Malaysia: Abu Sayyaf Disyaki Culik 2 Nelayan Indonesia

Desmond Davidson
2016.11.21
Kuching, Sarawak
161121-my-hishammuddin620.jpeg Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein menyampaikan ucapan pembukaan semasa Mesyuarat Menteri Pertahanan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di Subang, Malaysia, 3 November 2015.
AFP

Lelaki bersenjata berjaya lakukan penculikan walaupun pihak berkuasa  Malaysia dan Filipina berkomunikasi tentang mengatasi serangan.

Tentera Filipina melakukan rondaan udara dan laut di perairan pulau Tawi-Tawi dan Sulu bagi mengesan  kumpulan bersenjata yang menculik dua nelayan Indonesia pada hujung minggu lalu, kata jurucakap Tentera  Mindanao Barat (Westmincom), hari ini.

Lima lelaki bersenjata, yang disyaki anggota militan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), menculik dua warga Indonesia itu di luar perairan Kunak, sebuah bandar pantai kecil di Sabah, negeri Malaysia Timur, sebelum melarikan diri ke arah Tawi-Tawi di selatan Filipina pada Sabtu, kata seorang pegawai Malaysia.

Penculikan berlaku walaupun adanya usaha oleh pasukan keselamatan Filipina dan Malaysia untuk mengeluarkan amaran mengenai lelaki bersenjata berkenaan. Tentera Filipina menghantar amaran mengenai sebuah bot menuju ke Malaysia dan pasukan keselamatan Malaysia pula mengeluarkan amarannya  sendiri selepas penculikan, menurut pegawai-pegawai keselamatan.

Komunikasi itu diadakan berikutan rundingan awal bulan ini oleh pemimpin kedua-dua negara untuk berkerjasama dalam menghindari penculikan maritim, yang sejak kebelakangan ini membelenggui perairan yang  memisahkan selatan Filipina dari pulau Borneo.

Selepas menerima kunjungan Presiden Filipina yang baru Rodrigo Duterte pada 10 Nov lalu, Perdana Menteri  Najib Razak berkata Duterte telah memberikan kebenaran kepada kapal-kapal Malaysia untuk memasuki perairan negara itu semasa memburu dan mengejar penculik.

Seminggu kemudian, Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berkata beliau telah membincangkan isu itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina semasa Mesyuarat Menteri Trilateral Keempat mengenai Inisiatif Laut Sulu.

"Perbincangan memberi tumpuan penuh kepada latihan bersama operasi, rondaan maritim diselaras dan rondaan udara bersama yang akan dimulakan antara tiga negara tidak lama lagi," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan selepas rundingan itu.

Butiran penculikan


ASG, kumpulan yang mahukan negeri berasingan di selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam, dipercayai telah menculik warga Indonesia,  Saparuddin Kone, 43, dan Sawal Maryam, 36. Pegawai Indonesia telah dimaklumkan tentang penculikan itu pada Sabtu dan mengerahkan pasukan dari konsulatnya di Tawau, Malaysia ke Lahad Datu untuk mengumpul maklumat, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia.

Selepas memusnahkan peralatan komunikasi bot itu serta mencuri wang tunai dan telefon bimbit, lelaki bersenjata itu meninggalkan 11 anak kapal lain tanpa dicederakan, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom)  Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Filipina mengenai sebuah bot laju yang menuju berhampiran Pulau Taganak di Tawi-Tawi.

Wan Abdul Bari berkata pasukan keselamatan Malaysia diarahkan berwaspada pada 6.40 petang Sabtu - kira-kira sejam sebelum kejadian itu - kerana Pulau Taganak adalah kira-kira 27 km (17 batu) dari bandar pantai Sandakan,lokasi penculikan sebelum ini. Pada masa lalu, kerjasama itu dihalangi oleh tuntutan wilayah Filipina ke atas Sabah.

"Kami telah dimaklumkan. Bagaimanapun, saya tidak boleh mengesahkan sama ada bot itu menyeberangi masuk perairan Malaysia atau terlibat dalam penculikan itu, "kata Wan Abdul Bari kepada media tempatan pada Ahad.

Sementara itu, jurucakap Westmincom Mejar Filemon Tan Jr. berkata, tentera Filipina telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa penculikan dilaporkan berlaku pada kira-kira 7.30 malam, menurut The Filipina Star. Penculikan itu berlaku berhampiran Kunak, 129 km (80 batu) di selatan Sandakan, Sabah.

Susulan penculikan itu pada Sabtu, Tan berkata militan kini menahan  24 orang tebusan - lima rakyat Malaysia, seorang warganegara Belanda, seorang rakyat Jerman, seorang rakyat Korea Selatan, empat warga Indonesia, enam rakyat Vietnam dan enam rakyat Filipina.

ASG, yang berikrar setia kepada kumpulan ekstremis Negara Islam (IS), telah mengumpul berjuta-juta dolar melalui penculikan pada tahun-tahun lepas,  menurut laporan dalam talian. Tahun ini sahaja, ASG telah mengumpul sekurang-kurangnya 354.1 juta peso Filipina (AS $7.3 juta) daripada wang tebusan yang dibayar untuk orang tawanan, lapor laman web berita yang berpangkalan di Filipina, Rappler.com.

Pemimpin Filipina ditukar

Di Filipina, pegawai-pegawai kerajaan menafikan dakwaan bahawa penyingkiran Brig. Jeneral Arnel de la Vega sebagai Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu Angkatan Tentera Filipina (AFP) adalah berkaitan dengan siri penculikan yang dikaitkan dengan ASG,lapor Manila Times.

"Ia tiada kaitan dengan laporan penculikan yang terus berlaku. Ini adalah berdasarkan kepada sistem kenaikan pangkat, "kata Kolonel Edgard Arevalo, ketua pejabat perhubungan awam AFP, kepada Times. Lembaga Jeneral telah mengesyorkan  de la Vega berkhidmat sebagai Komandan Kolej Perintah dan Umum  AFP bagi  menggantikan Mejar Jeneral Rodolfo Santiago yang mencapai umur persaraan wajib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.