Hakim Gitmo terima pengakuan salah dua rakyat Malaysia dalam insiden pengeboman Bali 2002
2024.01.18
Fort Meade, Maryland, Amerika Syarikat

Seorang hakim di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo telah mencadangkan agar dua rakyat Malaysia yang mengaku bersalah dalam insiden pengeboman Bali 2002 menjalani hukuman penjara antara 20 hingga 25 tahun dan dihantar pulang ke negara asal atau dibebaskan ke negara ketiga.
Nasib Mohammed Nazir bin Lep, 47, dan Mohammed Farik bin Amin, 48, yang telah meringkuk dalam tahanan di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Cuba selama 17 tahun, akan ditentukan pada prosiding bagi menjatuhkan hukuman yang dijadualkan bermula minggu depan.
Prosiding jatuh hukum ke atas mereka itu menjadikan ini adalah perbicaraan kedua di mahkamah tentera yang selesai di penjara kontroversial yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo susulan serangan pengganas pada 11 Sept 2001.
Hakim Wesley Braun, seorang pegawai Tentera Udara AS yang mendengar kes itu, memaklumkan pada Rabu bahawa persetujuan pengakuan mereka termasuk membenarkan keterangan langsung atau pernyataan bertulis daripada mangsa atau ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan maut paling teruk pernah melanda Indonesia, yang telah meragut 202 nyawa.
“Jika seorang saksi atau mangsa tampil dan ingin memberi keterangan secara bersumpah mengenai perasaan mereka tentang apa yang berlaku serta kehilangan ahli keluarga mereka, saya tidak rasa saya boleh menolak,” kata Christine Funk, peguam yang mengetuai pasukan perundangan yang mewakili Mohammed Farik.
Lapan puluh lapan daripada mangsa adalah warga Australia. Serangan Bali pada Oktober 2002, telah dipersalahkan ke atas Jemaah Islamiyah, cabang al-Qaeda di Asia Tenggara.
Persetujuan pengakuan itu meminta agar kedua-dua rakyat Malaysia dibenar mengemukakan tiga saksi langsung iaitu seorang pakar perunding, seorang ahli keluarga dan seorang saksi awam.
Ia turut menyatakan bahawa Mohammed Farik dan Mohammed Nazir boleh memberikan keterangan secara tidak bersumpah semasa prosiding jatuh hukum yang tidak boleh disoal balas namun boleh disangkal oleh pegawai pendakwa tentera.
Menurut satu laporan berita, yang belum disahkan oleh BenarNews, pengakuan kedua-dua rakyat Malaysia itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dipersetujui untuk memberi keterangan terhadap Encep Nurjaman, seorang rakyat Indonesia dan rakan banduan mereka di Guantanamo, juga dikenali sebagai Hambali, yang disyaki menjadi dalang utama dalam insiden pengeboman Bali.
Pada Khamis, seorang timbalan pendakwa raya memaklumkan Braun bahawa saksi pembelaan gagal memperoleh visa untuk melakukan perjalanan dari Malaysia. Mereka berkata usaha berterusan sedang dilakukan bagi mendapatkan dokumentasi yang lengkap dan teratur atau mengambil langkah merakam pernyataan mereka.
Funk melahirkan kekecewaan dan berkata pasukan pembelaan telah bertungkus-lumus selama berbulan-bulan untuk mendapatkan pelepasan bagi saksi terbabit.
“Bukan mudah untuk seseorang itu menaiki kapal terbang dan berlepas ke Guantanamo,” kata peguam itu. “Kami terus berharap dan berasa kecewa.”
Orang ramai berdoa untuk mangsa pengeboman Bali semasa ulang tahun ke-20 memperingati serangan berganda yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing termasuk 88 rakyat Australia dan tujuh rakyat Amerika di Monumen Peringatan Pengeboman Bali di Kuta, Bali, Indonesia, 12 Okt 2022. [Firdia Lisnawati/AP]
Pada Selasa, kedua-dua rakyat Malaysia yang telah ditahan di Teluk Guantanamo sejak 2006, telah mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dalam insiden pengeboman Bali serta empat pertuduhan lain iaitu menyebabkan kecederaan badan yang serius dengan sengaja dan memusnahkan harta benda di Bali, konspirasi serta menjadi rakan subahat.
Pertuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara sepanjang hayat namun Braun berkata beliau akan meminta anggota lembaga tentera pada prosiding jatuh hukum itu agar mengenakan hukuman lebih ringan berdasarkan syarat-syarat persetujuan pengakuan mereka.
“Persetujuan itu menyatakan bahawa jika anda bersetuju, anda dan kerajaan anda akan bersama-sama memohon agar saya mengarahkan anggota terbabit sebelum hujahan bahawa hukuman pemenjaraan hendaklah sekurang-kurangnya 20 tahun dan tidak melebihi 25 tahun,” kata hakim itu kepada mereka semasa prosiding pada Rabu.
Beliau turut menyoal sama ada mereka sedar bahawa mereka mungkin “berdepan penghantaran pulang atau dipindahkan ke negara ketiga yang berdaulat selepas membuat pengakuan di bawah persetujuan ini.
Jika dipindahkan ke negara ketiga, anda akan bekerjasama dengan apa-apa keadaaan dan prosedur di negara terbabit.”
“Adakah anda faham bahawa pihak yang bersidang tidak mempunyai kuasa untuk menentukan lokasi atau keadaan penahanan atau pengurungan anda, atau membebaskan anda dari tahanan awam atau tentera selepas mengambil bahagian dalam prosiding ini?”
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa membabitkan insiden pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 serta percubaan membunuh, melakukan keganasan dan dua pertuduhan membabitkan serangan terhadap orang awam.
Pendakwaan pada Khamis berkata kesemua pertuduhan itu akan digugurkan selepas prosiding jatuh hukuman disempurnakan.
Sebuah pesawat C-141 AS menghampiri Pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba yang membawa kumpulan kedua banduan yang terdiri daripada Taliban dan al-Qaeda dari Afghanistan, 14 Jan 2002. [Rafael Perez/Gambar fail Reuters]
Sebelum ini, hanya seorang daripada hampir 800 banduan yang ditahan di Teluk Guantanamo sejak 2002 telah didapati bersalah pada perbicaraan di mahkamah tentera, menurut akhbar The New York Times.
Pada Julai 2023, sebuah mahkamah rayuan telah menolak permohonan seorang lelaki Yaman untuk juri baharu mahkamah tentera mempertimbang hukuman penjara sepanjang hayat terhadapnya susulan sabitan terhadap beliau pada 2008.
Ketika ini, kira-kira 30 tahanan masih berada di penjara itu.
Tapak hitam CIA
Ditahan di Thailand pada 2003, Mohammed Nazir, Mohammed Farik dan Hambali, telah dihantar ke lokasi yang dikenali sebagai Tapak hitam CIA di mana mereka diseksa, menurut laporan Senat AS pada 2014. Mereka telah ditahan di pangkalan tentera di Teluk Guantanamo, Cuba susulan pemindahan mereka pada 2006.
Dalam kes ketiga-tiga rakyat negara Asia Tenggara itu, roda keadilan telah bergerak dengan begitu perlahan. Hanya pada Ogos 2021 – 15 tahun selepas mereka dihantar ke Guantanamo – mereka akhirnya berjaya menjejakkan kaki di mahkamah.
Tahun lepas, kes terhadap kedua-dua rakyat Malaysia telah dipisahkan daripada kes terhadap Hambali. James Hodes, peguam yang mewakili rakyat Indonesia itu berkata beliau tidak menjangkakan bahawa anak guamnya ditawarkan persetujuan pengakuan.
Dalam gambar yang telah disemak oleh pegawai tentera AS ini, seorang tahanan yang identitinya tidak dapat didedahkan dipindahkan oleh anggota tentera laut ke dalam sebuah bangunan dalam pekarangan penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba, 5 April 2006. [Brennan Linsley/AP, Pool]
Sebelum menerima pengakuan salah mereka, Braun pada Rabu menyoal kedua-duanya sama ada mereka tahu peranan Hambali dalam serangan itu.
Braun berjaya mendapatkan pengakuan Mohammed Farik bahawa dia tahu mengenai Hambali menerusi pembacaan di Internet dan artikel majalah Time.
Pada 1 April 2002, wajah Hambali menghiasi muka depan majalah Time edisi Asia iaitu enam bulan sebelum serangan Bali. Pada muka depan majalah itu tertera tajuk “The Life and Times of Asia’s Terror Kingpin.”
Satu artikel bertajuk “Asia’s Terror Threat” terpampang pada muka depan edisi 13 Okt 2003 disusuli dengan penahanan beliau pada 11 Ogos 2003 di Thailand.
Mengikut kertas pertuduhan terhadap ketiga-tiga individu, pada akhir tahun 2001, “termasuk tempoh sebelumnya, semasa dan selepas 12 Okt 2002 insiden pengeboman Bali,” Mohammed Nazir dan Mohammed Farik telah membantu Nurjaman “memindahkan wang untuk operasi dan mendapatkan serta menyimpan barangan seperti dokumen pengenalan palsu, senjata dan arahan bagaimana untuk membuat bom.”
Dokumen pertuduhan itu menyatakan bahawa seorang pengebom bunuh diri telah berjalan masuk ke Paddy's Bar di Bali pada 12 Okt 2002 sebelum meletupkan jaket dipasang bom yang dipakainya manakala pengebom bunuh diri kedua memandu sebuah van yang sarat dengan bahan letupan ke lokasi berhampiran Kelab Sari sebelum meledakkanya.
Bom ketiga pula diledakkan dari jarak jauh berhampiran Konsulat AS. Tujuh rakyat AS terbunuh dalam serangan itu.