Tujuh Warga Filipina Ditahan Dalam Serbuan Anti-Keganasan Malaysia

N. Natha
2018.02.21
Kuala Lumpur
180221-MY-terrorists-620.jpg Anggota tentera dan polis Malaysia membantu pelancong di Stesen Kuala Lumpur Sentral [KL Sentral] selepas pihak berkuasa meletakkan ibu negara dalam keadaan berjaga-jaga berkemungkinan diserang pengganas, 7 Julai 2016.
[AP]

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu berkata mereka telah menahan sembilan lelaki dan seorang wanita, termasuk tujuh rakyat Filipina, atas tuduhan menguruskan perjalanan yang dipercayai untuk pengganas di selatan Filipina.

Penangkapan, yang dibuat dalam beberapa siri serbuan di Sabah dari 25 Januari hingga 6 Februari lalu memberi penunjuk bahawa kumpulan ekstremis Filipina, Abu Sayyaf (ASG) cuba menubuhkan sebuah kumpulan pengganas di kepulauan Borneo itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu.

"Siasatan awal mendapati dari sepuluh suspek yang ditahan di Sabah, menunjukkan terdapat percubaan oleh ASG untuk menubuhkan sel di Sabah," kata Fuzi Harun.

Dua rakyat tempatan [Malaysia] dan tiga warga Filipina telah ditahan semasa serbuan pertama anti-keganasan iaitu pada 25 dan 26 Jan lepas di bandar Sandakan, Sabah, kata Ketua Polis Negara itu.

"Seorang suspek, iaitu warga Filipina berusia 39 tahun, pernah berbai’ah untuk menyatakan kesetiaannya kepada pemimpin kanan sebuah kumpulan pengganas di selatan Filipina pada tahun 2000," katanya.

Fuzi enggan untuk mengenal pasti warga Filipina berkenaan sebaliknya berkata suspek dikatakan pernah berkomunikasi dengan pemimpin kanan kumpulan pro-Negara Islam (IS) di selatan Filipina.

Suspek, katanya pernah menerima arahan untuk membantu menguruskan kemasukan beberapa ahli IS ke wilayah Zamboanga, yang terletak di selatan Filipina di mana mereka dipercayai menyertai kumpulan militan.

Fuzi, bagaimanapun, tidak memaklumkan kerakyatan ahli IS berkenaan dan tidak jelas jika mereka berjaya tiba ke destinasi yang dituju.

Beliau berkata penyiasat percaya bahawa empat suspek lain juga turut menguruskan perjalanan mereka.

"Ini untuk mengatur perjalanan yang selamat bagi pengganas IS dari rantau Asia Tenggara yang menjalani latihan bertempur di selatan Filipina," katanya. "Sel pengganas yang sama akan digunakan untuk melancarkan serangan di Sabah di masa depan."

Fuzi tidak memberikan butiran lebih lanjut mengenai suspek, tetapi berkata mereka berusia antara 33 dan 50 tahun dan dua daripada mereka bekerja sebagai buruh manakala seorang lagi adalah pemandu bot penumpang. Seorang menganggur dan selebihnya bekerja secara haram  dalam dagangan mata wang asing, katanya.

Pada 4 Februari, pihak berkuasa turut menahan tiga rakyat Filipina dan seorang wanita Malaysia di daerah Penampang Sabah.

Kebanyakan suspek terdiri daripada tukang kebun dan buruh, manakala salah seorang daripada mereka, seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai menjadi pembantu kanan seorang pemimpin Abu Sayyaf yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina, tambah Fuzi.

Dalam satu serbuan susulan baru-baru ini, juga di Sandakan, beliau berkata, pihak berkuasa turut menahan seorang pemandu teksi berusia 49 tahun, seorang warga Filipina yang memiliki  status penduduk tetap Malaysia.

Ketua Polis Negara itu berkata, kesemua sepuluh suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Di bawah akta ini, pihak berkuasa Malaysia boleh menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perbicaraan. Undang-undang ini menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri kontroversial yang membenarkan penahanan sehingga dua tahun tanpa memerlukan pihak berkuasa membawa tertuduh ke mahkamah.

Penanahanan itu membawa kepada 382 bilangan mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki mempunyai kaitan dan hubungan dengan kumpulan pengganas dalam tempoh empat tahun yang lalu, menurut pengiraan yang dibuat oleh BeritaBenar.

Laluan transit militan asing

Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Cawangan Khas Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia di satu persidangan antarabangsa bulan lalu berkata Sabah telah lama menjadi laluan transit bagi militan asing termasuk negara jiran Indonesia.

"Jika mereka tidak transit di Sabah, mereka boleh pergi ke selatan Filipina secara langsung dari negara asal mereka, tetapi perjalanan itu akan menjadi panjang merentasi Laut Sulawesi, " katanya sambil menambah "Jadi, lebih mudah untuk transit di Sabah."

Sandakan, sebuah bandar tepi pantai menyediakan perkhidmatan feri ke selatan Filipina, di mana militan ASG beroperasi di kampung-kampung terpencil.

ASG terkenal dengan kegiatan penculikan, pengeboman dan serangan rambang di selatan Filipina.

Tentera Filipina membunuh Isnilon Hapilon, pemimpin puak ASG dan dianggap sebagai Ketua Wilayah IS bagi Asia Tenggara pada Oktober lepas, pada saat akhir pertempuran lima bulan di bandar Marawi, yang terletak di selatan negara itu, di mana lebih daripada 1,200 orang, sebahagian besarnya adalah militan, terbunuh.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.