Malaysia Dakwa Aktivis Hak Pelarian Atas Kenyataan Layanan Buruk Imigresen

Heidy Quah Gaik Li menceritakan pengalaman melawat depot tahanan Jabatan Imigresen di laman media sosial Facebook miliknya tahun lepas.
Ray Sherman & Noah Lee
2021.07.27
Kuala Lumpur
Malaysia Dakwa Aktivis Hak Pelarian Atas Kenyataan Layanan Buruk Imigresen Pengasas sebuah badan bukan kerajaan 'Refuge for Refugees' Heidy Quah Gaik Li (tengah) bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 27 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang aktivis tempatan pada Selasa telah dihadapkan di mahkamah berhubung penulisan yang dikatakan menyinggung perasaan di laman media sosial Facebook miliknya, dengan mendakwa tahanan pelarian di Malaysia mendapat layanan buruk serta dianiaya semasa berada di pusat tahanan imigresen di negara itu.

Dalam pada itu, Amnesty International bersama sejumlah organisasi bukan kerajaan lain mengeluarkan kenyataan memprotes tindakan mahkamah terhadap aktivis Heidy Quah Gaik Li meminta kerajaan "menghentikan segala bentuk intimidasi dan ancaman terhadap para pembela hak asasi manusia," di negara tersebut.

Quah, pengasas NGO Refuge for the Refugees, telah didakwa di Mahkamah Khas Siber di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan diberikan ikat jamin.

Wanita yang pernah menerima Anugerah Women of the Future – The Queen’s Young Leader Award daripada Ratu Elizabeth II pada 2017 itu telah memuat naik penulisannya pada tahun lepas semasa pihak berkuasa Malaysia sedang menyoalsiasat beberapa orang wartawan mengenai laporan berita dikatakan bersifat kritikal terhadap operasi besar-besaran kerajaan bagi menangkap warga asing tanpa dokumen ketika negara itu sedang bergelut dengan gelombang pertama pandemik COVID-19.

Quah didakwa telah dengan "secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain", menurut kertas pendakwaan yang telah dilihat BenarNews.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Heidy telah melakukan kesalahan tersebut dengan memuat naik tulisan di sosial media itu sekitar jam 5.30 pagi pada 5 Jun tahun lepas.

Dalam muat naik tersebut, Quah menceritakan mengenai lawatannya ke sebuah pusat tahanan imigresen dengan aktivis itu berkata yang beliau telah bertemu seorang pelarian wanita yang menceritakan mengenai keadaan tempat tinggal yang teruk serta layanan buruk diterima para pelarian di situ setiap hari.

Menurut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang digunakan untuk mendakwa Quah, aktivis itu berhadapan dengan hukuman denda tidak lebih RM50,000 (AS $11,814), atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Quah mempertahankan tindakannya, dngan berkata beliau akan terus berjuang dan bercakap untuk apa yang dirasakan betul.

"Saya merasakan bahawa adalah penting dalam masa sebegini, daripada menghukum para aktivis yang cuba bersuara, kita patut menggesa supaya satu ketelusan dibuat di dalam sistem," katanya kepada media semasa ditemui di luar mahkamah.

Pada Isnin, Quah dalam Facebooknya berkata bahawa isu yang disuarakannya mengenai pusat tahanan imigresen telahpun dinyatakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Laporan-laporan tahunan Suhakam telah menyatakan mengenai "standard kebersihan yang teruk di depot tahanan, penderaan, layanan buruk, pengabaian, dan tahap sanitasi yang teruk," tambahnya.

"Situasi sebegitu boleh meningkatkan risiko jangkitan wabak dan penyakit berjangkit lain, (Ini adalah) sesuatu yang kita tidak mahu, terutama ketika pandemik," kata Quah lagi.

'Hentikan ancaman terhadap pembela hak asasi manusia'

Pada Selasa juga sekumpulan 80 badan bukan kerajaan dan pertubuhan hak asasi sivil mengeluarkan kenyataan menuntut supaya kerajaan menarik balik semua pendakwaan terhadap Quah "kerana menggunakan hak untuk bersuara dengan bebas seperti termaktub dalam Perlembagaan".

"Tindakan bertanggungjawab dan kredibel yang sepatutnya dibuat oleh kerajaan adalah memulakan siasatan bebas terhadap sebarang kemungkinan salah tadbir, layanan buruk atau salahguna kuasa yang berlaku di pusat-pusat tahanan imigresen," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Amnesty International Malaysia, Asia Pacific Refugee Rights Network, Asylum Access Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan lain.

Beberapa bulan sejak pandemik COVID-19 bermula di Malaysia pada tahun lalu, pihak polis dan imigresen telah giat menjalankan operasi bagi menangkap pendatang asing tanpa dokumen, dengan alasan bahawa ia dibuat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Dalam kes serupa seperti dihadapi Quah, polis pada bulan Mei 2020 telah memanggil seorang wartawan South China Morning Post kerana didakwa berkongsi kandungan bersifat menyinggung dan mengancam di atas talian, dan dikatakan telah membuat penghinaan dengan sengaja serta membuat provokasi bagi mengganggu keamanan.

Pada Julai tahun lepas, polis juga telah memanggil beberapa wartawan dari stesen televisyen Al Jazeera di Kuala Lumpur berhubung siasatan yang dijalankan pihak berkuasa itu terhadap sebuah dokumentari yang disiarkan agensi media tersebut mengenai nasib pekerja asing di Malaysia semasa perintah berkurung berkuatkuasa bagi mengekang koronavirus.

Sebulan selepas itu, polis bertindak dengan merampas komputer dan peralatan lain daripada pejabat syarikat yang berpangkalan di Qatar, dengan sebelum serbuan, pihak berkuasa juga mendakwa dokumentari yang disiarkan stesen televisyen tersebut sebagai berat sebelah dan tidak berasas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.