Polis Tahan ADUN DAP Dibawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia
2020.10.28
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu menahan seorang pemimpin pembangkang berhubung hantaran di laman media sosial Facebook yang berkongsi gambar bantahan pro-demokrasi di Thailand dengan petikan "Now in Bangkok. They are saying no to the king." yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Ronnie Liu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dibebaskan dengan jamin Polis selepas lebih enam jam berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk diambil keterangan.
"Ronnie Liu ditahan pada jam 10.40 pagi ketika tampil untuk siasatan berhubung satu kenyataannya yang didakwa menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
“Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagaimanapun, selepas keterangannya dirakam, beliau dibebaskan dengan jaminan polis," kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.
Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam satu kenyataan 11 mukasurat menyenaraikan nama empat pemilik akaun media sosial termasuk Ronnie dengan memberitahu, kesemua mereka sedang disiasat pihak berkuasan kerana mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman keatas beberapa kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dilakukan melalui laman Facebook dan Twitter.
“Kenyataan berunsur penghinaan oleh pemilik akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew….. pada 21 Oktober, satu siasatan telah dimulakan keatas kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew yang tertulis “Now in Bangkok. They are saying no to the King."
“Siasatan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata Huzir.
Ronnie pada 21 Oktober telah memuat naik beberapa gambar perhimpunan penunjuk perasaan pro-demonstrasi anti-monarki di Bangkok, yang pada tarikh itu perhatian dalam negara tertumpu kepada tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa sedang berusaha untuk memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong bagi kerajaan mengisytiharkan darurat di Malaysia.
Tiga lagi ditahan
Menurut Mior, selain Ronnie, tiga individu lain turut ditahan polis sejak malam Selasa kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur penghinaan terhadap Agong dan mempertikaikan video yang dimuat naik di laman rasmi Twitter Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
Katanya, ada yang ditahan dan menyerah diri kepada polis, dan selepas keterangan dan siasatan dijalankan, mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis.
Mior meminta rakyat Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan sentiasa menghayati prinsip Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan kepada raja dan negara' bagi mengelak perlakuan yang mempunyai kecenderungan menghasut mempengaruhi mereka sehingga boleh merosakkan keharmonian negara.
Katanya kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan boleh menerima hukuman penjara tidak kurang tiga tahun, dan tidak melebihi tujuh tahun manakala Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama dengan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Che Zuhaida Saari menyatakan penggunaan Akta Hasutan adalah untuk memastikan penyampaian maklumat secara berhemah dalam era media sosial.
"Media sosial memainkan peranan penting dalam penyampaian sesuatu maklumat. Negara tidak terkecuali terkena tempias kerana kini, semua maklumat boleh diakses dan disebar sekelip mata menggunakan saluran itu.
"Di Malaysia, penggubalan akta antara cara mengawal keharmonian kehidupan penduduk dan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) adalah yang diguna pakai pihak berkuasa dan merupakan undang-undang penting pada era media sosial, sebagai peringatan kepada pengguna media sosial supaya berhemah dalam penyampaian atau penyebaran maklumat.
"Jadi jangan sekali-kali menyebarkan perkara atau kenyataan yang tidak pasti kesahihannya, demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara amnya dan masyarakat Malaysia khasnya," katanya.
Akta Hasutan telah digubal oleh kerajaan kolonial British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, dan telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969. Menurut akta itu, ucapan yang "mempunyai kecenderungan untuk menghasut" adalah satu kesalahan jenayah.