Malaysia: Pengkritik Selar Keputusan Lanjutkan Perkhidmatan Hakim Tertinggi

Ray Sherman
2017.07.10
Kuala Lumpur
170710_PROTEST-620.jpg Penyokong tokoh pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim melaungkan slogan ketika mereka tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya atas keputusan mengenai rayuannya terhadap sabitan kes liwat, 10 Feb, 2015.
[AFP]

Perdana Menteri Malaysia telah melanjutkan penggal dua hakim tertinggi negara itu, satu langkah yang dikatakan oleh penggubal undang-undang, pakar undang-undang dan para pengkritik, sebagai langkah tidak mengikut perlembagaan dan bertujuan untuk menggugat kebebasan kehakiman.

Pejabat Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pada malam Jumaat lalu bahawa tempoh Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dilanjutkan masing-masing tiga dan dua tahun. Kedua-dua Hakim berkenaan juga dilantik sebagai Hakim tambahan kepada Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi negara itu, demikian menurut pejabat berkenaan.

"Keputusan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan semasa," kata kenyataan itu.

Ia berkata pelantikan dan perlanjutan perkhidmatan itu dilakukan mengikut Perkara 122 perlembagaan dan bahawa Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja - badan yang terdiri daripada sultan-sultan dan para gabenor yang mewakili 13 buah negeri yang merangkumi Persekutuan Malaysia - telah meluluskan langkah itu.

Raus dijadualkan bersara pada 3 Ogos dan Zulkefli pada 27 Sept, selepas mencapai usia 66 tahun dan enam bulan, umur persaraan maksima bagi hakim peringkat persekutuan. Walaubagaimanapun, hakim tambahan tidak terikat dengan had umur yang sama.

Langkah itu telah menimbulkan bantahan daripada penyokong hak asasi, pembangkang politik Malaysia dan pakar undang-undang.

"Apakah istimewanya bagi [Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan] dilanjutkan dengan cara kontroversial?" Eric Paulsen, pengarah eksekutif badan bukan kerajaan Lawyers for Liberty, dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Kami benar-benar terkejut dan tergempar dengan pelantikan ini yang hanya boleh digambarkan sebagai cubaan terdesak oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk melemahkan lagi kebebasan badan kehakiman," katanya.

Anwar Ibrahim, pemimpin parti pembangkang de fakto yang dipenjarakan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari selnya pada Isnin, berkata, "Saya telah difahamkan bahawa peguam Shafee Abdullah telah memberikan pandangan undang-undang dalam melanjutkan perkhidmatan Raus dan Zulkefli.

Bulan lalu, Anwar memfailkan tuntutan undang-undang untuk membatalkan sabitannya dan meminta pembebasannya semula, dengan mendakwa bahawa pelantikan Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam persendirian sebagai pendakwaraya dalam kes rayuan, bertentangan dengan amalan biasa Peguam Negara serta tidak beretika.

Anwar membuat rayuan bagi kesnya di mana beliau pada tahun 2014 telah dikenakan tempoh penjara selama lima tahun atas tuduhan meliwat.

Muhammad Shafee pada Sabtu membela pelanjutan perkhidmatan kedua-dua hakim tertinggi itu sambil mengatakan tiada apa-apa di dalam perlembagaan yang melarang tindakan itu.

"Kenapa tidak menggunakan mereka yang berbakat dalam bidang undang-undang untuk tugasan teratas?" kata Shafee dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Usaha oleh BeritaBenar untuk menghubungi pejabat Najib serta Menteri Undang-undang Azalina Othman tidak dijawab pada Isnin.

Majlis Peguam: ‘Secara terangan tidak berperlembagaan’

Dalam sebuah posting blog pada Mei, bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad, membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan Najib melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim tertinggi dengan melantiknya sebagai hakim tambahan. Tetapi taktik sedemikian tidak mengikut perlembagaan, Abdul Hamid berhujah, kerana piagam negara tidak membenarkan hakim tambahan dipilih sebagai ketua badan kehakiman, katanya.

"Perkataan 'hakim tambahan Mahkamah Persekutuan' hanya boleh bermaksud apa yang mereka katakan, iaitu hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk melakukan tugas hakim Mahkamah Persekutuan, bukan Ketua Hakim, "mantan ketua hakim itu menulis.

Abdul Hamid juga menasihatkan Md Raus untuk "mengetepikan kepentingan peribadinya, dan menolak pelantikan itu.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese menyuarakan pendapatnya dengan menggesa Raus dan Zulkefli supaya menolak pelanjutan tugas mereka.

"Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa pelantikan ini jelas tidak mengikut perlembagaan," kata Varughese dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Artikel 122 perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa jawatan ketua kehakiman dan hakim tambahan perlu disandang oleh dua orang yang berbeza, dan bukan orang yang sama, dan prinsip yang sama juga dikenakan ke atas Presiden Mahkamah Rayuan, tambah Varughese.

‘Benteng terakhir keadilan’

Sementara itu, peguam bagi bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata pelantikan hakim terbaru itu adalah satu lagi percubaan oleh pemimpin negara untuk menyekat kuasa institusi yang merupakan "benteng keadilan terakhir."

Mahathir, musuh Najib dan bekas ketuanya, telah meminta perdana menteri meletak jawatan atas tuduhan rasuah yang berkaitan dengan skandal salah pengurusan kewangan yang melibatkan dana negera 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkembangan kehakiman yang dilakukan, kata peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla kepada BeritaBenar, "... menentukan dia [Najib] tetap berkuasa, walaupun beliau gagal sekian lama untuk menyelesaikan ibu kepada segala skandal, 1MDB."


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.








Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.