Peniaga Dalam Talian Dipenjara Lapan Tahun Sokong IS
2017.08.01
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun keatas seorang peniaga dalam talian atas dua tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Negara Islam (IS) melalui aplikasi Telegram pada tahun lalu.
Tengku Shukri Che Engku Hashim, 31 dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan pertama dengan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan turut diperintahkan menjalani hukuman tiga tahun lagi penjara atas tuduhan kedua iaitu memberi sokongan dalam melanjutkan perjuangan ideologi IS.
Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman bagaimanapun memerintahkan hukuman Tengku Shukri, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu, dijalankan serentak dari tarikh peniaga itu ditahan kepada 21 September 2016.
Ab Karim berkata tempoh hukuman tersebut perlu menggambarkan ketegasan mahkamah supaya kesalahan itu memberi pengajaran kepada masyarakat walaupun terdapat penyesalan daripada pihak tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Tengku Shukri didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi Telegram kumpulan 'Gagak Hitam' dan didakwa melakukannya di Taman Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa, Kelantan, pada kira-kira 5.08 petang, 30 Mac 2016.
Kumpulan Telegram "Gagak Hitam" telah diketuai oleh militan IS rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, yang juga perekrut prolifik IS yang paling dikehendaki. Wanndy terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Raqqa, pada 29 April lepas.
Penyiasat mendakwa akaun kumpulan Telegram Gagak Hitam yang digunakan oleh sel militan tempatan disertai sekurang-kurangnya 66 anggota, menurut siasatan.
Muhammad Wanndy merupakan perancang serangan bom yang mencederakan lapan orang pelanggan di sebuah kelab malam di Puchong, Kuala Lumpur, tahun lepas.
Sokong perbuatan guna bahan letupan
Bagi pertuduhan kedua, Tengku Shukri didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi yang boleh mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram Kumpulan 'amanah (phb) vs pas'.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat yang sama antara pukul 3.18 pagi dan 11.27 malam, 28 Jun 2016.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(b) kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh, melalui peguamnya Mohd Hazrin Alif Wahab, merayu agar hukuman terhadapnya diringankan kerana dia sudah insaf seta perlu menjaga ibunya yang menghidapi penyakit strok.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias pula meminta hukuman yang setimpal kerana perbuatan Tengku Shukri merupakan perbuatan yang serius.
Pendakwaraya ketika membentangkan fakta kes memberitahu, Tengku Shukri yang menggunakan nama ‘Abu Sulaiman’ telah menyokong perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.
Beliau memberitahu, dalam perbualan kumpulan `Gagak Hitam`, tertuduh telah memberi komen agar melakukan serangan keatas sebuah tempat bernama Zouk, tempat Freemason, menyerang tokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta meletakkan gambar Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar di dalam bom tersebut.
“Tertuduh melakukan kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan melafazkan taat setia,” kata beliau.
Mohd. Izhanudin menambah, tertuduh juga melakukan kesalahan memberi sokongan kepada perbuatan yang melibatkan penggunaan bahan letupan.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, seramai 66 anggota telah dibebaskan, demikian menurut data yang diperolehi BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 32 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 55 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, menurut data berkenaan.