Malaysia Mahu Mesyuarat Khas Bersama Empat Negara Jiran Bincang Ancaman IS
2017.06.09
Kuala Lumpur

Menteri Pertahanan Malaysia pada Jumaat mencadangkan satu mesyuarat khas dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand untuk membincangkan apa yang disifatkannya sebagai ancaman kepada semua lima negara oleh kumpulan pelampau Negara Islam (IS).
Menteri, Hishammuddin Hussein membuat kenyataan itu semasa beliau melawat Kepulauan Mindanao di selatan Filipina, di mana beliau bertemu dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana. Mindanao adalah tempat yang dikaitkan dengan IS berhubung kumpulan militan Filipina, yang disokong oleh pejuang dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan negara-negara lain, telah dan sedang berjuang dengan tentera kerajaan Filipina yang sedang mengepung bandar Marawi selama lebih dua minggu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Hishammuddin berkata, lima menteri pertahanan perlu bertemu secepat mungkin untuk membincangkan kaedah terbaik untuk bekerja bersama-sama dalam menangani ancaman IS di rantau itu.
"Ini kerana lima negara secara langsung dan tidak langsung terlibat dengan ancaman Daesh," kata beliau merujuk IS dengan nama lain. "Situasi ini mesti ditangani segera sebelum ia menjadi lebih agresif dan menggugat kestabilan dan kedaulatan di rantau ini."
Hishammuddin turut menyatakan sokongan kerajaannya terhadap kempen Manila dalam mengusir IS dan militan berkaitan di Marawi, di mana hampir 200 orang terbunuh dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal sejak pertempuran berlaku di sana pada 23 Mei.
"Saya menegaskan kepada Setiausaha Lorenzana bahawa Malaysia memandang serius dan tidak berkompromi dengan sebarang ancaman keganasan seumpama ini," kata Hishammuddin. "Saya berharap bahawa pertempuran di selatan Mindanao akan berakhir dan kestabilan di rantau ini dapat dikembalikan."
Saya juga berkongsi hasrat untuk mengadakan pertemuan khas dengan rakan sejawatan dari Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia dalam waktu terdekat," katanya, menjelaskan bahawa pertemuan itu akan membincangkan strategi dan kaedah terbaik untuk memerangi kumpulan militan di rantau itu.
Semasa para pegawai di Filipina, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah secara terbuka bercakap tentang ancaman terhadap keselamatan negara mereka yang ditimbulkan oleh kumpulan militan IS dan penyokong, kerajaan junta yang diterajui Thailand tidak pernah berkata wujudnya sebarang ancaman dalam negara yang majority penduduknya beragama Buddha, di mana pemberontak pemisah mengamuk di wilayah yang majoritinya beragama Islam yang dikenali sebagai ‘Deep South’ [ Selatan Thailand].
Memetik laporan perisikan, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada bulan lepas berkata, serangan pengganas baru-baru ini yang berlaku di selatan Thailand, Jakarta dan di Marawi, di selatan Filipina, semuanya dikaitkan dengan pembunuhan pemimpin IS dari Malaysia, Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi di Syria baru-baru ini.
"Orang Melayu-Pattani di Selatan Thailand tidak menerima ideologi amat ganas IS dan tidak ada syarat untuk menyertai IS," kata seorang pegawai keselamatan Thailand yang bertugas di Selatan negara itu kepada BeritaBenar hujung Mei lalu.
Tarikh baru rondaan bersama
Hishammuddin turut memberi komen mengenai cadangan lebih setahun antara Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk bergabung tenaga dalam rondaan tiga hala dalam melindungi Laut Sulu dan Sulawesi dari ancaman lanun dan penculikan maritim.
Tarikh pelancaran rondaan itu sebelum ini telah ditangguhkan, tetapi kini ianya bakal dilancarkan di Tarakan, Indonesia pada 19 Jun, Menteri Pertahanan Malaysia berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sejak beberapa tahun, kumpulan Abu Sayyaf, yang berpangkalan di Mindanao, telah menculik dan menahan mangsa untuk wang tebusan, dan memenggal kepala sebahagian daripada mangsa culik mereka. Pada Februari lepas, kumpulan berkenaan mengeluarkan satu video yang menunjukkan pemenggalan kepala tebusan rakyat Jerman, Jurgen Kantner, selepas tarikh akhir untuk mendapatkan wang tebusan AS$600,000 (RM2.6 juta ringgit) berakhir.
Tahun lalu, militan ASG juga dipersalahkan kerana serangan ke atas kapal-kapal di perairan antara Kepulauan Borneo dan selatan Filipina yang mengakibatkan penculikan puluhan pelayar Indonesia dan Malaysia, yang kebanyakkannya telah dibebaskan.