Ahli Parlimen ASEAN Bimbang Dengan Tindakan Gempur Imigresen Malaysia

Hata Wahari
2017.07.12
Kuala Lumpur
170712-MY-iIMMIGRANTS-620.jpg Anggota-anggota Jabatan Imigresen Malaysia menahan pekerja-pekerja asing semasa serbuan di tapak pembinaan di Port Dickson, 11 Julai 2017.
AFP

Penggubal undang-undang Asia Tenggara pada Rabu menggesa Malaysia supaya melayani pekerja tanpa dokumen dengan adil dan menghormati hak asasi mereka ketika Kuala Lumpur melaksanakan tindakan gempur imigresen hingga menahan lebih daripada 3,300 rakyat asing bulan ini, kata beberapa pemimpin kerajaan.

Sehingga 10 malam Rabu (waktu tempatan), anggota-anggota imigresen telah menahan 3,323 pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah dalam tempoh 12 hari tindakan menggempur dilakukan bermula pada 1 Julai, kata Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebanyakan tahanan itu adalah dari negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan. Mereka terdiri daripada 1,230 orang rakyat Bangladesh, 825 rakyat Indonesia, 273 warganegara Myanmar, 119 rakyat Vietnam, 123 warganegara Thailand dan 95 rakyat Filipina, dan selebihnya adalah dari negara-negara lain, kata pegawai jabatan itu.

Malaysia melancarkan tindakan gempur itu sehari selepas tamatnya tempoh di mana para pekerja asing perlu mendaftar dengan pihak berkuasa imigresen di bawah satu program khas.

Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) telah mengeluarkan kenyataan yang menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan gempur yang dilaksanakan di Malaysia.

"Keinginan untuk mengurangkan bilangan pekerja tanpa dokumen di negara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menekan mereka yang lemah," kata Mu Sochua, ahli lembaga APHR dan ahli Dewan Nasional Kemboja.

APHR menggambarkan dirinya sebagai sekumpulan penggubal undang-undang serantau yang terdiri daripada bekas, pesara dan ahli parlimen semasa dari kesemua 10 negara anggota ASEAN.

"Walaupun Malaysia perlu menangani keadaan di mana terdapat begitu ramai pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sewajarnya, ia mesti memastikan bahawa hak asasi manusia dihormati pada setiap masa," kata Mu Sochua.

Dengan beribu-ribu tahanan baru dihantar ke pusat-pusat tahanan imigresen yang penuh sesak di Malaysia, tindakan tegas itu membawa risiko yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah pun teruk di pusat-pusat itu, kata APHR.

"Kerajaan Malaysia mesti memberikan jawapan tentang bagaimana mereka mahu menangani kebanjiran ribuan tahanan secara tiba-tiba ini dan bagaimana mereka akan memastikan keadaan tidak bertambah buruk," kata Mu Sochua.

Menurut ahli-ahli parlimen serantau, kerajaan negara itu telah mendaftar hanya 161,000 pendatang asing tanpa izin melalui Program E-Kad Sementara Pekerja Asing. Ia adalah inisiatif untuk memberi peluang kepada semua majikan, yang menggaji pekerja asing tanpa izin, untuk mendaftarkan pekerja mereka dalam usaha menangani kekurangan buruh di sektor ekonomi tertentu.

Tarikh akhir untuk mendaftar semua pekerja tanpa dokumen di bawah program itu adalah pada 30 Jun, yang menyusul dengan tindakan gempur itu.

Selain daripada lebih 3,300 warga asing yang ditahan, seramai 63 majikan yang didakwa terlibat dalam pengambilan pekerja tanpa dokumen juga telah ditangkap, kata Mustafar Ali, ketua pengarah Jabatan Imigresen, pada malam Rabu.

"Majikan harus dikenakan penalti maksimum jika didapati bersalah mempunyai pekerjas asing tanpa izin," kata Mustafar sambil menambah kata bahawa mereka yang melanggar undang-undang itu "boleh dihukum denda,  penjara dan sebatan."

Beliau tidak mengulas lanjut.

Lebih 30,000 pekerja tanpa dokumen telah dihantar pulangh ke negara asal mereka sejak awal tahun ini, kata Mustafar.

Mustafar menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan berlakunya kesesakan di 13 pusat tahanan Jabatan Imigresen, dengan menyatakan bahawa kebanyakan tahanan telah dihantar pulang sebelum kerajaan menetapkan tarikh akhir 30 Jun untuk majikan mendaftarkan pekerja mereka di bawah program E-Card. Beliau berkata tarikh akhir tidak akan dilanjutkan.

2 juta pekerja tanpa dokumen

Terdapat dua juta pekerja asing yang didaftarkan secara sah dan sekurang-kurangnya dua juta lagi yang tidak mempunyai dokumen di Malaysia, yang mempunyai penduduk kira-kira 32 juta orang, kata pertubuhan bukan kerajaan.

Kebanyakan pendatang asing tanpa izin itu bekerja dalam kawasan pembinaan, ladang kelapa sawit, kilang dan perkhidmatan pembersihan dengan melakukan kerja-kerja buruh yang enggan dlakukan penduduk tempatan dan menyifatkannya sebagai pekerjaan "3D" - berbahaya, sukar dan kotor.

Malaysia, sebuah persekutuan dengan 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan, menyaksikan peningkatan bilangan pekerja berpendapatan rendah terutamanya dari Vietnam, Indonesia, Nepal, Myanmar dan Bangladesh selepas ekonominya mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada April lalu, APHR juga menyuarakan kebimbangannya selepas laporan akhbar tempatan mendakwa lebih daripada 100 orang yang kebanyakannya dari Myanmar, telah meninggal dunia di pusat-pusat tahanan imigresen Malaysia dalam tempoh dua tahun lalu.

Walaupun kerajaan Malaysia berjanji akan melakukan penyiasatan terhadap dakwaan itu, tidak banyak yang dilakukan untuk menangani keadaan yang amat teruk di pusat-pusat tahanan berkenaan, kata APHR.

Kementerian Dalam Negeri Malaysia berkata, ia sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan itu tetapi berdepan dengan kekangan kewangan, lapor South China Morning Post.

"Adalah penting bagi kedutaan-kedutaan negara asing yang menghantar sejumlah besar pekerjanya ke Malaysia untuk mendapatkan akses penuh kepada rakyat mereka yang ditahan, serta angka tepat mengenai jumlah rakyat mereka yang sedang ditahan," kata Mu Sochua.

"Kedutaan-kedutaan asing mempunyai tanggungjawab untuk mewakili rakyat mereka dan menuntut jawapan dari kerajaan Malaysia. Pada masa yang sama, pihak berkuasa Malaysia perlulah telus."

Orang, bukan 'komoditi'

APHR mengulangi kenyataannya tentang perlunya penyelesaian serantau dalam menangani penganiayaan pekerja asing di seluruh Asia Tenggara.

Dengan penganiayaan khususnya teruk di Malaysia, pekerja asing nampaknya dilayan dengan buruk di rantau ini, menurut Ahli Lembaga APHR Eva Kusuma Sundari, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

"Kurangnya tindakan yang diselaraskan di kalangan kerajaan-kerajaan Asia Tenggara bagi melindungi hak asasi manusia dalam konteks penghijrahan telah menyumbang kepada permasalahan ini dan memberikan peluang  kepada majikan, ejen pegambilan pekerja dan pihak berkuasa untuk menganiaya pekerja asing," kata Sundari.

"Kerajaan-kerajaan mestilah tahu bahawa pekerja-pekerja asing, sama ada yang didokumenkan atau tidak mempunyai dokumen, bukanlah komoditi tetapi orang yang telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan negaranya," kata beliau.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.