Rakyat Mahu Kerajaan Baru Malaysia Tekun Bekerja Selepas Tempoh Bulan Madu Berakhir

Hadi Azmi
2018.08.31
Kuala Lumpur, Malaysia
180831-MY-Msian620.jpg Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyertai perarakan Hari Kemerdekaan ke-61 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Berlatarkan kejayaan besar kerajaan Malaysia yang baru mengalahkan pemerintah sebelum ini, para pengundi muda yang idealis dan pekerja parti yang membantu membawa Pakatan Harapan ke Putrajaya kini menyedari tentang realiti pentadbiran selepas berakhirnya kegembiraan pada malam 9 Mei lalu.

Mereka menyuarakan perasaan tentang Malaysia baru di bawah pemerintahan Pakatan Harapan ketika negara itu meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 pada Jumaat.

Aminah Farid, 21, yang turut membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-14 memberitahu BeritaBenar bahawa beliau marah dengan menteri-menteri yang tidak memenuhi jangkaan ramai walaupun mempunyai kelayakan dan keupayaan untuk tugas yang diamanahkan.

"Saya gembira dengan kemajuan tertentu yang dilakukan mereka tetapi secara keseluruhannya, saya tidak berpuas hati dengan sikap mereka terutamanya dari segi menangani isu-isu yang memerlukan perhatian serius," katanya yang merujuk kepada kenyataan media yang teruk serta reaksi kerajaan terhadap kes seperti perkahwinan kanak-kanak, menindas individu LGBT dan pencerobohan tanah Orang Asli untuk pembalakan.

Dalam pada itu, Madihah Akmal, 25, yang juga aktivis sosial, menyeru rakyat Malaysia supaya terus aktif memantau operasi harian kerajaan bagi memastikan semuanya berjalan dengan sewajarnya.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan 'majoriti senyap' tampil bersuara buat pertama kalinya terhadap kerajaan dan ia merupakan perubahan positif yang perlu diteruskan walaupun orang ramai berpuas hati dengan kepimpinan Mahathir Mohamad.

Mahathir, yang berusia 93 tahun, adalah bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipilih semula untuk memimpin negara itu di bawah pakatan baru sebagai perdana menteri ketujuh selepas kemenangan PH pada 9 Mei.

"Mahathir adalah faktor penting dalam hasil yang kita lihat berlaku pada Mei lalu kerana ia membawa rasa kestabilan yang lazim bagi orang ramai yang mahukannya," kata Madihah.

Namun, beliau memberitahu bahawa kerajaan Mahathir masih terlalu muda dan banyak perkara bakal berubah apabila negarawan itu akhirnya menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pengganti yang dipilih, Anwar Ibrahim.

"Sekiranya orang ramai selesa menerima cara Mahathir mentadbir negara, akhirnya ia menjadi sama seperti apa yang kita lalui di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang menyaksikan  orang ramai pasif kepada kehendak mereka yang berada dalam kerajaan," kata Madihah.

Walaupun secara umumnya gembira dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14, seorang individu bercakap kepada BeritaBenar tentang bagaimana ia mempengaruhi dirinya secara peribadi.

Azraff Azmil, 29, berkata bahawa beliau kecewa dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka kerana baru-baru ini beliau kehilangan pekerjaan selepas Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), di mana beliau bekerja sejak empat tahun lalu, ditutup atas perintah kerajaan.

Yayasan itu ditubuhkan pada 2012 oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi menggalakkan kesederhanaan dan menentang idealis ekstremisme yang melakukan kritikan terhadap kumpulan seperti kongres kesatuan sekerja kakitangan awam, yang didakwa G25 sebagai gagal mencapai kepimpinan yang dimahukan GMMF.

"Hari terakhir operasi ialah pada 31 Julai, dan kami hanya diberi notis lisan seminggu," kata Azraff.

Walaupun menganggur, beliau menganggap susunan politik baru itu sebagai permulaan yang baik kepada sistem dua parti yang sewajarnya di Malaysia.

"Belia harus pintar dalam menganalisis janji-janji dan kemungkinan pelaksanaannya pada masa depan.

"Rekod kejayaan pakatan itu dalam memenuhi manifesto terdahulu mestilah menjadi rujukan bagi golongan muda untuk membuat pilihan yang tepat demi manfaat mereka dalam 5 tahun akan datang, jika tidak lebih," katanya.

Kemerdekaan kali kedua

Dalam perutusannya kepada negara pada petang Khamis, Perdana Menteri Mahathir mengambil peluang untuk menyamakan penjajahan kolonialisme dengan kemenangan PH yang diterajuinya dalam mengetepikan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya baru-baru ini. BN, yang mendapatkan kemerdekaan negara pada 1957, dianggapnya sebagai tidak demokratik dan merosakkan.

"Ini adalah kemusnahan dan tekanan yang dirasakan oleh rakyat sehingga mereka merasakan mereka telah mencapai kemerdekaan buat kali kedua apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menghasilkan perubahan pemerintahan negara," katanya.

Menurutnya pentadbiran yang mengikut undang-undang memerlukan masa untuk dilaksanakan selepas semua kerosakan dilakukan oleh bekas kerajaan terdahulu tetapi beliau memberi jaminan kepada rakyat bahawa "penjenayah akan menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.”

Sementara itu, musuh-musuhnya pula menganggap serangan berterusan Mahathir terhadap bekas kerajaan itu sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian orang ramai terhadap ketidakcekapan pentadbirannya sendiri selain kegagalannya untuk menunaikan janji-janji pilihan raya seperti menghapuskan tol lebuh raya dan menyifatkan tindakan membatal projek-projek era Najib sebagai "balas dendam".

Bercakap kepada BeritaBenar, ahli majlis tertinggi UMNO Lokman Adam berkata, kerajaan Mahathir hanya berminat untuk memperkaya keluarga dan kroninya, sambil merujuk kepada  pemberian hak membekalkan petrol kenderaan kerajaan kepada Petron, syarikat petroleum yang mempunyai kaitan dengan anak lelaki Mahathir.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.