Aktivis Hak Asasi Kritik Mahathir Berhubung Kenyataan Mengenai Akta Hasutan

Ali Nufael
2018.10.09
Kuala Lumpur, Malaysia
181009-MY-sedition-620.jpg Penunjuk perasaan membantah Akta Hasutan semasa satu perhimpunan di hadapan Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 16 Oktober 2014.
[AP]

Kumpulan hak asasi manusia Malaysia pada Selasa menyuarakan rasa marah mereka apabila  Perdana Menteri Mahathir Mohamad dilihat cuba berundur daripada menunaikan janji pilihan raya untuk memansuhkan undang-undang yang ditubuhkan semasa era penjajahan negara, Akta Hasutan, yang sering digunakan oleh kerajaan sebelum ini untuk menutup mulut para pengkritiknya.

Badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Anti-Akta Hasutan (GHAH) mengulangi gesaan mereka supaya kerajaan baru Malaysia menghapuskan undang-undang itu. Mereka juga menggesa pentadbiran Mahathir supaya mengenakan moratorium (penggantungan sementara) terhadap akta itu semasa proses perundangan dijalankan bagi menghapuskan undang-undang itu.

Sehari sebelum itu, perdana menteri berkata, pemansuhan akta berkenaan akan mengambil masa kerana ia memerlukan kelulusan Parlimen dan memberitahu bahawa tiada garis masa yang ditetapkan untuk melaksanakannya.

“Sejak peralihan kuasa 9 Mei 2018, Suaram dan masyarakat awam lain secara konsisten menggesa moratorium dikenakan terhadap undang-undang drakonian yang terus menindas rakyat Malaysia setiap hari,” kata pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy kepada BeritaBenar.

Tanpa sebarang moratorium dan arahan jelas daripada kerajaan berhubung perkara itu, tidak hairanlah bahawa agensi-agensi penguatkuasaan, khususnya polis, terus menggunakan akta tersebut, katanya.

"Pendirian pentadbiran Pakatan Harapan kini menjadi sindiran terhadap aspirasi perubahan yang disokong oleh semua rakyat Malaysia," kata Sevan, merujuk kepada pakatan parti pemerintah baru negara itu.

Para pengkritik menyatakan bahawa Akta Hasutan 1948 telah digunakan secara meluas oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk mengekang kritikan terhadap kerajaannya sebelum gabungan parti Barisan Nasional mengalami kekalahan mengejut kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

Dalam manifesto kempennya menjelang pilihan raya umum itu, Pakatan Harapan yang diterajui Mahathir berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan dan undang-undang keselamatan negara lain termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Tetapi pada Isnin, Mahathir berkata kerajaannya masih mengguna pakai undang-undang berusia 70 tahun itu.

"Akta Hasutan masih ada... Untuk memansuhkannya mungkin mengambil sedikit masa, " kata Mahathir. "Ia perlu dibentangkan di Parlimen dan buat sementara waktu ini, kita akan terus menggunakan undang-undang itu."

Beberapa jam kemudian, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata akta itu akan dimansuhkan pada sidang Parlimen akan datang, yang dijadualkan berlangsung dari 15 Okt hingga 11 Dis, menurut kalendar kerajaan.

Gobind, yang juga peguam terkemuka yang memperjuangkan pemansuhan akta tersebut, berkata beliau tidak akan menunggu Parlimen untuk bertindak. Sebaliknya, beliau bercadang untuk mengusulkan moratorium terhadap undang-undang berkenaan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

"PH mahu memansuhkan Akta Hasutan.. AG sedang berusaha menguruskannya. Saya ada mengikuti perkembangannya. Baru semak sekali lagi petang tadi," kata beliau dalam catatan Twitter pada Isnin, yang merujuk kepada peguam negara.

Sementara itu, jurucakap GHAH Amir Abdul Hadi juga menggesa kerajaan supaya bertindak menghapuskan akta berkenaan.

"Kami menyokong pandangan Gobind dan kami, sejak awal lagi, telah mendesak kerajaan supaya mengenakan moratorium terhadap undang-undang berkenaan sehingga ia boleh dibentangkan di Parlimen," katanya kepada BeritaBenar.

"Kami juga memahami kenyataan perdana menteri yang menyatakan tidak ada garis masa sempurna. Tetapi, kami mahu meminta supaya perkara ini dibahaskan pada sesi berikutnya.

"Sama ada dimansuhkan atau tidak, ia adalah perkara lain, tetapi untuk membentangkannya bagi perbahasan menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk memansuhkan undang-undang itu."

Kebebasan 'mesti diperjuangkan'


Lokman Noor Adam, yang menganjurkan perhimpunan penyokong Najib di luar kompleks mahkamah apabila bekas pemimpin itu dihadapkan bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan beberapa pertuduhan lain yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB, membantah kerajaan baru kerana menggunakan undang-undang itu terhadap adik lelakinya.

Azman Adam ditangkap pada 2 Okt kerana didakwa menghina Mahathir di laman Facebook dan ditahan reman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan, menurut polis. Mahathir pernah menyatakan bahawa orang tidak boleh ditangkap hanya kerana mengkritiknya.

Sementara itu, Fadiah Nadwa Fikri, yang sedang disiasat berhubung catatannya mengenai institusi diraja Malaysia, pula berkata bahawa janji-janji pilihan raya PH adalah retorik semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan boleh menghapuskan akta itu dengan mudah tetapi tidak mempunyai keinginan politik untuk berbuat demikian.

"Pada masa ini, kerajaan boleh mengenakan moratorium jika mereka mahu. Tindakan tidak mengendahkan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip demokrasi adalah memalukan, "katanya kepada BeritaBenar. "Ia juga berperanan sebagai peringatan kepada rakyat bahawa kebebasan tidak pernah diberikan, ia mesti diperjuangkan."

Fadiah telah disoal siasat polis pada Julai lalu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam catatan di blog Malaysia Muda, Fadiah menulis "Janganlah engkau cium tangan yang memukulmu” di mana dia mempersoalkan tentang institusi diraja Malaysia dan menggambarkannya sebagai tidak sesuai dengan demokrasi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.