Banduan Malaysia di Guantanamo mengaku bersalah membunuh dalam pengeboman Bali 2002
2024.01.16
Fort Meade, Maryland, Amerika Syarikat

Dua suspek pengganas Malaysia mengaku bersalah melakukan pembunuhan dalam pengeboman Bali 2002 - serangan pengganas paling buruk di Indonesia - di mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) pada Selasa di Teluk Guantanamo, Cuba, di mana mereka telah dipenjarakan kira-kira 17 tahun.
Mohammed Nazir bin Lep dan Mohammed Farik bin Amin bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan berkaitan pengeboman maut di Hotel Marriott Jakarta pada 2003. Ini merupakan pengakuan kali pertama mereka bagi pertuduhan itu sejak kedua-dua lelaki tersebut dibawa dan ditahan di pangkalan tentera laut AS pada 2006.
Secara keseluruhannya, kedua-duanya mengaku bersalah bagi lima daripada sembilan pertuduhan terhadap mereka dalam dokumen pendakwaan yang difailkan pada Januari 2021. Hakim Wesley A. Braun, seorang pegawai Tentera Udara AS yang mendengar kes itu, kemudian menyoal kedua-dua tertuduh bagi menentukan sama ada beliau harus menerima pengakuan bersalah mereka.
Selain membunuh, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mengaku bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan badan yang serius dengan sengaja dan memusnahkan harta benda dalam insiden pengeboman berganda di Bali pada Oktober 2002, konspirasi serta menjadi rakan subahat.
“Anda berniat untuk membunuh seorang atau lebih ramai lagi,” soal hakim kepada kedua-dua rakyat Malaysia itu, yang kemudian menjawab “ya” ketika Braun membacakan kriteria berkaitan satu pertuduhan pada prosiding itu di kamar mahkamah.
Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan cubaan membunuh, keganasan dan dua pertuduhan berkaitan menyerang orang awam.
"Adakah terdapat sebarang bukti yang mendapati Mohammed Nazir dan Mohammed Farik bertindak dalam kedudukan memberi arahan?" hakim bertanya kepada pendakwa raya selepas rehat makan tengah hari, yang memberi masa kepada kedua-dua tertuduh Muslim itu untuk menunaikan solat.
Sebagai jawapan kepada soalan hakim berkaitan pertuduhan konspirasi, pendakwa raya menjawab "tidak."
Seorang banduan membaca akhbar di ruang Kem VI iaitu penjara yang digunakan untuk menempatkan tahanan di Pangkalan Tentera Laut AS Teluk Guantanamo, 5 Mac 2013. [Bob Strong/Gambar fail Reuters]
Perbicaraan di Guantanamo disiarkan melalui pautan video bagi para wartawan yang membuat liputan dari Fort Meade, pangkalan Tentera AS di Maryland di luar Washington D.C.
Semasa prosiding mahkamah itu pada Selasa, Mohammed Nazir memakai baju kelabu dan bersongkok hitam, yang lazimnya dipakai lelaki Muslim di Malaysia. Mohammed Farik pula memakai baju berwarna krim namun tidak bersongkok.
Memperincikan insiden pengeboman Bali pada 2002, kertas pertuduhan terhadap mereka menyatakan bahawa seorang pengebom bunuh diri telah berjalan masuk ke dalam Paddy’s Bar sebelum meletupkan jaket dipasang bom yang dipakainya manakala pengebom bunuh diri kedua memandu sebuah van yang sarat dengan bahan letupan ke lokasi berhampiran Kelab Sari sebelum meledakkannya.
Bom ketiga pula diledakkan dari jarak jauh berhampiran Konsulat AS.
Seramai 202 orang, kebanyakannya warganegara Australia, terbunuh dalam serangan itu yang menyaksikan Jemaah Islamiyah, iaitu sekutu rangkaian militan al-Qaeda di Asia Tenggara, dipersalahkan. Al-Qaeda merupakan dalang insiden serangan 11 Sept, 2001 di New York dan Washington.
Serangan Bali turut meragut tujuh nyawa rakyat Amerika Syarikat. Sebelas orang maut dalam pengeboman di Hotel J.W. Marriott di Jakarta pada 5 Ogos 2003.
Susulan penahanan mereka pada 2003, kedua-dua tertuduh itu dan seorang rakyat Indonesia iaitu Encep Nurjaman dihantar ke lokasi yang dikenali sebagai tapak hitam CIA di mana mereka telah diseksa, menurut laporan Senat AS pada 2014. Tiga tahun kemudian, mereka dipindahkan ke Kem Keadilan di Teluk Guantanamo, Cuba di mana mereka terus ditahan sehingga kini.
Bermula pada penghujung 2001 "termasuk tempoh sebelum, semasa dan selepas 12 Oktober 2002, pengeboman Bali", Mohammed Nazir dan Mohammed Farik membantu Nurjaman "memindahkan wang untuk operasi dan mendapatkan serta menyimpan barangan seperti dokumen pengenalan palsu, senjata dan arahan tentang cara membuat bom”, demikian menurut dokumen pertuduhan.
Dokumen pertuduhan merujuk tertuduh sebagai "musuh asing yang tidak mempunyai hak untuk berperang."
Mahkamah tentera di Guantanamo kemudian memisahkan Nurjaman (yang juga dikenali sebagai Hambali) daripada kedua-dua tertuduh warganegara Malaysia itu sebelum tempoh mereka membuat pengakuan bersalah itu.
Hambali sedang menunggu perbicaraan bagi pertuduhan yang sama.
Prosiding bagi menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua rakyat Malaysia itu dijangka bermula pada minggu depan.
Prosiding mahkamah pada Selasa berakhir hampir 5 petang (waktu Timur AS) tanpa sebarang keputusan diumumkan oleh Hakim Braun. Perbicaraan akan disambung pada pagi Rabu.
Penduduk dan pelancong asing meninggalkan lokasi letupan bom di Kuta, Bali, Indonesia, pada 13 Okt. 2002. Bom kereta yang meledak di luar Kelab Sari dan pengeboman berani mati di Paddy's Bar berhampiran Kuta pada 12 Okt. 2002 telah menyebabkan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing, terkorban. [Foto fail Radar Bali/AP]
Semasa perbicaraan mereka di Guantanamo pada Ogos 2021, peguam bagi tiga warganegara Asia Tenggara itu menghabiskan banyak masa untuk melakukan bantahan terhadap Hakim Tentera Hayes Larsen mengenai kualiti terjemahan yang lemah oleh jurubahasa yang ditugaskan oleh tentera AS ke mahkamah itu. Larsen tidak lagi mendengar kes itu.
Ketiga-tiga rakyat Asia Tenggara itu tidak membuat sebarang pengakuan susulan perbicaraan tersebut.
Pada tahun-tahun selepas serangan 9/11, dua rakyat Malaysia dan Hambali adalah antara ratusan suspek militan Islam dan anggota al-Qaeda yang telah ditahan oleh AS dan dibawa ke pangkalan tentera laut di Cuba. Ramai daripada mereka telah ditutup mata dan digari ketika diterbangkan ke situ dari luar negara, menurut laporan berita pada ketika itu.
Tiga puluh banduan masih dipenjarakan di Guantanamo selepas kerajaan AS menutup sebahagian daripada penjara itu.
Bulan depan, Khaled Sheikh Mohammad iaitu anggota operasi al-Qaeda yang dituduh sebagai perancang serangan 9/11 dan beberapa tertuduh lain bakal menjadi tumpuan pada prosiding praperbicaraan di Guantanamo, demikian diumumkan pegawai tentera AS baru-baru ini.