Polis: Perekrut Kanak-kanak Militan Abu Sayyaf Antara Lapan Ditahan

Ali Nufael & Zam Yusa
2018.11.16
Kuala Lumpur, Malaysia
181116-MY-terrorists-620.jpg Rakyat Filipina berjalan melepasi rumah yang dipenuhi peluru dimana pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon menggunakannya sebagai tempat persembunyian kumpulan tersebut semasa peperangan Marawi berlaku pada 2017, 15 Jun 2018.
(AP)

Pihak berkuasa Malaysia menahan lapan lelaki, di mana tujuh daripadanya adalah warga Filipina termasuk perekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan militan Abu Sayyaf dengan menjadikan mereka perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina.

Kesemua mereka berusia antara 30 dan 60 tahun itu, ditahan dalam beberapa siri operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] dari 30 Oktober hingga 12 November lalu di Putrajaya dan Sabah, demikian menurut Ketua Polis Negara Fuzi Harun pada Jumaat.

Fuzi dalam satu kenyataan berkata perekrut kanak-kanak kumpulan militan Abu Sayyaf, yang juga seorang buruh itu ditahan di Ranau, daerah yang terletak di bahagian pantai barat utara Sabah bersama rakannya berusia 46 tahun yang merupakan seorang juruteknik pada 8 November lepas.

“Kedua-dua suspek adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf dan terlibat dalam kegiatan ‘kidnapping for ransom’ [KFP] di selatan Filipina dan Sabah. Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak memegang senjata untuk menyertai kumpulan Abu Sayyaf dan dijadikan perisai manusia  semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan negara itu.” tambah Ketua Polis Negara itu.

Fuzi berkata lelaki berkenaan juga dipercayai terlibat dalam kes memenggal kepala tebusan kumpulan Abu Sayyaf dan semasa ditahan, kedua-duanya sedang merancang untuk melarikan diri ke selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Malaysia.

Media Filipina tahun lepas telah melaporkan bahawa kumpulan militan di selatan negara itu telah merekrut ribuan kanak-kanak untuk menyertai kumpulan pengganas dan berperang menentang tentera Filipina di Marawi.

Kumpulan militan yang berjaya menakluki Marawi selama lima bulan itu juga dilaporkan menculik beberapa orang kanak-kanak dari bandar untuk digunakan sebagai perisai manusia dalam pertempuran itu bertujuan memperlambat kemaraan tentera ke kawasan berkenaan.

Tiada maklumat

Dua kanak-kanak asing telah dikenalpasti menjadi sebahagian daripada perisai manusia - seorang adalah rakyat Malaysia dari Sabah, Ahmad Malqazi Amin, yang berperang menentang tentera kerajaan di Marawi bersama ayahnya, Amin Baco, demikian menurut maklumat dari tentera Filipina manakala seorang lagi telah dinamakan oleh tentera negara itu sebagai Jamil. Kewarganegaraannya bagaimanapun tidak didedahkan dan tentera berkata Ahmad Malqazi dan Jamil terbunuh di Marawi.

Menurut laporan tahun lepas, Ahmad Malqazi meninggalkan rumahnya di Tawau untuk ke Mindanao, selatan Filipina dengan Manila Times dalam laporannya menyatakan bahawa beberapa orang kanak-kanak tanpa kerakyatan dari Sabah telah dibawa ke negara itu untuk dijadikan pejuang militan menentang pihak kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Sabah pada ketika itu, Ramli Din telah menolak laporan Manila Times itu sambil mengatakan tidak ada bukti kukuh menyokong dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Anti-Keganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay semasa dihubungi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat tentang bilangan kanak-kanak  yang telah direkrut oleh suspek kerana semuanya berlaku di Filipina.

"Bilangan kanak-kanak yang direkrut tidak jelas kerana ia berlaku di Filipina. Kami sedang mengumpul seberapa banyak maklumat yang boleh mengenainya," kata beliau sambil menambah pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Sementara itu, menurut sumber yang paling rapat dengan siasatan berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu BeritaBenar bahawa kedua-dua lelaki berkenaan bercadang untuk melarikan diri ke Sandakan, iaitu kita-kira 100 batu daripada daerah  mereka ditahan, sebelum menyelinap masuk ke selatan Filipina.

Sumber itu juga memberitahu dari maklumat awal yang diterima melalui laporan risikan menunjukkan bahawa buruh berusia 35 tahun itu telah berjaya merekrut tujuh orang berusia antara 18 dan 25 tahun untuk menyertai ASG semasa beliau tinggal di Sabah.

"Tujuh orang yang kami tahu setakat ini tetapi kami percaya terdapat lebih banyak daripada itu,

"Tidak ada orang yang mengesyaki bahawa mereka terlibat dalam kegiatan keganasan kerana mereka bergaul dengan masyarakat setempat dengan baik. Mereka memperagakan diri dengan profil yang rendah untuk mengelakkan perhatian yang tidak diingini, "  tambah sumber berkenaan kepada BeritaBenar.

Orang kanan Abu Sayyaf


Juga ditahan dalam siri serbuan itu ialah orang kanan kepada Furuji Indama, seorang pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf di Basilan.

“Lelaki warga Filipina berumur 30 tahun itu bekerja sebagai tukang besi telah ditangkap pada 10 Nov dan penyiasatan mendapati lelaki tersebut adalah komander kumpulan militan yang diketuai oleh Furuji Indama," kata Fuzi.

Terdahulu pada 1 Nov, Fuzi berkata mereka menahan tiga lelaki Filipina berusia 27, 34 dan 51 di Tenom, Sabah.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat secara aktif dalam aktiviti menculik untuk wang tebusan  di sekitar pulau-pulau di Sabah. Bagaimanapun  tidak diketahui sama ada kesemua mereka yang ditahan itu adalah saudara.

Fuzi berkata seorang daripada suspek yang berusia 34 tahun telah dikenal pasti sebagai pembuat senjata api yang mahir bagi kegunaan anggota militan ASG.

Juga ditangkap di Tenom, adalah seorang warga Filipina berusia 60 tahun yang bekerja sebagai peniaga pasar malam. Beliau ditahan pada 12 Nov kerana didakwa menyediakan tempat persembunyian kepada suspek keganasan.

Rakyat tempatan  yang ditangkap dalam serbuan itu pula kata Fuzi adalah seorang peniaga emas yang ditahan di pusat pentadbiran negara, Putrajaya akhir bulan lalu.

Lelaki berusia 30 tahun adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang ditangkap semasa siri  serbuan itu kerana didakwa memindahkan dana kepada pengganas IS Malaysia, Akel Zainal untuk membiayai aktiviti keganasannya di Syria.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Keselamatan Sabah terkawal

Dalam pada itu Ayob Khan memberi jaminan bahawa keadaan di Sabah terkawal walaupun banyak penangkapan telah dibuat berkaitan kegiatan keganasan.

"Segala-galanya terkawal, tidak perlu panik walaupun banyak penangkapan di Sabah, ini  menunjukkan bahawa kami meningkatkan kawalan keselamatan dalam usaha menghentikan aktiviti keganasan di negara ini,” kata Ayob Khan kepada BeritaBenar.

Ayob Khan juga tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai kesemua  suspek pengganas asing yang ditahan dengan berkata siasatan terhadap mereka masih berjalan.

"Saya mempunyai maklumat yang terhad sekarang kerana ia masih dalam peringkat awal siasatan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.