Polis Jalankan Siasatan Kerugian Forex Tahun 1990-an, TPM
2017.12.01
Kuala Lumpur

Malaysia akan menjalankan siasatan terhadap dua pemimpin pembangkang - bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim - berkaitan dengan kerugian berbilion dolar oleh bank pusat pada 1990-an, seperti disyorkan oleh suruhanjaya kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an itu , selepas satu laporan polis telah dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada Khamis.
"Mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM biarpun RCI tiada mempunyai kuasa perundangan tetapi hasil kajian itu telah mengesyorkan agar siasatan mengikut perundangan dilakukan.
"Mereka (RCI) juga mencadangkan beberapa personaliti yang dinamakan dalam laporan RCI itu supaya dilakukan siasatan mengikut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang berkaitannya,"kata Ahmad Zahid pada media di Putrajaya seperti dilaporkan oleh agensi berita Nasional Malaysia [Bernama].
Ditanya sama ada ketiga-tiga individu yang dinamakan dalam laporan tersebut akan dipanggil untuk memberi keterangan, beliau berkata : "Sebagaimana dinyatakan Ketua Polis Negara".
Pasukan khas
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat seperti dilaporkan media tempatan berkata, satu pasukan khas yang diketuai oleh Pengarah JSJK Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh telah ditubuhkan pada Khamis, sejurus menerima laporan polis, untuk menyiasat kes kerugian urus niaga mata wang daripada pelbagai sudut.
Fuzi dilaporkan berkata individu terlibat seperti yang disyorkan dalam laporan RCI akan dipanggil sekiranya perlu, walaupun ia tidak disenaraikan dalam agenda persidangan Parlimen.
Pada Khamis, RCI mengeluarkan laporan penuh inkuiri siasatan itu. Ia telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Terdapat di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, ia merumuskan bahawa kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam kes berkenaan.
Laporan RCI itu dikeluarkan beberapa hari selepas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid berkata bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan bulan Februari 2018, menurut media tempatan.
Laporan siasatan itu juga telah diletakkan di atas meja setiap Anggota Parlimen semasa Parlimen sedang bersidang, dan tanpa notis awam yang mencukupi sehingga menyebabkan Anggota Parlimen dari pembangkang bertindak balas dengan mengkritik mengenai waktu ianya dikeluarkan – iaitu pada hari terakhir persidangan Parlimen tahun ini.
Pada Khamis juga, Setiausaha RCI, Dr Yusof Ismail telah membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Suruhanjaya itu yang dianggotai panel lima orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, memulakan siasatannya empat bulan lalu terhadap dakwaan kerugian besar dagangan mata wang asing yang dialami bank pusat itu pada 1990-an dan seramai 25 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan panel yang turut mengumpulkan dan memeriksa 42 dokumen yang berkaitan.
Pada 13 Okt., suruhanjaya diraja itu menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), semasa ditemui wartawan di Parlimen berkata, "Laporan itu sudah siap dan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong [Malaysia] enam minggu yang lalu, sepatutnya ia diberikan kepada kami dengan lebih awal juga,"
"Hari ini, apabila kami meminta untuk membahaskan hasil laporan ini, ia telah ditolak. Ini menunjukkan bahawa apa yang kami jangkakan berlaku sebelum ini, kini menjadi kenyataan, ia adalah tindakan politik terhadap isu yang dibangkitkan selepas bertahun-tahun lamanya demi membabitkan pihak lawan politik mereka, "kata Wan Azizah.
RCI dalam laporan inkuirinya berpendapat, "Suruhanjaya berpendapat bahawa Menteri Kewangan ketika itu telah dengan sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan yang mengelirukan kepada Kabinet," yang merujuk kepada Anwar, yang juga menteri kewangan ketika bank pusat itu menanggung kerugian RM 31.5 bilion (AS$7.7 bilion) dalam dagangan wang asing di antara 1992 dan 1994.
"Suruhanjaya ini juga berpendapat bahawa Perdana Menteri ketika itu telah mengizinkan perbuatan Menteri Kewangan," menurut laporan setebal 524 muka surat oleh suruhanjaya itu, yang tidak menamakan Mahathir dan Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat.
Laporan RCI itu menunjukkan bahawa buat pertama kalinya Mahathir, 92, dan Anwar, 70, didakwa secara rasmi terhadap potensi salah laku jenayah berkaitan dengan kerugian BNM, lebih daripada 20 tahun yang lalu.
Mahathir dan Anwar, yang sebelum ini bermusuhan, baru-baru ini bergabung untuk memimpin pakatan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan, dalam menentang Perdana Menteri Najib Razak dan partinya, Pertubuhan Melayu Kebangsaan (UMNO), yang menguasai politik Malaysia di seluruh negara sepanjang 60 tahun dahulu.
Mahathir merupakan antara pengkritik Najib yang paling lantang. Mahathir menggesa supaya Najib letak jawatan sebagai perdana menteri berikutan dakwaan yang beliau terbabit dalam skandal rasuah dana negara 1MDB. Najib menafikan sebarang salah laku dalam urusan 1MDB.
Pada Khamis, seorang peguam Mahathir menuduh kerajaan "menyerang" kliennya dengan mengeluarkan laporan itu kepada Parlimen tanpa notis awam yang mencukupi atau memberikannya satu salinan.
Peguam Haniff Khatri berkata, beliau akan mengulas laporan itu setelah berpeluang membaca dengan sepenuhnya.
"Saya amat terkejut bahawa terdapat rujukan dalam Laporan ini yang mendakwa berlakunya perbutan melakukan jenayah seperti jenayah pecah amanah, sedangkan bahan-bahan yang dirujuk oleh RCI adalah sedikit dan tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan sedemikian, "kata peguam itu, yang memetik laporan media berhubung kandungan laporan.