Flotila NGO Malaysia Ke Myanmar Akan Tetap Diteruskan

Hata Wahari
2017.01.03
Kuala Lumpur
170103-my-flotilla620.jpg Bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan, melawat dan bertemu dengan masyarkat Islam di kampung Kyatyoepyin di Maungdaw, Wilayah Rakhine, Myanmar, 3 Dis 2016.
AFP

Misi menghantar Flotila bantuan kemanusiaan untuk masyarakat Rohingya di Myanmar oleh lebih 25 badan bukan kerajaan Malaysia dan antarabangsa akan tetap diteruskan walaupun menerima tentangan daripada Kerajaan Myanmar, kata Presiden MAPIM kepada BeritaBenar pada Selasa.

Mohd Azmi Abd Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata misi Flotila yang turut di sertai NGO dari Turki, Indonesia, China dan Thailand bersama kira-kira 150 sukarelawan akan diteruskan walaupun kerajaan Myanmar merancang untuk menghalang kedatangan Flotilla tersebut.

“MAPIM telah menghantar surat kepada kerajaan Myanmar tetapi sehingga kini tidak ada maklumbalas daripada Myanmar, malahan pada tahun 2012 ketika hendak melakukan misi yang sama, surat juga telah dihantar kepada kerajaan Myanmar tetapi tidak ada maklumbalas,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Minggu lalu, Lt. Jen. Kyaw Swe, Menteri Hal-Ehwal Sempadan seperti dilaporkan Radio Free Asia, sebuah entiti BeritaBenar, sebagai berkata, “Adalah mustahil untuk menerima bantuan itu, kerana perkara berkenaan tidak masuk akal, misi sebegitu perlulah dilakukan secara diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan bukannya terus ke negeri Rakhine.

“Ini adalah satu penghinaan, kami tidak akan menerimanya. Kami minta maaf,” tambah menteri itu lagi.

Jurucakap kerajaan Myanmar turut menegaskan bahawa flotila berkenaan akan dipaksa  berpatah balik sekiranya ia memasuki perairan negara itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri Reezal Merican Naina Merican ketika dihubungi BeritaBenar bagi mendapat maklum balas mengenai penghantaran flotila itu minggu lepas, enggan mengulas lanjut mengenai pelayaran yang bertujuan untuk memberi sumbangan kemanusiaan itu.

Beliau turut dihubungi sekali lagi pada Selasa, bagi mendapatkan maklum balas mengenai pendirian Myanmar mengenai isu tersebut, tetapi tidak membalas semua soalan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapps.

Dalam pada itu, Setiusaha Agung MAPIM, Zulhasni Zainol memberitahu BeritaBenar, bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai di Kementerian Luar Malaysia untuk mendapatkan nasihat dan bantuan dari segi menyelesaikan masalah dengan kerajaan Myanmar pada Rabu.

"Kita bukan hendak menceroboh negara Myanmar tetapi hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Ini tidak ada mengena dengan agama kerana ia adalah isu kemanusiaan sebab itulah kita berharap dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik antara kedua-dua pihak iaitu MAPIM dan Myanmar," tegasnya.

BeritaBenar difahamkan satu sidang media selepas pertemuan antara NGOs dan Kementerian Luar Negara Malaysia itu dijadualkan selepas pertemuan berkenaan.

Kedua-dua negara Islam di Asia Tenggara itu, Malaysia dan Indonesia, telah menggesa Aung San Suu Kyi, pemimpin de fakto Kerajaan Myanmar untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terlibat ketika pertemuan Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)pada Disember 19 yang membincangkan isu tersebut.

Kerajaan Indonesia juga dilaporkan telah menghantar 10 kontena kapal dengan barangan makanan, makanan bayi dan pakaian untuk warga Rohingya yang terlibat dengan keganasan di utara Rakhine.

Misi diteruskan

Mohd Azmi menegaskan setakat Selasa, hampir 70 peratus daripada persiapan fasa pertama, terutamanya dari segi mengatur perjalanan dan rundingan bagaimana barang-barang itu hendak dihantar,  telah siap.

“Kami juga sedang memikirkan apakah syarat yang kami boleh kompromi dengan Myanmar kerana MAPIM telah membuat keputusan, selagi kami tidak melihat barang itu benar-benar sampai ke kawasan mangsa, kami tidak mahu terima wakil-wakil lain terutama pihak tentera Myanmar.

“Integriti tentera Myanmar mengurus bantuan kemanusian tidak memuaskan kerana mereka telah mengambil sebahagian besar daripada bantuan kemanusiaan itu dan tidak dihantar kepada golongan yang layak,’’ dakwa beliau sambil memberitahu mengenai beberapa laporan media yang menyebut kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh pihak luar tidak diagihkan kepada umat Islam Rohingya.

Mohd Azmi memberitahu, perjalanan pergi balik dijangkakan minima 12 hari tetapi boleh mencecah 19 hari bergantung kepada suasana laut dengan sekutang-kurangnya dua buah kapal akan belayar di mana satu  daripadanya akan digunakan untuk memecah sekatan terhadap kawasan terkesan di Maungdaw dan Buthidaung.

Katanya, MAPIM yakin misi untuk menghantar bantuan kepada penduduk Rohingya kali ini akan berjaya berlandaskan 'isyarat' yang diterima pihaknya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperakui rancangan tersebut, selain komitmen daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta kepimpinan banyak negara yang telah dihubunginya.

Pada tahun 2012 misi yang sama dalam usaha menghantar ‘Flotila Makanan ke Myanmar’ telah gagal kerana tidak mempunyai kapal untuk penghantaran bantunan tersebut.

“Penghantaran misi kali ini adalah satu langkah simbolik dan jika berjaya maka dapatlah memecahkan sekatan dengan harapan mereka (Kerajaan Myanmar) boleh beri laluan, saya harap lebih banyak lagi bantuan dapat dihantar," tegasnya.

PBB dalam laporannya berkata, adalah dianggarkan lebih 27,000 warga Rohingya melarikan diri daripada wilayah Rakhine dan berlindung di negara jiran Bangladesh selepas pihak tentera Myanmar melancarkan beberapa serangan maut sejak 9 Okt lepas.

Myanmar pula dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh, 17 anggota polis dan tentera dengan 76 lagi yang dipercayai ‘penyerang’ [termasuk enam yang dilaporkan mati semasa disoal siasat] terbunuh dalam kejadian serangan berkenaan.

Lebih 575 orang suspek telah ditahan kerana terlibat dalam serangan pada 9 Okt itu, selepas pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan keras.

Beberapa NGO yang memperjuangkan nasib etnik Rohingya, bagaimanapun mendakwa sekurang-kurangnya 400 orang warga itu seperti yang digambarkan oleh PBB sebagai antara kumpulan paling teraniaya di seluruh dunia dan terbunuh dalam operasi ketenteraan, dengan wanita telah dirogol dan kampung-kampung dibakar.

Konflik kemanusiaan yang berlaku di Maungdaw awal Oktober lepas telah menyebabkan puluhan ribu pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan anggaran pelarian baru yang sampai di Bangladesh adalah seramai 10,000 keluarga dan hampir 50,000 orang.

Presiden Persatuan Rohingya Malaysia Faisal Islam berkata, ini merupakan satu  usaha yang baik dari NGO Malaysia tetapi menegaskan Kerajaan Myanmar akan mengambil pendirian yang keras mengenai pelayaran itu.

“Saya risau mereka tidak akan benarkan flotila itu. Saya juga bimbang sesuatu mungkin akan berlaku sebelum bantuan tersebut sampai ke Rohingya,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu sambil mencadangkan supaya bantuan dihantar kepada warga Rohingya  yang berada di sempadan Bangladesh.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.