Pelarian Syria Hassan Al Kontar Berlepas Ke Kanada

Noah Lee & Ali Nufael
2018.11.26
Kuala Lumpur, Malaysia
hassanalkontar.jpeg Rakyat Syria, Hassan Al Kontar, yang tinggal selama beberapa bulan di bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 selepas dia mendakwa gagal pergi ke Ecuador pada Mac lalu, dilihat berada di lapangan terbang berkenaan pada 3 Ogos 2018.
[Ihsan Hassan Al Kontar]

Pihak berkuasa Imigresen Malaysia mengesahkan lelaki rakyat Syria yang tinggal selama 209 hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), akhirnya keluar dari Malaysia, dengan Hassan Al Kontar sendiri berkata beliau dalam perjalanan ke Kanada.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Mustafar Ali, ketika dihubungi BeritaBenar dan dalam kenyataan media yang menyusul kemudian mengesahkan bahawa Hassan telah dihantar keluar dari negara bagi penempatan semula ke negara ketiga.

“Subjek berlepas dariLapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan diiringi oleh seorang pegawai dari Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM),” kata Mustafar dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Putrajaya itu.

Hassan telah tinggal selama 209 hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak 7 Mac lepas dan enggan pulang ke negara asal.

Dalam pada itu, Hassan telah berkongsi satu rakaman video sepanjang 1 minit 19 saat di dalam akaun Facebooknya pada malam Isnin memaklumkan yang beliau kini dalam perjalanan ke Vancouver, Kanada.

"Hari ini saya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan, dan esok saya akan tiba di destinasi terakhir saya, Vancouver, Kanada," katanya berkongsi maklumat terkini mengenai diri beliau selepas hampir dua bulan berada di dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia sejak 1 Oktober lepas.

Lelaki Syria itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya selama ini sehingga dia dapat ke Kanada, iaitu destinasi yang diingininya, dan meminta supaya para penyokong turut mendoakan pelarian lain yang turut memerlukan bantuan.

"Saya memohon maaf kerana tidak berhubung selama dua bulan,tetapi masa yang sudah lepas tidak lagi bersama kita, apa yang penting adalah hari ini dan esok, iaitu masa sekarang dan masa hadapan.

"Saya tidak akan berjaya tanpa sokongan dan doa dari kamu semua. Saya tidak akan berjaya tanpa bantuan keluarga, dan keluarga rakan di Kanada serta peguam saya. Terima kasih semua. Saya sayang kamu semua. Saya akan sentiasa memberi kamu maklumat saya yang terkini.

"Mari kekalkan doa untuk semua yang memerlukannya, terutamanya kepada mereka yang berada di kem pelarian dan kem tahanan di seluruh dunia. Saya berharap mereka berada dalam keadaan selamat dan turut akan mendapat status sah secepat mungkin."

Imigresen ada berbincang

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak imigresen Malaysia itu juga berkata, atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] telah mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan negara yang bersetuju menerima penempatan semula kepada Hassan.

Dalam pada itu, semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington, Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) dengan memetik undang-undang privasi negara itu enggan mengulas mengenai kes Hassan.

Hassan menjadikan KLIA2 sebagai ‘rumahnya’ sejak 7 Mac sebelum ditahan pihak berkuasa pada 1 Oktober lepas. Hassan sebelum itu cuba meninggalkan Malaysia dan terbang ke Ecuador tetapi tidak berjaya. Dia kemudiannya cuba ke Kampuchea tetapi tidak dibenarkan masuk ke negara itu. Apabila sampai di Phnom Penh, beliau dihantar semula ke Malaysia.

Jabatan Imigresen Malaysia  turut memberitahu yang Hassan telah ditawarkan dengan kemudahan Pas Khas agar beliau dapat masuk semula ke negara ini, tetapi lelaki tersebut menolak dan bertindak untuk kekal menempatkan dirinya dilapangan terbang berkenaan.

“Subjek turut menggunakan sosial media bagi mendapatkan perhatian dan memberi tekanan supaya beliau dapat di terima oleh negara lain dan tidak perlu di hantar pulang ke Syria,” kata Mustafar.

Dalam satu video yang dimuatnaik ke akaun Twittermiliknya pada 23 Mac, Hassan berkata dia berasa amat sunyi, terasing dan tidak dikehendaki.

“Saya kehilangan semua duit saya hampir $2,300 untuk membayar tiketkapal terbang, “ kata Hassan yang turut mengatakan bahawa kumpulan hak asasi manusia tidak membantunya.

“Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Saya cuma boleh menyalahkan orang kita sendiri,” katanya. “Ini yang terjadi kepada kita kerana apa yang kita lakukan, dan kerana terusberperang antara kita,” katanya lagi.

Kumpulan hak asasi di Malaysia walaubagaimanapun mencabar dakwaan yang dikemukakan Hassan dan berkata dia sengaja menolak segala bentuk bantuan kerana mahu mendapatkan tawaran yang lebih baik termasuklah peluang untuk
ke Kanada.

Pada 10 April lepas, bekas wartawan Kanada, Laurie Cooper, telah menawarkan untuk membantu Hassan dengan mengumpul dana bantuan dan juga membantunya menulis surat kepada Menteri Imigresen Kanada bagi mempercepatkan permit sementara untuk beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.