Pilihan Raya Beri Peluang Kepada Pengundi ‘Selamatkan Malaysia,’ Kata Tokoh Veteran Pembangkang
2018.05.01
Johor Bahru, Malaysia

Pilihan raya umum Malaysia yang bakal berlangsung minggu depan memberikan peluang kepada pengundi untuk “membebaskan” negara daripada “rasuah, diskriminasi dan ketidakadilan,” kata pemimpin parti pembangkang utama kepada BeritaBenar dalam satu temu bual.
Lim Kit Siang, yang sudah lama menjadi Anggota Parlimen, mengetuai Parti Tindakan Demokratik yang menduduki 36 kerusi dalam Parlimen yang dibubarkan baru-baru ini. Ini merupakan jumlah yang besar atau separuh daripada 72 kerusi yang dikuasai empat parti dalam blok Pakatan Harapan.
Bagi pilihan raya 9 Mei, partinya mempertanding sejumlah 47 calon bagi kerusi parlimen dan 105 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri. DAP berharap untuk membantu perikatan Pakatan untuk menewaskan gabungan Barisan Nasional (BN), yang telah memerintah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Kami perlu menyelamatkan Malaysia,” kata Lim, 77, kepada BeritaBenar semasa beliau berkempen di bandar di selatan negara, Johor Bahru.
“Saya akan ringkaskan ia kepada tiga perkataan: Set Malaysia Free (Bebaskan Malaysia). Itu yang kita perlu lakukan, iaitu membebaskan Malaysia bagi membolehkan kita membebaskan negara ini daripada rasuah, diskriminasi dan ketidakadilan di negara ini.”
Lim, yang telah bertanding dalam 12 pilihan raya umum sebelum ini, merujuk kepada skandal kewangan 1MDB, yang membayangi Perdana Menteri Najib Razak sejak tiga tahun dan membawa kepada desakan agar beliau melepaskan jawatan.
Lim memiliki satu blog di mana beliau sering memuat naik kritikan berkaitan skandal itu.
Beliau telah merujuk kepada isu 1MDB dalam sekurang-kurangnya tiga posting pada Selasa.
Dalam satu posting, Lim menggelar Najib “Perdana Menteri paling tidak popular dalam sejarah Malaysia,” dan berkata beliau bertanggungjawab ke atas satu skandal penggubahan wang haram, yang menjadikan “Malaysia sebagai satu kleptokrasi global” dan “terbuang di peringkat antarabangsa” dalam sekelip mata.
“1MDB mempunyai isu tadbir urus namun anda tidak boleh menuduh seseorang sebagai penyamun atau sebagainya kecuali jika ada bukti,” kata Najib kepada perkhidmatan berita Bloomberg dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Ia telah diperjelas, tiada sebarang salah laku,” kata Najib. “Saya menyokongnya.”
‘Saya rasa kecewa’
Bulan lepas, DAP dan tiga lagi anggota Pakatan telah memutuskan untuk menggugurkan logo parti masing-masing dan bertanding dalam pilihan raya akan datang di bawah sepanduk Parti Keadilan Rakyat (PKR), selepas pihak berkuasa Malaysia menolak permohonan pendaftaran Pakatan sebagai sebuah gabungan bagi pengundian pada 9 Mei.
PKR, yang menduduki 28 kerusi dalam parlimen sebelum ini, diketuai pemimpin pembangkang yang kini dipenjara, Anwar Ibrahim.
“Saya rasa kecewa kerana tidak menggunakan symbol kami,” kata Lim kepada BeritaBenar sambill menambah bahawa langkah itu adalah sesuatu yang perlu dilakukan.
“Bagaimanapun kami mempunyai objektif lebih besar iaitu menyelamatkan negara. … Kami perlu menyelamatkan Malaysia.”
Pemimpin-Pemimpin kanan DAP, termasuk pengasas bersama parti Chen Man Hin, telah melahirkan rasa tidak puas hati berhubung pengguguran logo roket, dan berkata penyokong setia mungkin keliru di tempat mengundi.
Tan Siew Giaw, seorang lagi pemimpin DAP, berkongsi kebimbangan Chen.
“Semua kerja keras selama 52 tahun berakhir sekelip mata apabila simbol itu menjadi dua bulan sabit dan warna merah bertukar menjadi biru,” kata Tan kepada akhbar harian tempatan Utusan pada 12 April, merujuk kepada simbol dan warna PKR.
Lim, seorang anggota etnik minority Cina Malaysia, dipilih buat pertama kali sebagai anggota parlimen pada 1969 – tahun berlaku rusuhan kaum di negara ini – menjadikan beliau sebagai antara penggubal undang-undang paling kanan di negara ini.
“Ini adalah kali pertama saya tidak bertanding di bawah logo roket dan seperti yang anda tahu, keputusan untuk tidak menggunakan roket begitu memedihkan,” kata Lim merujuk kepada logo yang telah menjadi simbol perjuangan DAP selama kira-kira 48 tahun.
DAP, satu parti politik berbilang kaum, memperjuangkan demokrasi sosial dan kepelbagaian kaum. Pada pilihan raya umum sebelum ini, Lim begitu lantang mengkritik sistem layanan istimewa yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Barisan yang mendahulukan kaum Melayu majority serta penduduk orang asli dalam bidang pekerjaan dan pendidikan.
Kubu kuat DAP termasuk negeri-negeri Johor, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Lim akan mempertahan kerusi parlimennya di Johor, yang sudah lama menjadi kubu kuat Barisan dan tempat kelahiran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti peneraju dalam blok pemerintah.
“Johor sebelum ini menjadi negeri “deposit tetap” BN tetapi kami kini berhasrat untuk memenangi Johor bagi membolehkan kami berarak ke Putrajaya [kerusi kerajaan],” kata Lim, menggunakan terma biasa bagi undi dari negeri-negeri yang telah memihak kepada gabungan pemerintah dalam pilihan raya sebelum ini.
Menyasarkan sekurang-kurangnya 120 kerusi
Pada Selasa, Lim memaklumkan perkhidmatan berita rasmi kerajaan, Bernama, bahawa Pakatan Harapan perlu memenangi 120 daripada 222 kerusi parlimen untuk menyingkirkan Barisan Nasional dari kerajaan. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada Sabtu telah menolak pencalonan enam calon PH, katanya.
Pakatan, atau PH, adalah terdiri daripada DAP, parti berbilang kaum pimpinan Melayu, PKR, Parti Pribumi BersatuMalaysia (Bersatu), dan parti berasaskan agama Parti Amanah Negara (Amanah). Kesemuanya memutuskan untuk bersama-sama menggunakan simbol PKR –dua bulan sabit yang membentuk satu bulatan – sebagai sepanduk bersama bagi pilihan raya umum.
Keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak satu permonan pendaftaran oleh Pakatan dan membubarkan Bersatu buat sementara waktu selepas parti itu didakwa gagal menyerahkan beberapa dokumen tertentu.
Pemimpin pembangkang dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyifatkan langkah itu, yang dibuat sehari sebelum pembubaran parlimen, sebagai “satu penyalahgunaan kuasa” dan satu percubaan untuk mengelirukan rakyat.
Pada 1987, ketika Mahathir menjadi perdana menteri, Lim dan anak lelakinya, Lim Guan Eng yang kini merupakan Setiausaha Agung DAP, adalah antara 119 orang yang diberkas dalam satu operasi besar-besaran yang didakwa kerajaan sebagai usaha bagi membendung lebih banyak rusuhan kaum berlaku di Malaysia.
Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kontroversi. Lim menghabiskan masa selama 17 bulan dalam tahanan manakala anaknya dipenjara selama 12 bulan.