata, polis turut merampas pakaian, topi keledar dan motosikal daripada suspek dan berharap dapat menyiapkan segera siasatan bagi membolehkan hasilnya dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Mereka yang membawa naik kedua-dua tong gas dari tingkat bawah dan petrol juga digunakan untuk mempercepatkan pembakaran. Niat mereka adalah membakar sekolah tahfiz itu, "katanya.

"Mungkin [kerana faktor] usia dan tahap kematangan, mereka tidak tahu bahawa niat mereka untuk membakar sekolah itu akan mengakibatkan kematian orang," kata Amar Singh.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah beroperasi selama 16 tahun tanpa permit rasmi, kata para pegawai, dengan kerajaan menyatakan bahawa ia akan menubuhkan pasukan petugas bagi memeriksa tahap keselamatan di semua sekolah serupa di seluruh negara itu, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pada Sabtu, enam anggota pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian kebakaran di sekolah-sekolah agama telah memeriksa lokasi kebakaran, dan beredar tanpa bercakap kepada media.

Akhbar The Star melaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz swasta yang didaftarkan di seluruh negara setakat  April lalu, tetapi banyak lagi yang dipercayai tidak mendaftar. Lebih 200 kebakaran membabitkan sekolah agama dikatakan telah direkodkan di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Khamis bahawa satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meneliti aspek keselamatan di sekolah-sekolah agama swasta yang menurutnya enggan mendaftar dengan pihak berkuasa kerana bimbang kerajaan mengganggu kurikulum mereka.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Saudara mara menghadiri pengebumian mangsa kebakaran sekolah di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Kuala Lumpur, 15 Sept, 2017. (Fadzil Aziz / BeritaBenar)

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.