Malaysia Terima Enam Unit Helikopter Tempur Ringan Buatan AS
2022.02.28
Kuala Lumpur

Selepas tertangguh selama lebih enam tahun, Malaysia akhirnya menerima enam unit helikopter tempur ringan MD530G buatan Amerika Syarikat bernilai RM322 juta (AS$77 juta) bagi meningkatkan tahap keselamatan perairan negara itu, demikian menurut Panglima Tentera Darat, Zamrose Mohd Zain pada Isnin.
Menurutnya pesawat buatan syarikat berpangkalan di Arizona, MD Helicopters Inc (MDHI) itu mampu menjalankan fungsi tinjauan udara dan memusnahkan kenderaan perisai ringan pada jarak 7 kilometer akan ditempatkan di Sabah dan Johor, yang berdepan dengan ancaman penyeludupan, lanun dan pemerdagangan manusia.
"Helikopter ini telah selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari setelah melalui pelayaran panjang selama 31 hari. Pergerakan bermula dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat pada 20 Januari 2022,” kata Zamrose pada sidang media di Subang Jaya, Selangor sempena ketibaan pesawat berkenaan.
Helikopter tempur ringan MD530G yang dibina oleh MD Helicopters Inc – anak syarikat gergasi industri aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnell Douglas, dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd.
Perolehan enam unit helikopter bernilai RM322 juta tersebut yang ditempah pada Februari 2016, dilaporkan sebagai pembelian terbesar Kementerian Pertahanan Malaysia dengan pengeluar Amerika Syarikat dalam tempoh 20 tahun.
Enam helikopter MD530G itu sepatutnya diterima dalam dua fasa, iaitu dua buah pada Julai 2017 manakala empat lagi sebelum Disember 2018.
Bagaimanapun proses tersebut mengundang kontroversi apabila penghantaran pesawat tidak dapat diselesaikan mengikut jadual asal dan beberapa kali tertangguh.
Sebab kelewatan
Pada November 2019, Kementerian Pertahanan menjelaskan kelewatan penghantaran helikopter tersebut ekoran isu teknikal selepas kerajaan mendapati perlu dibuat perubahan setelah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi agar helikopter yang bakal diterima memenuhi keperluan.
Kenyataan media Kementerian Pertahanan antara lain turut berkata “Berdasarkan kepada kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter”.
Putrajaya yang pada masa itu dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan menerusi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan sebagai berkata mahu membawa isu kelewatan tersebut untuk perhatian Jemaah Menteri sama ada mahu meneruskan pembelian atau membatalkan perolehan berkenaan.
Mohamad juga dilaporkan sebagai berkata oleh media tempatan Malaysia, yang kerajaan mungkin akan membawa isu kelewatan perolehan tersebut ke mahkamah.
Bagaimanapun apabila berlakunya peralihan kuasa di Putrajaya, kerajaan Perikatan Nasional dibawah pimpinan Muhyiddin Yassin melalui Menteri Kanan Pertahanaan Ismail Sabri Yaakob memberitahu yang tiga daripada enam buah helikopter tersebut telah siap dan keputusan kerajaan menghantar pegawai tentera ke Amerika Syarikat untuk ujian nilai tergendala di sebabkan pandemik COVID-19.
Hishammuddin Hussein, yang merupakan Menteri Pertahanan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional ketika pembelian helikopter itu dibuat pernah membidas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang cuba memainkan isu kelewatan tberkenaan setelah mendakwa helikopter berkenaan ‘hilang’ apabila bekas menteri itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.
Denda
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz pada Disember lalu mengakui mengenai kelewatan perolehan helikopter tempur itu sambil memaklumkan bahawa pengiraan jumlah tuntutan denda atas kelewatan akan dikenakan terhadap syarikat pembekal.
“Kementerian Pertahanan mengakui kelewatan perolehan itu dan telah mengambil langkah tegas serta sewajarnya bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia menerima aset ini secepat mungkin, malah pengiraan jumlah tuntutan denda lewat harus dikenakan atas kelewatan ini.
“Bagaimanapun, jumlah denda ini akan ditentukan selepas proses penerimaan helikopter MD530G ini selesai dilaksanakan,” kata beliau semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi Bajet 2022 peringkat jawatankuasa Kementeri Pertahanan di Parlimen.
Menurut Zamrose, tiga daripada pesawat tempur ringan tersebut akan digunakan bagi meningkatkan kemampuan operasi Tentera Darat di perairan Semenanjung Malaysia manakala baki tiga unit lagi akan ditempatkan di kepulauan Borneo.
"Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak bagi kegunaan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
"Sebelum ini, kita memang rancang untuk penugasan persisiran Pantai Timur Sabah tetapi memandangkan sudah ada tiga Agusta Westland di sana, jadi kita akan tempatkan tiga di ESSCOM dan tiga buah lagi di Kluang (Kem Mahkota) untuk tujuan latihan," jelas Panglima Tentera Darat itu lagi.
Katanya, ketangkasan helikopter itu membolehkan ianya melaksanakan penguatkuasaan tugas melalui udara dengan peranan utama adalah sebagai Pesawat Tempur Ringan dilengkapi kuasa tembakan jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7mm dan Rocket Launcher 70mm.
“Keupayaan kuasa tembakan yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter ke 7 kilometer,” tambah Zamrose.
Beliau berkata kontrak perolehan enam unit helikopter berkenaan turut merangkumi program latihan untuk Juruterbang dan Juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
"Seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik menghadiri program latihan itu di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat selama 43 hari bermula pada 26 April hingga 11 Jun tahun lalu," ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, satu pasukan pemeriksa akan menjalankan ujian penerimaan akhir pada bulan Mac sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Tentera Darat Malaysia.
Dalam pada itu, MD Helicopters dalam satu kenyataan pada 13 Januari berkata helikopter itu menawarkan fungsi sokongan jarak dekat pada waktu siang dan malam, serta keupayaan menjalankan tinjauan udara yang menakjubkan.
Langkah tepat
Para penganalisis pertahanan menyifatkan pembelian enam unit pesawat tempur ringan itu sebagai langkah tepat bagi meningkatkan tahap keselamatan udara perairan Malaysia.
Menurut Ramli Dollah, penganalisis keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah pembelian aset tersebut adalah sangat kritikal dalam menangani ancaman kedaulatan Malaysia serta menunjukkan kemampuan ofensif negara.
“Ia bukan sahaja bertujuan akan mengukuhkan tahap keselamatan negara, malah turut memberi isyarat jelas kepada para penceroboh yang kita serius dalam menangani ancaman dengan tegas,” katanya kepada BenarNews.
Mohd Harridon, profesor madya di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur pula berpendapat meletakkan aset-aset di Johor dan Sabah adalah langkah strategik khususnya bagi menggandakan kekuatan keselamatan dalam menangani ancaman militan di sempadan perairan Sabah dan Filipina.
“Di Johor pula, kehadiran tiga unit helikopter akan membantu menangani ancaman di Selat Melaka yang menjadi laluan utama bagi kapal dagang di wilayah Asia Tenggara,” katanya kepada BenarNews.