Lebih Separuh Anggota Polis Dikerahkan Untuk Pilihan Raya, KPN

N. Nantha
2018.03.27
Kuala Lumpur
180327-my-pulapol1000.jpg Anggota polis Malaysia ketika sambutan Hari Polis ke-211 yang diadakan di Pusat Latihan Polis [PULAPOL] di Kuala Lumpur, 25 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar].

Seramai 70,000 anggota keselamatan Malaysia daripada pelbagai peringkat akan ditugaskan  menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Umum [PRU] ke-14 yang dijangka paling sengit dalam sejarah negara.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada Selasa memberitahu, jumlah tersebut merupakan 69 peratus daripada jumlah keseluruhan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang kini mencecah 130,401 orang.

"Kita akan mendapat bantuan daripada seramai 4,100 anggota Pasukan Simpanan Polis. Kita juga akan menambah jumlah anggota jika lebih banyak khidmat mereka diperlukan," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang PDRM di Bukit Aman pada Selasa.

Seramai 10,133 anggota polis dan anggota awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sesi 2017 semasa majlis berkenaan.

Mohamad Fuzi berkata, pasukan keselamatan itu juga bersedia seratus-peratus dalam menghadapi pilihan raya akan datang dengan dua simulasi latihan telah dijalankan sebagai usaha untuk mempersiapkan anggota untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Pilihanraya umum di Malaysia harus diadakan sebelum bulan Ogos seperti syarat yang termaktub dalam Perlembagaan negara itu dan PRU ke-14 kali ini merupakan detik penting bagi Malaysia kerana gabungan parti pembangkang kini berada dibawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) itu akan bertanding dalam usaha mereka menjatuhkan parti pemerintah Barisan Naaional yang sudah memerintah negara itu selama 60 tahun sejak merdeka.

Sementara itu, Mohamad Fuzi pada Khamis lalu berkata polis turut mengenalpasti lebih 100 lokasi panas di seluruh negara itu, dengan lebih 1,100 individu telah dikenalpasti serta  dikhuatiri melakukan kekacauan ketika pilihan raya umum nanti.

Nama individu-individu tersebut katanya, sudahpun berada dalam simpanan pihak berkuasa.

"Mereka yang ada di dalam senarai tersebut boleh menimbulkan suasana yang dapat menjejaskan ketenteraman melalui pelbagai cara termasuklah menyebarkan berita palsu dalam laman maya.

"Berita palsu yang mungkin disebarkan terdiri daripada kewujudan pengundi hantu sehinggalah kepada serangan dari kumpulan pengganas IS," tambah Fuzi.

Daripada jumlah itu, katanya, 116 kawasan adalah di Semenanjung Malaysia dan 33 di Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, isu melibatkan perkauman juga perlu dipastikan oleh pasukan berkenaan agar tidak tercetus kekecohan berlaku.

"Polis turut memberi fokus kepada kawasan yang dijangka mempunyai pertandingan sengit demi menjaga ketenteraman awam," kata Mohamad Fuzi.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan beliau selepas sesi beramah mesra bersama PDRM minggu lalu berkata tindakan perlu diambil segera ke atas pihak yang cuba melakukan kekecohan.

Beliau meminta polis membuat tindakan pantas keatas individu yang dikenalpasti supaya ancaman boleh dibendung dan disekat dengan lebih awal.

Tambah beliau, peringatannya bukanlah satu amaran tetapi peringatan kepada mereka yang cuba melakukan kekecohan.

"Saya berharap pilihanraya kali ini akan lebih aman dan lebih teratur. Saya juga berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan pihak polis supaya tiada provokasi terhadap anggota keselamatan negara. Saya juga sudah arahkan semua anggota dan pegawai polis tidak bertindak kasar, jangan guna bom air atau bom asap pemedih mata melainkan jika iannya betul-betul perlu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi berkata BERSIH dan kumpulan Baju Merah yang dijangka berhimpun di Kuala Lumpur pada Rabu, yang tidak mempunyai permit akan dihalang oleh pihak polis.

"Kami akan mengambil tindakan yang bersesuaian dan akan mengawasi keadaan," beliau berkata.

Fuzi menegaskan langkah-langkah keselamatan yang diambil bukan untuk menyebabkan masalah tetapi untuk memastikan keselamatan Parlimen yang dijangka akan memperdengarkan cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada persidangan berkenaan.

Parlimen Malaysia dijangka akan dibubarkan pada bila-bila masa selepas cadangan persempadanan itu diperdengarkan dan ahli parlimen perlu mengundi dengan majoriti mudah untuk ia dilaksanakan.

Gabungan parti pembangkang pada pilihan raya kali ini mahukan parti Perdana Menteri Najib Razak tidak lagi memerintah negara namun pembentangan RUU Antiberita Tidak Benar serta persempadanan semula bakal menyukarkan peluang gabungan PH itu, kata pemerhati politik.

Najib yang terpalit dengan skandal rasuah dana negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad turut dilabel sebagai pencuri oleh bekas mentor beliau sendiri, Mahathir. Najib telah menolak segala tuduhan yang mengaitkan beliau dengan salahlaku kewangan 1MDB.

Perdana Menteri itu mengetuai parti pemerintah Barisan Nasional yang dibantu oleh parti sekutu yang terdiri daripada tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.