Petani Dipenjara Lima Tahun Beri Bai’ah Kepada IS Melalui Telegram
2017.02.07
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Selasa menghukum seorang petani lima tahun penjara atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dengan melakukan bai’ah menggunakan aplikasi Telegram melalui telefon bimbitnya tahun lepas.
Bai’ah merupakan sumpah setia kepada sesuatu kumpula, dan tertuduh, Zairosfitri Jainuddin Azhar, 24, mengangkat sumpah pada 12.33 tengah malam, 29 Mac 2016, termasuk membuat lebih 40 komen lain, mengikut fakta kes.
Tertuduh diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjalani hukuman itu bermula dari tarikh beliau ditangkap iaitu 15 Julai 2016 selepas mengaku bersalah pada Selasa.
Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman dalam penghakimannya berkata, kesalahan Zairosfitri merupakan kesalahan serius yang melibatkan keselamatan awam di Malaysia dan juga antarabangsa.
"Memandangkan awak masih muda dan ada harapan untuk berbakti kepada negara, mahkamah akan memberikan hukuman yang jadi pengajaran kepada awak dan masyarakat bagi membantu masyarakat untuk menghapuskan kumpulan ini," Hakim Ab Karim dilaporkan sebagai berkata dalam laporan agensi berita Bernama.
Menurut kertas pertuduhan, Zairosfitri dituduh mengangkat sumpah setia bagi kumpulan itu melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam ketika berada di sebuah kawasan perumahan awam di Batang Padang, Perak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan diantara 25 Mac 2016 hingga 17 Jun 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan di mana beliau boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan hartanya, yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, boleh dirampas.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya kerana tertuduh merupakan ancaman keselamatan kepada negara.
Peguam Zairosfitri, Ahmad Zaharil Muhayar merayu hukuman ringan kerana anak guamnya telah terpedaya dengan dakyah kumpulan pengganas itu di internet dan penglibatannya dalam kumpulan itu tidak serius.
Ahmad Zaharil menambah anak guamnya telah insaf dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 271 orang yang terlibat dalam IS sejak 2013, dengan 66 orang telahpun dibebaskan, menurut perangkaan kerajaan yang dikemaskini.
Sejak 2013 sekurang-kurangnya 122 telah didakwa di mahkamah Malaysia dengan 63 telah dihukum, menurut perangkaan itu.
Gagak Hitam
Pada lewat September dan awal Oktober tahun lepas, 14 daripada 16 daripada mereka terdiri daripada anggota kumpulan yang dikenali sebagai Gagak Hitam telah ditahan oleh polis Malaysia.
Kumpulan Gagak Hitam diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang pejuang IS yang berpangkalan di Syria.
Sumber yang rapat dengan siasatan tersebut mendakwa seorang guru kaunseling di Kedah mengetuai rangkaian Gagak Hitam di Malaysia itu, turut menghantar wang kepada Wanndy di Syria, sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali.
Wanndy yang juga dikenali sebagai Abu Hamzah al-Fateh dipercayai mengarahkan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir Kuala Lumpur, yang mencederakan lapan orang pada 28 Jun lepas, dan merupakan serangan pertama yang diakui oleh IS di Malaysia
Mengikut fakta kes, Zairosfitri mula menyertai kumpulan perbualan Gagak Hitam melalui aplikasi Telegram dengan identiti 'Zairos N Jack' pada 25 Mac tahun lepas.
Kumpulan Telegram Gagak Hitam, menurut fakta kes, mempunyai 66 ahli yang menyokong perjuangan IS.
Dalam penyiasatan polis Malaysia, Zairosfitri disahkan menggunakan talian telefon yang didaftarkan atas namanya dengan identiti tersebut. Hasil siasatan juga mendapati tertuduh sering memberikan komen di dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam.di antara 25 Mac hingga 16 Jun tahun lepas.