Presiden PAS: Aktivis Anti-Darurat Lebih Teruk Dari Pelampau Agama
2021.04.26
Kuala Lumpur

Pemimpin sebuah parti Islam konservatif yang menjadi sebahagian gabungan parti pemerintah di Malaysia pada Isnin menyifatkan para aktivis yang menentang pelaksanaan darurat sebagai lebih teruk berbanding ekstremis agama kerana inginkan keuntungan politik ketika pandemik.
Kenyataan dibuat Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang melalui akaun Facebooknya itu telah menerima kritikan ramai di media sosial, dan seorang penganalisa memberitahu BenarNews bahawa ahli politik itu sepatutnya berhati-hati dengan apa yang dikatakan beliau kerana ia membawa implikasi yang besar.
"Banyak diuar-uarkan berita tentang adanya golongan pelampau agama. Akan tetapi, ramai yang terlepas pandang pada hari ini muncul pula golongan pelampau politik, sehingga melupakan nyawa manusia demi mencapai agenda politik mereka.
"Kerakusan mereka lebih teruk daripada golongan pelampau agama yang meletupkan bom dan membunuh dengan jumlah yang jauh lebih kecil dibandingkan dengan mangsa wabak COVID-19 yang tersebar di seluruh pelusuk dunia terkini," kata Abdul Hadi, yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
Tambah beliau, penentang Proklamasi Darurat yang diumumkan pada Januari lepas dan berkuatkuasa sehingga Ogos depan hanya berbuat demikian bagi mendapatkan kuasa politik.
"Walaupun faktor ekonomi dan keselamatan juga yang dijadikan alasan, tetapi perkara tersebut hanyalah sekadar batu pelindung nafsu politik mereka yang sudah melampau.
"Namun, masih tidak boleh meninggalkan perangai politik gila yang melampau kerana telah kehilangan kuasa dalam khayalan berebut kuasa antara satu sama lain dalam kumpulannya,” kata beliau.
Komen yang dibuat Abdul Hadi menerima kritikan keras dari Mizan Aslam, seorang pakar keselamatan di Universiti Sains Keselamatan Naif Arab di Riyadh, Arab Saudi yang menyifatkan kenyataan itu sebagai extrism dan berbahaya.
"Sejak 2018, naratif radikal sering dimainkan oleh pimpinan politik dalam isu Adib, RUU355, Ratifikasi ICERD, Sekolah Vernakular, Tulisan Jawi dan kini Proklamasi Darurat.
"Akhirnya semua ini akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat dan melahirkan kerisauan yang berpanjangan," kata Mizan kepada BenarNews.
Beliau merujuk kepada beberapa isu yang melihat isu keagamaan dan perkauman dimainkan di Malaysia, termasuk kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam satu rusuhan pada 2018, protes terhadap rancangan kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), dan sistem sekolah jenis kebangsaan.
Menurut Mizan, pandangan dibuat Abdul Hadi sebagai seorang ahli politik dan tokoh Islam boleh membawa kepada naratif bahaya menjadi pegangan para pengikutnya.
"Pimpinan politik seharusnya lebih bijak menangani perkara ini kerana mereka adalah contoh teladan kepada masyarakat. Apa yang diucapkan mereka adalah merupakan 'fatwa' atau azimat yang diambil oleh para pengikut terutamanya golongan yang naif tentang perjuangan politik mahupun yang menggunakan agama atas kepentingan peribadi," kata Mizan.
Turut memberi pandangan serupa adalah penganalisa politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi, yang mengatakan bahawa kenyataan Hadi itu dibuat bermotifkan politik demi kelangsungan PAS di dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang berada dalam keadaan rapuh.
"Sudah pasti kenyataan Hadi Awang dianggap bersikap politik kerana mahu elak kerajaan Perikatan Nasional tumbang. Jika tumbang PAS yang mendapat manfaat langsung seperti jawatan di dalam kabinet serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan hilang kuasa dan kedudukan, serta kembali seperti dahulu.
"Inilah yang mahu dielakkan berlaku oleh PAS yang mahu pertahankan kuasa politik yang ada pada mereka," Awang Azman berkata kepada BenarNews.
Tunku Mohar Mokhtar, penganalisa politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata bahawa perbandingan yang dibuat Abdul Hadi itu sebagai sesuatu yang merepek (preposterous) dan tidak sepatutnya diutarakan seorang pemimpin parti yang mengatakan bahawa mereka parti Islam.
"Apabila UMNO memanggil supaya Parlimen bersidang semula, PAS berasakan bahawa ia bukan masa yang sesuai. Maka, PAS berbuat sesuatu yang mereka selalu lakukan iaitu menggunakan simbol agama bagi menjustifikasi penggantungan parlimen.
"Sekarang ini mereka berkata bahawa mereka yang mahukan Parlimen bersidang sebagai lebih teruk dari pengebom berani mati. Ini adalah satu perbandingan merapu oleh sebuah parti yang kononnya parti Islam.
"Ini adalah parti sama yang menjustifikasikan perubahan sebuah kerajaan dipilih rakyat kononnya untuk 'menyelamatkan' negara," kata Tunku Mohar.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin berkata tiada apa sebenarnya yang patut dianggap melampau untuk meminta Parlimen dibuka semula supaya proses semak dan imbang boleh dilakukan.
"MUDA meminta Parlimen dibuka semula supaya wakil-wakil kepada rakyat dapat berbahas sebagai contoh berkenaan penggunaan wang RM5billion dari akaun Kumpulan Wang Amanah Negara… Kalau nak ikutkan yang betul, yang melampau ialah ahli-ahli politik, yang mendapat keistimewaan vaksin lebih dilindungi dari kanak-kanak sekolah," kata Zaidel dalam satu kenyataan.
Kenyataan Abdul Hadi itu keluar selepas Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menemui sekumpulan pemimpin pembangkang, termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang telah menghantar petisyen ke Istana Negara sebanyak dua kali bagi merayu kepada Raja itu supaya menamatkan Darurat dan mengarahkan supaya parlimen kembali bersidang. Dewan Rakyat dan Dewan Negara kini sedang digantung ketika darurat berkuatkuasa.
Dalam satu kenyataan media pada 22 April lepas, pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong melalui Setiausaha Sulit baginda telah menyatakan kesudian menerima menghadap mereka pada satu tarikh yang akan ditentukan nanti.
"Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut.
"Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari," kata Khalid.
Pada 20 April, Khalid bersama Mahathir dan bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang merupakan presiden parti serpihan PAS -- Parti Amanah Negara -- telah memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur dan bertemu dengan wakil Sultan Abdullah untuk berbincang mengenai perkara berkaitan darurat.
Lagi jaminan
Sementara itu, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan, yang bertanggungjawab ke atas urusan Parlimen, dalam satu kenyataan pada Isnin memberi jaminan bahawa sidang Parlimen akan dipanggil "apabila tiba masanya yang sesuai", sambil memberi penekanan yang ia bagaimanapun akan bergantung kepada nasihat pakar.
"Namun demikian perkara ini akan bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh Kerajaan dari semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara," kata Takiyuddin.
Tambah beliau, walaupan Parlimen digantung, kerajaan masih berjalan seperti biasa, dan mengenepikan kritikan yang dibuat terhadapnya.
"Tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salahguna kuasa kerana sistem Kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kirakira Wang Awam (PAC)," kata beliau.
Susulan itu, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim sebagai respon kepada Takiyuddin mengkritik menteri berkenaan kerana cuba menjustifikasi penggantungan parlimen, dan menyatakan bahawa Takiyuddin tidak faham mengenai prinsip asas demokrasi.
"Sebuah sistem yang menginjak aspek Parlimen adalah sistem diktator, bukan demokrasi.
"Kedudukan dan maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat sama sekali, dan ini jelas menunjukkan bahawa aspek semak imbang yang dijamin Perlembagaan terus dinodai dengan rakus," kata Anwar.
Beliau turut mengenepikan kenyataan Takiyuddin bahawa kerajaan sedang memberikan fokus untuk melawan pandemik COVID-19, dan sebaliknya mendakwa bahawa kerajaan sebenarnya mahukan kes terus meningkat bagi memanjangkan lagi tempoh darurat.
"Saya yakin inilah matlamat sebenar pemerintah; memperpanjang tempoh darurat selama mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi," kata Anwar dalam satu kenyataan media.
Malaysia pada waktu kini melihat sebanyak 24,713 kes aktif COVID-19 di seluruh negara, dengan bilangan kes harian melebihi 2,000.