Militan Namakan Myanmar, Selatan Thailand Sebahagian Khalifah IS, Kata Malaysia
2017.11.27
Kuala Lumpur

Kumpulan pengganas Negara Islam (IS) telah menyenaraikan Myanmar, Seatan Thailand dan Malaysia sebagai sebahagian daripada "wilayah Asia Timur" atau negara kumpulan itu, kata Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein kepada pegawai-pegawai pertahanan utama dari 41 negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, di Riyadh.
Hishammuddin merupakan pegawai tertinggi Asia Tenggara yang secara terbuka memberitahu tentang laporan penganalisis keselamatan bahawa para penyokong IS di Iraq dan Syria telah mengenal pasti negara atau wilayah berkenaan sebagai antara khalifah serantau mereka.
"Khalifah yang diisytiharkan mereka adalah merangkumi Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Selatan Thailand dan Myanmar setelah mereka terus gagal mengekalkan wilayah di Iraq dan Syria," kata Hishammuddin, menurut transkrip ucapannya pada mesyuarat itu, yang diterima oleh BeritaBenar pada Isnin.
"Jangan silap, perkembangan ini tidak akan menghalang usaha kami, kami akan terus memerangi mereka dari setiap arah," katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada Ahad semasa menghadiri mesyuarat Pakatan Ketenteraan Islam Memerangi Keganasan (IMCTC), yang merupakan gabungan kerajaan Sunni yang ditubuhkan dua tahun lalu oleh Putera Arab Saudi, Putera Mohammad bin Salman Al Saud, yang juga ketua pertahanan negara itu. Keanggotaan IMCTC tidak termasuk negara-negara yang memerintah kerajaan Syiah seperti Iran, Iraq dan Syria.
Memandangkan IS pernah menguasai sebahagian besar Iraq dan Syria, kumpulan pengganas itu telah melangkaui sempadan yang menjadi batasannya dengan berusaha mewujudkan kubunya di Asia Tenggara, kata para penganalisis.
Hishammuddin berkata, 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah memantau rapat pergerakan IS dan kumpulan pengganas radikal lain di rantau itu.
"Malaysia sedar adanya rasa percaya yang meluas di sini bahawa Iran telah menyumbang kepada ketidakstabilan di rantau itu," katanya tanpa mengulas lanjut.
Para militan IS dibiarkan berjuang di perbatasan terakhir di Syria dan wilayah padang pasir di sepanjang sempadan Iraq-Syria.
Setelah kumpulan pengganas itu berjaya dihalau keluar dari Timur Tengah, prospek Asia Tenggara menjadi sasaran besarnya telah meningkat dengan ketara sekali, kata Hishammuddin.
Dua tahun lalu, Hishammuddin berkata, beliau telah "memujuk dan meyakinkan semua 10 Menteri Pertahanan ASEAN untuk bersama-sama mengisytiharkan kutukan keras" terhadap IS.
"Bagaimanapun, rakan-rakan saya sekalian, nampaknya kebimbangan paling besar kami kini menjadi kenyataan," kata beliau. "Ia menyakitkan bagi saya untuk menyatakan bahawa ancaman itu telah sampai ke pesisiran kami di Asia Tenggara."
Jasminder Singh, dalam satu kertas kerja yang diterbitkan oleh Institusi Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam pada Jun tahun ini, menamakan enam negara berkenaan dan Jepun sebagai negara-negara yang telah dinyatakan dalam media sosial sebagai sebahagian daripada wilayah IS.
"Bagi para pejuang asing yang datang ke rantau itu, ia memberi mereka idea tentang apa yang mereka akan dapat, dan apa pula sasarannya," kata Jasminder Singh kepada Straits Times Singapura.
Penganalisis keselamatan lain pula memberitahu Straits Times bahawa penciptaan wilayah serantau itu boleh memupuk individu yang radikal untuk menjalankan serangan di Asia Tenggara, sekiranya mereka tidak dapat pergi ke Timur Tengah untuk berjuang.
Pemimpin Malaysia, Indonesia bertemu untuk memerangi keganasan
Hishammuddin juga membangkitkan tentang pertemuan minggu lalu di antara Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo yang telah bersama-sama memperakukan usaha untuk memperluas bilangan pos-pos sempadan bersama di kedua-dua belah sempadan negara.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga terlibat dalam rondaan udara tiga hala bersama-sama Filipina untuk meningkatkan usaha maritim bersama selama sebulan bagi menghapuskan ancaman ekstremis pro-IS di sempadan bersama mereka.
Hishammuddin berkata, kolaborasi serantau bersejarah itu diperlukan selepas Filipina mengisytiharkan pada akhir Oktober lalu tentang berakhirnya apa yang ia sifatkan sebagai pertempuran lima bulan yang ‘mengerikan’ dengan militan berkaitan IS di bandar selatan Marawi, yang menyaksikan 930 militan dan 165 tentera terbunuh.
"Saya percaya satu perkara yang boleh kita persetujui bersama pada hari ini adalah kita mempunyai musuh yang sama, dan ini menyatukan kita dalam banyak cara berbanding satu sahaja," kata Hishammuddin.